Aku letakkan kereta tidak jauh dari kedai makan. Enjin kereta aku tak matikan. Bukannya aku nak lama-lama di sini. Nak ambil kunci rumah aje pun. Dari kejauhan aku ternampak Sarip yang sedang melepak di tepi kolam ikan. Amboi! Bahagia sungguh dia duduk kat situ. Betul-betul buat darah aku mendidih. Menonong aku tala langkah ke arah dia dengan muka masam mencuka. Langsung tak pandang ke arah lain.
"Arghhhhh!!"
Aku menjerit kuat bila tersadung sebatang kayu yang merentang di tengah jalan. Hampir muka aku tersungkur ke tanah kalau bukan kerana sepasang tangan menahan tubuh aku dengan pantas. Jantung aku berdegup dengan kencang. Tercungap-cungap aku tarik nafas sebelum menoleh ke sisi. Aku tergamam.. Mata aku terbuntang menatap wajah tersebut. Homaii! Tak ada orang lain ke yang Allah hantarkan untuk menolong aku? Kenapa mesti mamat yang jadi pujaan hati ibu ni?
"Tinggi sangat kasut awak ni," komennya sebaris sebaik matanya jatuh ke kaki aku sebelum mencari wajah aku semula.
Aku diam tanpa sepatah kata. Mata aku jatuh ke tangan dia yang masih memaut lengan aku dan kemudian beralih ke wajahnya. Bila dia nak lepaskan tangan aku ni? Aku tarik tangan aku dan cepat-cepat dia lepaskan pautannya dan bawa kedua tangannya ke belakang tubuh. Tidak lama kemudian dia membongkok dan mengambil batang kayu yang terentang dan di bawa ke tempat lain.
Aku mengerut muka.. Baru satu langkah, aku mengaduh sekali lagi. Sakitnya tak terkata. Aku selak rambut yang terhurai ke celah telinga dan tundukkan kepala aku seketika. Boleh nampak kuku ibu jari aku yang terluka dan berdarah. Patutlah sakit. Padanlah dengan muka aku. Cuai sangat, kan? Sibuk sangat nak bahasakan si Sarip.. Tup-tup aku pula yang dapat sakit.Terhincut-hincut aku sambung langkah ke arah kedai makan.
"Sakit sangat ke kaki awak?"
Aku hentikan langkah dan menoleh ke arah Amzar dan mendengus. Haruslah sakit! Kalau tak sakit, dah lama aku larikan diri aku dari sini. Dia ingat aku suka sangat nak berdua dengan dia lama-lama di sini? Heee.. Panas hati aku dengan pertanyaan tersebut. Nak-nak pula kaki pun tengah sakit. Aku hentikan langkah seketika.. Makin terasa perit di hujung jari kaki..
"Err.. Awak boleh jalan sendiri ke tidak?" Dia tanya lagi sebaik aku nak sambung langkah. Aku menoleh ke arah dia semula.
"Kalau tak boleh, awak nak dukung saya ke?"
Ternganga mulut dia mendengar pertanyaan aku. Mata pula terkebil-kebil tanpa sepatah kata. Serba salah sangat wajah dia sekarang.
"Saya beritahu mak cik. Awak tunggulah kat sini.." Cepat-cepat dia berlalu tinggalkan aku.
Aku mengulum senyum sinis dengan jawapan dia. Dia ingat aku serius ke nak minta dia dukung aku? Tolonglah jangan berangan. Aku tak hadaplah pertolongan dia tu. Memang sengaja menempah nahas.Jangan kata dukung.. kalau ibu ternampak aku dan mamat ni tengah berbual macam sekarang.. walaupun sepatah kata, memang mengundang bahaya dekat aku.
"Kau ke yang menjerit tadi?"
Tidak berapa lama kemudian Sarip muncul dengan wajah hairannya. Cepat-cepat dia mendapatkan aku melihat langkah aku yang yang terhincut-hincut. Tanpa disuruh dia membantu aku melangkah.
"Kenapa dengan kaki kau ni?"
"Terlanggar kayu tadi.Siapalah yang bangang sangat letak kayu tengah-tengah jalan orang nak lalu lalang? Kalau aku tersungkur tadi? Kalau muka aku ni cacat.. kau dulu yang aku kerat-kerat."
Sarip bantai ketawa besar dengan rungutan aku. Terhenjut-henjut bahu dia.. Aku merengus. Apa benda yang lucunya pun aku tak nampak.. Aku tengah marah ni kut.
"Mujur kaki kau aje yang cedera. Ngeri juga aku nak bayangkan kau punya angin taufan kalau muka kau yang cedera tadi.."
Tajam kerlingan aku ke wajah Sarip dengan sindiran pedas dia.
"Abang Am yang tolong kau tadi, eh?"
Aku menganggukkan kepala.Berdesup dia tinggalkan aku tadi. Aku mencemik tiba-tiba. Acah-acah baiklah tu. Aku gosok lengan aku laju-laju. Macam terasa-rasa lagi pautan kemas Amzar di lengan aku.. Hangat muka aku bila teringatkan betapa dekatnya wajah dia dengan mata aku tadi. Dan... jantung aku tiba-tiba aje bergetar.
"Ibu nampak ke tadi Sarip?"
"Nampak apa?"
"Nampak aku dengan mamat tu tadilah."
"Oh? Masa kau dengan abang Am tengah bermesra tadi?"
Bulat mata mata aku mendengar ejekan Sarip. Bermesra celah mananya? Laju tangan menyiku perut Sarip.
"Aduh! Aku tinggalkan kau ni nanti.. baru kau tahu."
"Itu makan dia. Kau tu tak sayang mulut."
Aku henyakkan punggung ke kerusi. Lega bila dapat duduk. Kasut aku tanggalkan dan campakkan ke lantai. Aku belek ibu jari yang terluka. Mujurlah tak banyak sangat darahnya. Tapi cukuplah buat aku terasa pedih. Berdenyut-denyut di sekitar hujung kaki. Sarip punya pasal la ni. Kalau bukan sebab dia.. tak adalah aku dapat sakit sekali.
"Luka sikit aje pun. Aku ingatkan terkopak kuku kau tu.." komen Sarip dan kemudian mencebik.
"Semua kau punya pasal. Yang kau kunci rumah segala tu buat apa? Kan aku dah cakap aku tak bawa kunci?" herdik aku pula. Mencerun pandangan aku di wajah selambanya.
"Laa. Kan aku dah mesej? Kunci rumah aku tinggalkan kat bawah kasut."
Hah? Dahi aku berkerut. Ada ke? Apa pasal aku tak dapat pun mesej tu? Habis tu.. aku datang sini sia-sialah? Buang masa betul.
"Aku tak dapat pun mesej tu? Yang kau tak angkat telefon dah kenapa?"
"Aku sibuklah.. Baru aje nak rehat ni. Bukannya telefon tu melekat dekat tangan aku macam kau," selar Sarip pula bersahaja.
Hekeleh! Budak ni.. Sekali aku lempang mulut tu baru dia tahu erti penyesalan. Sesedap rasa dia mengata aku pula.
"Teruk sangat ke kaki tu Kinah?"
Aku menala pandangan ke arah ibu yang baru muncul dari dapur.
"Sikit aje ibu. Menjerit aje lebih." Sarip lebih dahulu bersuara.
Ibu belek ibu jari kaki aku dengan berhati-hati. Muka aku berkerut di saat jari ibu menekan hujung jari. Cepat-cepat aku larikan kaki aku dari terus disentuh oleh ibu.
"Mata letak dekat mana? Mujur ibu jari aje yang luka. Pakailah kasut tinggi macam ni lagi. Kalau patah kaki tu tadi?" Ibu dah mula berleter. Bukannya nak kesiankan aku ni.. Bukannya nak tolong apa yang patut. Aku tarik muncung sedepa.
"Orang baliklah dululah bu." Aku bangun dari kerusi. Dari kena tadah bebelan ibu, baik aku berhambus cepat-cepat. Aku datang ni pun sebab nak ambil kunci. Sarip cakap tadi kunci rumah ada aje dia sorokkan bawah pasu bunga di atas rak kasut.
"Alang-alang dah sampai ni, makanlah dulu."
"Kenyang."
"Merajuklah tu bu. Macam tak biasa.." Sarip menyampuk dan kemudian tersenyum sinis ke arah aku.
"Mengadalah kau Sarip. Karang, betul-betul naik tangan aku ni kat muka kau ni nanti.." Aku tunjukkan telapak tangan aku ke muka dia. Makin berbulu perasan aku. Heee.. Suka hati akulah nak merajuk ke tidak? Yang dia nak jadi batu api ni dah kenapa?
"Sudah! Tak malu ke orang tengok? Dah besar panjang pun tak habis-habis nak bergaduh. Jarang jumpa pun jadi aje gaduhnya. Kinah ni pun.. Garangnya bukan main lagi. Dengan adik sendiri pun dijerit-jerit.." Ibu membebel panjang lebar dekat aku dan Sarip. Tapi... panjangnya dekat bahagian akulah. Macam biasa ibu buat. Kadang-kadang sendat dada aku ni menahan sebal sebab ibu terlebih kasih dekat Sarip.
Aku menoleh ke arah Amzar yang baru muncul dari belakang kedai. Cepat-cepat aku larikan pandangan mata dan kemudian tanpa menoleh ke arah ibu dan Sarip terus aku tala langkah ke arah kereta. Aku langkah panjang-panjang dan kasar tanda protes aku dengan bebelan ibu. Dah hilang rasa sakit yang mencucuk tadi. Rasa sakit di hati aku ni lagi kuat..
