"Mulai detik ni, aku kena melupakan apa yang dah terjadi. Itu semua derita. Derita! Aku perlukan kekuatan baru untuk melalui kehidupan yang baru. Ya Allah. Berikanlah aku kekuatan untuk menempuh ranjau hidup di dunia ini." Ujarnya perlahan.

Satu helaan nafas dihembus perlahan. Air mata yang jatuh ke pipi diseka. Dia yakin dia boleh. Zahrah boleh! Dia kena kuat! Dia mula tersentak dan teringat sesuatu.

"Awak balik tak nanti?"

"Kenapa tanya?"

"Kalau awak balik, saya boleh masak. Kita makan bersama-sama."

"Sedap ke awak masak? Ada taraf macam chef ternama?"

Zahrah terdiam. Hatinya sentap. Raut wajah yang tenang bertukar menjadi kelat. Sampai hati Faizul berkata begitu. Kenapa lelaki itu langsung tak nak menjaga perasaannya sebagai seorang isteri? Kenapa setiap detik ada saja tingkah laku lelaki itu yang menyebalkan hati? Zahrah melepaskan satu helaan nafas dengan perlahan. Sabar sajalah, wahai Zahrah. Jadilah seorang isteri yang penyabar. Allah hendak menduga.

"Apa lagi yang saya nak buktikan kepada awak...."

"Buktikan apa?"

"Saya sayang awak dan ikhlas menerima awak sebagai suami saya."

"Itu sayang dan bukannya cinta."

"Saya tak sama dengan perempuan lain."

Faizul yang baru selesai mengenakan kot berwarna krim di badan lantas menoleh ke belakang. Tubuh perempuan itu dilihat. Langsung tiada senyuman yang terukir di bibir. Ketat sungguh muka tu. Tak mesra alam langsung! Zahrah yang melihatnya, langsung tidak ada rasa gentar. Selama ini pun dia sudah lali dengan raut wajah lelaki itu sebegitu.

"Bermaksud?"

"Rasa sayang dan cinta saya adalah sama. Tak perlu ditunjukkan secara berlainan. Saya nak jadi diri sendiri. Saya harap awak faham."

"Saya tak faham."

"Awak faham. Semuanya saya buat untuk awak. Apa lagi yang awak nak saya buat untuk awak? Mandikan awak? Cuci badan awak? Cakap aje dekat saya. Saya boleh buat. Saya langsung tak kisah asalkan awak boleh terima saya sebagai isteri awak. "

Faizul terdiam. Dia mula berasa yang dirinya kejam.

"Ini memang rumah awak. Saya jaga macam rumah saya sendiri. Saya mengemas, memasak, membasuh baju awak, awak tak boleh fikir ke apa maksud saya buat semua tu? Itu tandanya saya sayang dan cinta dekat awak. Saya ikhlas buat semua tu. Saya langsung tak merungut. Saya tak sangguplah nak tengok suami saya sendiri kelaparan, berada dalam keadaan rumah yang bersepah. Saya tak nak dilihat tak guna di mata awak dan mama awak. Saya nak cuba jadi isteri yang terbaik untuk awak."

Faizul mula menoleh ke belakang. Kalau dia lebih lama lagi berada di situ, tiada kesudahan kata-kata si isteri untuknya.

"Tunggu! Saya belum habis cakap lagi."

Kaki yang mahu diatur, terhenti. Dia memejam mata sekejap lalu dibuka semula. Dia memerlukan kekuatan untuk melewati detik-detik itu. Tak boleh lemah!

"Awak nak menguji saya? Kalau niat awak hendak menguji saya, saya tak kisah. Tolonglah jaga perasaan mama awak. Awak lebih kenal dia sebabnya awak tu anak dia. Mama awak macam dah syak sesuatu terhadap kita. Awak sanggup nak tengok dia sedih ? Nak tengok dia sakit? Please lah... she's your mum. Kasihanlah dekat dia dan tolonglah... tolong jangan buat saya seperti patung cendana dalam rumah ni. Tolonglah jangan seksa perasaan saya. Saya ada perasaan. Saya nak menangis apabila awak buat saya seperti tak wujud di dalam rumah ni."

"Dah habis?"

"Awak tak nak bercakap dengan saya. Awak seakan tak menghargai apa yang saya buat. Awak tak melayan saya. Patut ke saya terima semua tu? Dulu awak yang beriya-iya nak berkahwin dengan saya. Sekarang apa dah jadi? Kenapa awak tiba-tiba berubah? Mana janji awak? Mana ciri-ciri suami terbaik awak?"

Zahrah tertunduk sekejap. Dia harus kuat untuk mengungkapkan apa yang dia rasa. Selama ini dia sudah penat nak melayan suami dia yang tak mesra alam tu. Dia mengharapkan layanan mesra daripada ibu mertuanya saja. Itu pun bukan setiap hari dapat layanan itu. Mama sibuk di butik. Kadang-kadang dia tak nak menganggu mama. Dia faham kesibukan mama.

Faizul mati kata. Renungan mata yang terpapar di wajah sukar hendak diberi tafsiran. Geramkah dia? Kasihankah dia?

"Kadang-kadang saya cemburu dengan kehidupan isteri orang lain. Dia hidup bahagia dengan suami yang tercinta. Saya? Hidup macam orang tak berkahwin aje. Saya sedih! Lebih baik saya tak payah berkahwin. Dah berkahwin pun, serupa macam tak berkahwin aje. Saya perlukan perhatian suami saya. Salah ke? Saya rasa dah cukup awak menguji tahap kesabaran saya. Buktinya saya mampu bersabar dengan segala kerenah awak sampai ke hari ini."

"Zahrah Imani."

"Saya belum habis cakap lagi!"

"Zahrah..."

"Stop! Dengar apa yang saya nak cakap!"

Bibir Faizul tertutup rapat. Dia cuba menahan sabar lagi. Selagi boleh bersabar, akan menahan sabar. Hatinya memang terusik apa yang isterinya katakan itu tapi ada satu hal yang membuatkan hatinya geram dan tak puas hati.

"Saya tak kisah nak berkahwin dengan sesiapa pun. Tak kisahlah lelaki tu berduit atau tak. Saya terima aje asalkan lelaki tu boleh membahagiakan saya. Kebahagiaan tu teramat penting bagi saya. Kalau awak dah jodoh saya, siapa saya hendak menolak takdir. Awak balik atau tak nanti, saya tetap masak untuk awak."

"Tolong jangan nak membazir."

"Saya buat tanggungjawab saya sebagai seorang isteri."

"Saya makan dekat kedai aje. Saya pergi dulu."

"Jangan buat saya rasa bosan dengan awak."

Mata Faizul terus membulat besar. Bosan? Benarkah dia mendengar semua itu? Dia macam tidak percaya saja apa yang didengarinya tadi. Isterinya sudah bosan dengan segala kerenahnya? Sudah berputus asa? Perlukah dia berhenti menguji si isteri? Zahrah bukan mata duitan. Langkah mula diatur dengan berat.

"Tolong jangan sia-siakan kesempatan yang ada. Selagi hati dan perasaan saya untuk awak, tolong hargainya. Jangan sampai saya beralih arah. Esok atau lusa, awak takkan dapat menduga apa yang bakal saya buat."

Zahrah tak boleh lupa hal pagi tadi. Sampai bila hubungan yang dingin seperti itu akan berlarutan? Dia pun tidak tahu. Satu keluhan berat dilepaskan. Rasa macam tak boleh bersabar lagi tapi dia harus berbuat apa? Keluar dari rumah besar milik suaminya? Buntu! Dia pening! Apa pun yang jadi, pasal surat itu dia akan cuba lupakan. Kalau boleh hendak buang saja. Tak payah simpan lagi.

Tapi...

Macam tak sanggup nak buang aje.

Disebabkan rasa cinta dan sayang yang masih bersisa?

Zahrah keliru pula. Dia tertunduk.

Cinta Roller Coaster -Ery AierilWhere stories live. Discover now