Suara Fatin mengharap.

Norlia terkaku beberapa saat.

"Kalau ayah tahu mesti dia datang."

"Tapi ibu tak sempat beritahu ayah, kan?"

Ligat Norlia mencari alasan. Hati Fatin tidak boleh tergores, tumpuan Fatin harus sepenuhnya pada padang balapannya.

"Ibu ada pesan pada kawan-kawan ayah. Kalau Pak Cik Ghani jumpa ayah, atau Pak Cik Jali terserempak dengan ayah, dia orang mesti sampaikan pesan." Lembut suara Norlia. Biarpun hatinya sendiri bagai diracik halus. Memberikan harapan palsu pada Fatin sama sahaja seperti meremukkan jiwa sendiri.

"Minta-mintalah ayah ada ya, ibu."

"Kalau ayah tak ada, dia bukan sengaja. Ayah tu selalu sibuk. Tak boleh tinggalkan kerja dia."

"Bukan ayah sengaja tak mahu balik?"

"Semua ayah sayang anak, Fatin," Suara Norlia bergetar. Matanya yang bening menahan sesuatu.

"Dah... Cepat pi sekolah tu! Tunggu ibu dengan adik-adik kat sana."

Sengaja Norlia menghambat si kecilnya segera ke sekolah sebelum matanya bergenang dengan air mata di hadapan anak.

Pusaran kenangan membuatkan Norlia terus tenggelam dalam kisah silam. Kisah yang penuh berliku. Dalam gemerlap cinta, dia rasa terjerat.

Bau kesidang yang melingkari pagar rumah besar milik keluarga Ghafar menyambut ketibaannya. Harumnya begitu menakluk dan menguasai segenap ruang.

"Cari sapa ni?" Seorang perempuan muda berbaju kurung Kedah, berkain batik warna merah jambu dan coklat sedang memangkas pokok-pokok di halaman rumah itu menegurnya. Norlia tahu dia tidak tersalah. Pak cik teksi yang membawanya ke situ menyakinkan dia, inilah rumah Ghafar.

"Assalamualaikum. Tumpang tanya. Ni rumah Abang Ghafar ka?"

Mata perempuan itu meneliti dirinya dari atas ke bawah. Tajam.

"Apa hal ni?"

"Saya Norlia... Isteri Abang Ghafar."

"Isteri? Eh, hang tahu dak aku sapa?"

"Ni Gina ka? Abang Ghafar ada cerita." Beria-ia Norlia cuba memaniskan wajah. Dia cuba mencapai tangan perempuan itu untuk disalaminya.

"Hei! Dah... Tak payah nak mengada-ada dekat sini. Hang dengaq sini, ya? Aku tak kenai hang sapa. Mak bapak aku tak tahu hang ni anak sapa Si Ghafar kutip buat menantu. Lagi baik hang balik sekarang!"

Terkesima Norlia apabila dicemuh begitu. Allah! Aku cuma mencari suami aku! Aku bukan nak menumpang pun di rumah agam ini.

"Gina, saya minta maaf! Saya cuma nak tahu khabar Abang Ghafar. Hari tu saya dengaq dia masuk lokap kejap. Tapi dengar kata keluarga dah ikat jamin."

Semakin menyinga Gina melihat Norlia tidak mahu meninggalkan halaman rumahnya.

Tiba-tiba ada satu suara kedengaran dari dalam rumah.

"Gina, sapa kat luaq tu?"

"Ah, ada orang datang jual pekasam, mak!"

Norlia semakin hilang kata-kata.

"Hang dengaq sini. Hang toksah dok buat muka terkejut hang kat sini. Tak pasai-pasai kepala hang aku pangkas pakai pemangkas pokok ni. Baik hang balik. Hang jangan buat kecoh kat sini. Cukup-cukup mak aku sakit jantung masuk hospital pasai adik aku bernikah dengan hang."

Gina memberi amaran. Langkahnya mara ke hadapan menyebabkan setapak demi setapak Norlia berundur.

"Saya sanggup berlutut minta ampun. Saya tak ada niat nak buat keluarga Abang Ghafar susah. Tapi bagilah peluang saya jumpa suami saya. Sekejap pun jadilah!"

KALBU PUN BERZIKIRWhere stories live. Discover now