BAB 1

1.4K 28 0
                                        


"Miss Edora dah mai. Dia mai dah, dia mai dah!"

Suara kelam-kabut seorang pekerja menyebabkan kesemua pekerja lain yang sebelum ini sedang sibuk, menghentikan kerja masing-masing. Senyap. Masing-masing berdiri tegak. Diam terpaku di tempat masing-masing menunggu kedatangan CEO Hotel Grandstar. Siapa lagi kalau bukan Miss Edora atau nama sebenarnya Syarifah Edora Tan Sri Syed Rahim.

Kereta Lamborghini Gallardo warna putih hitam berhenti betul-betul di hadapan pintu utama hotel. Seorang budak hotel yang berpakaian kemas, segak bergaya, membuka pintu kereta. Beberapa ketika, CEO yang ditunggu-tunggu itu keluar. Kunci kereta dibaling kepada budak hotel yang tunduk memberikan hormat kepadanya. Kelam-kabut budak hotel cuba menyambut kunci keretanya. Fuh! Nasib baik sempat sambut.

Dengan lagak jalan persis model, CEO itu berjalan menuju ke pintu. Automatik, pintu utama hotel itu terbuka seperti mahu meraikan kehadiran pemiliknya. Langkah kakinya dihalakan ke arah sebaris kumpulan penyambut tetamu yang sedang berdiri tegak menanti kehadirannya.

Salah seorang antara penyambut tetamu hotel ternganga saat melihat majikannya menghampiri kumpulan mereka. Terpesona dia melihat kesempurnaan dan keanggunan majikan tempat kerja barunya. Tingginya persis model catwalk. Perfect dengan pakaiannya. Kemeja ropol warna peach, disesuaikan dengan skirt paras lutut warna merah dilengkapi dengan tali pinggang besar warna hitam. Kasut tumit tinggi warna merah menambahkan kesempurnaan fesyen wanita itu. Rambut hitam beralun dibiarkan lepas. Berterbangan ditiup angin pagi.

"Cantiknya." Spontan dia memuji saat melihat majikannya itu semakin mendekat.

Jelas kelihatan wajahnya di mata si penyambut tetamu. Matanya bulat dihiasi alis mata yang lentik. Hidungnya mancung, bibirnya mungil. Terletak cantik pada wajah bujur sirih milik wanita itu.

Wah, kulit putih. Badan pun putih gebu. Kalaulah badan aku macam dia. Wajah aku cantik macam dia, mesti aku dah jadi model. Fikiran penyambut tetamu itu melayang-layang. Berangan-angan sampai ke bintang. Konon dia sedang berjalan di atas pentas peragaan.

"Norain? Hei, Norain!"

Panggilan keras itu mengejutkan lamunannya. Si empunya nama Norain telan air liur saat melihat wanita yang entah bila tiba-tiba berdiri di hadapannya. Tak tahu nak respons apa, Norain sekadar tersengih-sengih macam kerang busuk.

"Eh, macam mana cik tahu nama saya?" soal Norain teruja. Tak sangka bos besar kenal dengan nama pekerja bawahan sepertinya.

Mata perempuan itu mengecil memandang tajam penyambut tetamu bernama Norain itu. Lantas dengan muka kerek, jari telunjuk dihalakan ke tanda nama yang dipakai. Norain membulatkan bibir tanda dia faham maksud majikannya itu. Kali ini kepalanya yang tak gatal pula digaru-garu.

"Kenapa you boleh mengelamun waktu kerja macam ni? You ingat hotel ni hotel nenek you? Tak ada orang ajar you ke cara jadi penyambut tetamu yang betul?"

Bentakan perempuan itu menyebabkan Norain tersentak. Senyuman terus hilang dari bibir.

"Saya..." Suaranya tergagap-gagap kerana gusar dimarahi. Dahlah hari pertama kerja. Dah buat rekod kena marah dengan bos. Ah, malunya.

"No excuses. I hate excuses." Nada perempuan itu tegas sambil menggerak-gerakkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan.

Norain hanya mampu menundukkan wajah. Kalau dah begitu katanya, nak kata apa lagi? Diam sajalah.

Edora geleng kepala. Bebal dan tak puas hati betul dengan prestasi pekerjanya itu. Belum sempat nak menyekolahkan Norain, matanya tiba-tiba tertancap pada pakaian Norain. Serentak, moodnya terus hilang. Sepantas kilat tangannya memegang kebaya warna biru laut itu kasar.

MISS PERFECT KAHWIN MR MAIDOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz