Cikgu Asyraf ditugaskan untuk mengajar di kawasan pedalaman. Dia berpindah dari Kuala Lumpur bersama-sama isterinya yang mengalami kemurungan setelah keguguran.
Sebelum sampai di kampung yang dituju, Cikgu Asyraf berhenti minum di sebuah kedai kopi dan bertemu dengan Rosdi, seorang bekas banduan.
Rosdi memberi amaran kepadanya tentang keadaan di Kampung Teluk Mengkuang. Katanya masyarakat di situ berpuak-puak dan bermusuhan sesama sendiri. Dia menasihati Cikgu Asyraf agar jangan terlalu rapat dengan orang-orang kampung.
Cikgu Asyraf tidak mahu dipengaruhi kata-kata orang asing yang baru pertama kali ditemui.
Rumah yang disewa oleh Cikgu Asyraf adalah sebuah rumah kayu yang didirikan sekitar tahun 1920-an. Ia milik keturunan Tuan Haji Baharom Muda, salah seorang guru silat yang masyhur suatu masa dahulu. Walaupun sudah bertahun tidak dihuni, rumah itu masih utuh.
Jiran terdekat Cikgu Asyraf ialah Alina dan Malik yang mempunyai seorang anak terencat akal iaitu Harris. Pertama kali bertemu Cikgu Asyraf, Harris asyik terjerit-jerit memanggilnya 'Barua'.
Isteri Cikgu Asyraf, Ramona langsung tidak mahu bersosial dengan penduduk kampung dan hanya terperuk di rumah. Keadaan murungnya kian membimbangkan.
Bila Cikgu Asyraf mula bertugas, Ramona mula mengalami pelbagai gangguan. Menurutnya, dia kerap dikunjungi oleh seorang lelaki bertanjak yang menghunus keris dan mengugut mahu menghapuskan seluruh penduduk kampung Teluk Mengkuang. Cikgu Asyraf yakin itu hanyalah imaginasi isterinya. Beberapa lagi kejadian aneh menimpa Ramona. Dia kerap terdengar bunyi derap tapak kaki orang berlari di sebelah pagi. Katanya dia terdengar-dengar mereka menyanyikan lagu Barisan Kita beramai-ramai.
Cikgu Asyraf sering singgah membeli lauk di kedai Lebai Misai yang terletak tidak jauh dari kawasan sekolah. Lebai Misai menampal keratan akhbar tentang peristiwa ngeri yang berlaku di pinggir Kampung Teluk Mengkuang seminggu yang lalu. Seorang lelaki ditemui mati rentung dalam sebuah teksi yang terbakar. Kad pengenalannya ditemui oleh polis dan lelaki itu ialah Rosdi – bekas banduan yang berbual-bual dengan Cikgu Asyraf tempoh hari. Mereka syak itu adalah perbuatan khianat.
Cikgu Asyraf mula mencurigai penduduk kampung Teluk Mengkuang. Sama seperti isterinya, Cikgu Asyraf juga mula memencilkan diri dan tidak mahu bersosial.
Harris, kerapkali meminta ibunya membawanya ke rumah Cikgu Asyraf. Walaupun ditegah, dia akan menjerit sekuat hati, 'Barua! Barua!' di hadapan rumah sewa itu. Malik, seorang bekas polis, berasa tidak sedap hati dan sedikit sebanyak mula mencurigai guru yang baru berpindah itu. Dia mula menyiasat asal-usul Cikgu Asyraf.
Pada suatu hari, Cikgu Asyraf tidak pergi mengajar tetapi dia pergi ke rumah ketua kampung lalu meronta-ronta dan terjerit-jerit seperti orang histeria. Katanya dia telah menemui sebuah terowong bawah tanah di dapur rumahnya. Dia mahu keluar dari kampung itu dan berpindah sekolah kerana menurut isterinya hantu-hantu yang mengganggunya selama ini datang dari terowong itu.
YOU ARE READING
Cikgu Asyraf
Mystery / ThrillerCikgu Asyraf ditugaskan untuk mengajar di kawasan pedalaman. Dia berpindah dari Kuala Lumpur bersama-sama isterinya yang mengalami kemurungan setelah keguguran.
