BAB 2

6.7K 125 0
                                    

Pemandangan di Hounun Ridge Farmstay yang terletak di Ranau, Sabah memukau pandangan mata Kaysa Adara. Cuaca di situ pun nyaman. Nyaman dan tenang. Berbaloi Kaysa Adara dan dua orang kawan rapatnya merempuh jalan yang penuh berliku untuk tiba di situ.

Ini merupakan percutian geng SKY. Syaz, Kaysa Adara dan Yara. Sudah lama mereka tidak bercuti bersama. Masing-masing sibuk dengan kerja. Setelah hampir setahun tidak bercuti bersama, mereka memutuskan untuk bercuti ke Sabah. Itu pun gara-gara artikel yang viral di media sosial. Kononnya suasana di Hounun Ridge Farmstay hampir sama dengan New Zealand.

Kaysa Adara menjengahkan kepala ke dalam bilik. Syaz dengan Yara masih melelapkan mata. Memang rugi kalau terperap dalam bilik penginapan semasa bercuti. Tidak dinafikan. Namun, mengenangkan Syaz yang memandu dari Kota Kinabalu ke sini dan Yara yang pening kepala, Kaysa Adara tidak sampai hati nak kejutkan mereka berdua. Sudahlah mereka bangun awal hari ini. Pukul 4.30 pagi mereka sudah berada di lapangan terbang.

Sebuah nota ditinggalkan sebelum Kaysa Adara mula mengembara bersendirian. Gadis itu tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pemandangan yang indah di situ. Telefon pintar sentiasa berada di tangannya. Beberapa keping gambar ditangkap menggunakan telefon pintarnya. Sesekali dia berselfie.

Perempuan dan selfie memang tak dapat dipisahkan. Eh, tapi sekarang ni lelaki pun suka berselfie.

Panggilan daripada Puan Saafia mematikan langkah Kaysa Adara. Agak terkesima apabila melihat nama 'Mama' tertera di skrin telefon pintar. Lambat-lambat dia jawab panggilan daripada wanita itu. Telefon dilekapkan ke telinga dan kaki kembali melangkah. Melangkah tanpa hala tuju yang pasti. Mata masih lagi menikmati keindahan ciptaan Tuhan sementara telinga menantikan bicara di hujung talian.

"Kaysa kat Sabah ke? Kenapa tak beritahu nak ke sana?" tanya Puan Saafia setelah memberi salam.

"Kan Kaysa ada beritahu mama..."

"Itu tiga bulan yang lepas. Kenapa tak beritahu sebelum pergi? Terkejut mama bila tengok gambar Kaysa kat sana. Mama tak ingat Kaysa nak ke sana. Along dah nak kahwin, Kaysa boleh pula pergi bercuti," bebel Puan Saafia, meluahkan perasaan tidak puas hatinya.

"Along yang nak kahwin. Bukan Kaysa," balas Kaysa Adara. Selamba.

"Memang bukan majlis Kaysa. Tapi kan majlis abang Kaysa. Patutnya masa macam ni Kaysa tolong mama. Tolong apa-apa yang patut. Hesy, Kaysa ni... Bila mama minta tolong, Kaysa cakap sibuk. Tapi boleh pula Kaysa pergi bercuti dengan kawan-kawan."

Kaysa Adara menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Kaysa dah plan dengan kawan..."

"Kenapa plan time macam ni? Macamlah Kaysa tak tahu yang along nak kahwin dua minggu lagi."

"Terlepas pandang la, ma."

Gadis itu memberi alasan.

Puan Saafia melepaskan keluhan.

"Mama cakap lebih-lebih pun dah tak ada guna. Kaysa dah ada kat sana pun. Berapa lama Kaysa kat sana?"

"Empat hari. Khamis petang Kaysa balik sana. Mama ada nak pesan apa-apa tak?" soal Kaysa Adara.

"Kaysa belilah apa-apa yang patut. Mama tak kesah pun. Minggu ni balik rumah. Kaysa dah lama tak balik. Papa dah bising."

Baru Kaysa Adara nak balas, telefon pintarnya termati sendiri. Skrin telefon sudah gelap.

"Laaa... Bateri habis pula," ucap Kaysa Adara perlahan kepada dirinya sendiri.

Nafas dihela sedikit kuat. Kaysa Adara kembali memandang sekeliling. Dahinya mula berkerut. Tidak tahu dia berada di mana. Sungguh dia tidak sedar dia sudah berjalan jauh dari tempat penginapan. Terlalu leka menikmati pemandangan dan berbual dengan Puan Saafia barangkali.

DATE MEWhere stories live. Discover now