Bab 15

6.2K 163 74
                                    

SHAHRUL tenang menghadap novel Inggeris tebal di tangannya. Matanya tajam menganalisa setiap ayat yang terlakar. Tanpa disedari ada mata yang sedang memandangnya dengan perasaan berbaur.

Shahril memandang abangnya dengan perasaan bercampur baur. Semenjak abangnya kembali, mereka tak bercakap walaupun sepatah perkataan. Saat abangnya berpindah masuk ke dalam rumah mereka, dia betul-betul terkejut. Sangkanya abangnya kembali tapi tidak! Hanya jasad Shahrul yang ada, bukan hati dan perasaan abangnya. Mereka berdua ibarat musuh yang tinggal di bawah satu bumbung.

Langkahnya dibawa menghampiri Shahrul. Setiap derap langkahnya datang bersama kenangan lalu. Kenangan pahit yang telah dihadiahkan kepada Shahrul. Segala perbuatan dan tuduhan hinggap dalam benak.

Kini dia sedar, semua tuduhannya tak berasas. Sebenarnya dia tahu memang bukan salah Shahrul kedua orang tua mereka meninggal dunia tapi waktu itu dia terlalu sedih. Mereka kehilangan ibu bapa pada saat mereka tak bersedia langsung. Lantas Shahrul dijadikan mangsa untuk melepaskan segala kesedihannya dengan menuduh abangnya pembunuh.

Bunyi derap langkah seseorang membuatkan Shahrul mengangkat muka. Dia tahu siapa di belakangnya, namun sengaja dia kakukan diri. Memandang terus ke hadapan dengan wajah kosong. Sedikit pun tak berkalih kepada Shahril. Dia benci melihat muka yang pernah membuangnya suatu ketika dulu!

"Abang..."

Panggilan itu membuatkan Shahrul terdiri sendiri. Dia tersenyum sinis. Abang? Rasa sakit dan sebak bersatu dalam jiwanya. Berapa tahun dulu, panggilan itu diharamkan untuknya tapi kenapa kini dia masih mendengar perkataan itu? Lupakah Shahril apa yang pernah disumpahnya dulu?

Shahrul berpusing dan saat itu dua mata saling berpandangan. Di kesempatan itu, Shahrul melepaskan senyuman sinis.

"Abang? Aku nampak macam abang kau ke?" soal Shahrul dengan nada benci.

Benar! Dia terlalu benci dengan mereka yang bertanggungjawab dengan rasa benci yang tumbuh dalam jiwanya.

Shahril terdiam. Bibirnya terkunci tak bergerak.

"Kau lupa ke yang abang kau dah lama mati? Dah lima tahun. Kau tak ingat? Atau kau amnesia?"

Setiap lekuk wajah Shahril diusyarnya dan terhenti pada bibir itu. Bibir yang suatu ketika dulu terlalu lancang berkata.

"It is okay kalau kau tak ingat sebab aku boleh ingatkan kau setiap masa malah setiap saat pun. Dengar sini baik-baik, Shahril. Abang kau dah lama mati sejak lima tahun dulu. Mungkin aku macam abang kau tapi hakikatnya aku bukan abang kau dan kau bukan keluarga aku!"

Kosong wajah Shahrul melihat wajah Shahril yang terkedu. Dia menggeleng sinis lantas berlalu. Dia tak mahu berhadapan dengan Shahril. Matanya sakit! Alasannya kembali hanya untuk merampas kembali apa yang dia telah tinggalkan lima tahun lalu. Dia perlu dapatkan apa yang sepatutnya dia dapat. Dia takkan bersembunyi lagi apatah lagi melarikan diri. Sekarang yang patut pergi bukan dia tapi adik-adiknya!

Ini rumah arwah ibu bapanya. Sejak mula lagi memang dia patut berada di situ tapi kerana kebencian adik-adiknya, dia membawa diri. Sekarang dia sedar. Ini haknya dan dia tak akan lepaskan lagi walaupun seribu orang bangun menentang dirinya.

Bergenang air mata Shahril mengenang dosa lampaunya. Apa yang dia dah buat sampai begitu keras sekali hati lelaki yang bernama Shahrul itu? Argh! Semua itu memang salahnya. Menuduh mengikut kata hatinya.

Sekarang padan dengan mukanya. Hidup dengan perasaan bersalah seumur hidupnya. Dia ingin mengungkapkan maaf tapi sepasang mata bening Shahrul seolah-olah mengatakan yang dia tak perlukan kata-kata maaf daripada adik-adiknya. Hatinya dah terlanjur diserang rasa marah dan benci yang sukar untuk dibuang.

Di dalam bilik, Shahrul duduk menghadap cermin solek. Tangannya digenggam erat dengan seluruh tubuh yang menggeletar hebat.

Untuk apa ditunjukkan rasa bersalah itu sekarang? Kenapa tak lima tahun lalu? Di sebalik cermin, Shahrul seakan-akan melihat seorang lelaki yang sedang basah dengan air mata semata-mata untuk mengemis rasa kasih yang bersisa untuknya. Di pipi lelaki itu penuh dengan linangan air mata saat dia digelar pembunuh. Saat dia digelar pemusnah. Hatinya begitu hancur saat itu.

Air mata yang ingin mengalir, ditahan dengan kuat. Dia takkan biarkan dirinya menangisi kisah semalam lagi. Jika dia menangis, rasa benci yang lebih hebat akan menyerang. Saat hatinya mengenang kembali perasaannya dulu, tiba-tiba dia terpandangkan sesuatu. Tanpa kata dia melangkah ke arah itu.

BOLA tenis dipukulnya kuat. Sama kuat dengan jiwanya yang telah diselaputi rasa benci, marah, dendam dan geram yang sudah bersatu dengan darah dagingnya. Satu, dua, tiga... Habis semua bola tenis dipukulnya. Akhirnya dia mencampak kasar raket tenis dan saat itu juga dia menjatuhkan dirinya. Terbaring kepenatan.

Peluh yang membanjiri seluruh tubuhnya dibiarkan begitu saja. Dipandang malam yang bergemerlapan dengan bintang. Nafasnya naik turun kerana lelah namun dia puas. Terasa hilang semua amarahnya apabila melihat bola-bola yang dipukulnya melantun hebat. Rasa amarah semalam surut tapi ia masih tetap juga bersisa dalam hatinya.

Wajah Shahril dan Fina terbayang. Dia masih boleh tahan saat mereka menuduhnya. Dia masih kuat saat mereka menggelarkan dia pembunuh. Dia masih berdiri teguh saat dia dihina dan disalahkan atas kematian orang tua mereka. Namun dia tak boleh melupakan apa yang telah mereka buat kepadanya.

Dia masih ingat hari itu. Hari di mana jiwanya dan hatinya mati. Hari di mana egonya lenyap dalam muka bumi ini. Dia tak sangka, adik-adiknya tergamak memperlakukan dia sebegitu. Dia memang takkan maafkan kesalahan yang satu itu!

Air matanya yang cuba ditahan tumpah juga saat dirinya dihantui kisah semalam. Lantas kepala disentuh dengan lirik wajah yang penuh kelukaan. Ya, dia terluka malah luka itu takkan mampu disembuhkan lagi. Luka itu memakan hatinya perlahan-lahan hingga ia merasakan dia hanya seorang lelaki tanpa jiwa dan hati.

"Aku takkan maafkan kau orang sampai bila-bila. Kau orang buang aku macam anjing kurap! Aku benci! Aku benci!!!" Shahrul menjerit kuat melepaskan segala yang terbuku dalam hatinya.

Air matanya menitis lagi. Dia mungkin seorang lelaki yang tampak hebat sedangkan hakikatnya dia hanya seorang lelaki yang berlagak hebat sedangkan jiwanya telah dilukai dengan teruk. Dia bukan siapa-siapa melainkan seorang lelaki yang hidup diburu dengan kenangan silam yang tak mampu dilupakan.

Tak cukup dengan jeritan, Shahrul bangun dengan wajah menyinga. Tiang besi ditumbuk berkali-kali tanpa menghiraukan kesakitan yang mula hadir. Darah yang mengalir dibiarkan. Dia menjerit kuat seperti orang gila.

Shahril lemah di suatu sudut. Bibirnya bergetar melihat apa yang terjadi di depannya. Sedari tadi dia mencuri lihat abangnya. Jelas pada wajah itu, kedukaan dan kemarahan yang terpancar dari setiap sudut wajah Shahrul. Jeritan yang bergema betul-betul buat dia kehilangan kata. Jeritan yang penuh dengan kebencian.

Air matanya turut jatuh. Dia dengan adiknya telah membuat satu kesalahan besar. Mereka telah membunuh jiwa seseorang tanpa sedar. Baru dia sedar, perkataan pembunuh itu sebenarnya bukan untuk abangnya tapi perkataan itu lebih layak untuk dia dan adiknya. Tubuhnya melorot jatuh dengan satu penyesalan yang tidak ada penghujungnya.

"Aril minta maaf, abang. Aril yang salah." Shahril hanya mampu bersuara lemah. Tak mungkin ayat itu diucapkan di depan Shahrul. Abangnya banar-benar terluka.

Vous avez atteint le dernier des chapitres publiés.

⏰ Dernière mise à jour : Aug 05, 2016 ⏰

Ajoutez cette histoire à votre Bibliothèque pour être informé des nouveaux chapitres !

Backup CintaOù les histoires vivent. Découvrez maintenant