Bab 12

2.9K 69 0
                                    

"LAMBATNYA kau sampai. Letih aku tunggu," kata Nia sebaik melihat wajah Rin yang tersengih-sengih bagai kerang busuk.

"Sorry. Ada tetamu yang tak diundang datang tadi," kata Rin sambil melabuhkan punggungnya di sisi Nia.

"Siapa? Ada orang datang pinang kau ke?" tanya Nia sambil tangannya memasukkan muk ke dalam beg kertas.

"Macam tahu-tahu aje. Kau pasang CCTV ke kat rumah daddy tu?" tanya Rin. Sebuah muk diambil dan ditiliknya sebelum diletakkan kembali ke tempat asal.

Tangan Nia terhenti. Wajah Rin dipandang. "Serius? Siapa? Haikal?"

"Kau rasa Haikal aje ke yang wujud kat muka bumi ni?" tanya Rin.

"Memanglah bukan dia sorang. Tapi yang sayang kau bagai nak gila tu dia sorang ajelah."

"Kau dengan Eiyra sama aje. Kalau pasal Haikal, mesti hiperbola. But sorry, not him."

"Jadi, siapa? Takkan Mak Cik Suri pinang kau lagi?" teka Nia.

Rin tersengih.

"Serius?" Melihat anggukan Rin, tawa Nia terus terburai.

"Nampaklah betapa semangat wajanya mak cik tu nak jadikan kau tu menantu dia," kata Nia.

"Itulah. Tak sangka aku dia nak datang pinang aku lagi. Tapi aku harap ni yang terakhir."

"Rugilah kau tolak pinangan dia. Aku rasalah kan, kalau kau kahwin dengan Si Amir tu, mesti kau jadi menantu kesayangan."

"Huh, apa guna jadi menantu kesayangan kalau laki perangai macam hantu? Lagipun aku tahu Mak Cik Suri tu bukan ikhlas sangat nak jadi mentua aku. Dia pinang aku pun sebab harta mak ayah aku. Hah, sekarang ni aku tinggal dengan daddy, lagilah beria-ia dia nak aku jadi menantu dia."

"Hesy, kau ni Rin. Tak baik berburuk sangka macam tu sekali. Kalau Mak Cik Suri betul-betul ikhlas, tak ke dosa kau bertambah sebab fitnah dia?"

Rin mengetap bibir. Dia tidak terfikirlah pula pasal dosa memfitnah. Astaghfirullahaladzim. Tapi entah mengapa firasatnya menyatakan bahawa Mak Cik Suri tidak ikhlas.

"Tapi aku yakin..."

"Bersangka baik, Rin."

"Yalah, ustazah. Banyak lagi benda yang tak siap?" Rin segera mengalih topik. Karang tak pasal-pasal mereka berdua bergaduh sebab Mak Cik Suri. Langsung tak berbaloi.

"Tinggal door gift ni ajelah kut."

"Pelamin dah siap ke?"

"Belum. Esok dia orang datang pasang."

"Syoknya kau dah nak kahwin."

"Kenapa? Cemburu? Belum terlambat lagi kalau kau nak terima pinangan Mak Cik Suri tu," usik Nia.

"Hesy, kau ni. Tak ada benda lain ke? Doalah aku cepat kahwin dengan lelaki bujang, handsome, kaya, beriman dan bertakwa."

"Lelaki macam Haikal ke?"

Laju Rin menggeleng kepalanya.

"Haikal pun kau tak nak. Dah tu kau nak siapa?"

Fiqri, sebut Rin. Namun sekadar dalam hati.

"Fiqri Aiman?" Serentak dengan itu, Rin mengangkat wajah. Nia ni boleh baca fikiran dia ke?

"Kau masih ingat kat dia ke?"

"Cinta pertama. Bukan senang nak lupa," kata Rin selamba. Tangannya laju sahaja membuat kerja.

"Kalau aku jumpa Fiqri, nak aje aku tanya dia, ubat apa yang dia dah bagi dekat kau ni? Dah bertahun-tahun tapi tetap sukakan dia."

"Bagus juga tu. Lepas tu kau beritahu aku, eh? Boleh aku guna ubat tu untuk mandremkan dia balik. Biar lepas ni dia suka aku sorang aje," balas Rin selamba.

"Haah. Lepas tu, dia suka kau. Kau tak suka dia dah. Jadilah cinta bertingkat-tingkat."

Rin tergelak. "Kalau aku dengan Fiqri cinta bertingkat-tingkat, cinta kau dengan Syamin tu cinta apa?"

"Cinta mangkuk tingkat," balas Nia selamba.

Bilik Nia terus meriah dengan gelak tawa mereka berdua. Rin teringat kisah cinta Syamin dan Nia yang bermula sejak di bangku sekolah. Tidak silap dia, ketika itu mereka berada di tingkatan empat. Lama juga mereka bercinta sebelum tiba-tiba Nia minta putus. Alasan Nia, dia mahu fokus kepada pelajaran dan tidak mahu terus bergelumang dengan maksiat.

Apabila teringat kembali kisah tersebut, rasa kelakar pun ada. Mana tidaknya, lepas Nia minta putus, dialah yang menjadi kaunselor cinta kepada Syamin. Boleh dikatakan setiap hari lelaki itu menghubunginya supaya pujuk Nia sehinggalah akhirnya hati Nia semakin mencair.

Mereka berdua membuat perjanjian untuk saling menunggu sebelum masing-masing bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi dalam tempoh penantian itu, Nia tidak membenarkan Syamin menghubunginya walaupun sekali.

Kata Nia, "aku tak nak terus bergelumang dengan dosa lagi. Sebab aku tak nak dosa aku terus menjauhkan aku dari Allah."

"Kau tak sayang Syamin ke? Kau tak takut kalau hati Syamin berubah?" tanya Rin, ingin tahu.

"Jodoh tu rahsia Allah. Kalau betul Syamin tu untuk aku, mesti Allah akan permudahkan. Tapi jika Syamin bukan untuk aku, aku reda. Lagipun apa yang aku kejar sekarang adalah kasih sayang Allah. Dan untuk dapatkan kasih sayang Dia, mestilah aku kena buat apa yang Dia suruh, dan tinggalkan apa yang Dia larang, kan?"

Tanpa sedar, Rin senyum sendiri. Apabila kita jaga hubungan kita dengan Allah, pasti Allah akan jaga diri kita. Tengoklah pada Syamin dan Nia, apabila masing-masing mula berubah ikhlas kerana Allah, Allah permudahkan hubungan mereka. Elok sahaja mereka menamatkan pengajian mereka, Syamin menghantar rombongan meminang dan terus dipersetujui kedua-dua belah pihak untuk menyegerakan majlis pernikahan mereka. Betapa Allah permudahkan jalan untuk mereka berdua bersatu.

"RIN, ada tetamu cari kau," beritahu Nia ketika Rin sedang memasukkan gula-gula ke dalam kotak yang telah dikhaskan.

"Ai, kenapa tetamu aku cari aku dekat rumah kau?" soal Rin.

"Dah kau ada kat sini, mestilah dia cari kau kat sini. Takkan nak pergi cari kau kat London pula."

Rin mencebik. "Overlah tu. Hmmm, siapa?" tanya Rin malas. Namun dia tetap bangun. Serentak dengan itu, Eiyra muncul di sebalik pintu.

"Hi, you all."

"La... Eiyra, kau ke tetamu aku tu? Bila sampai?" tanya Rin. Segera dia memeluk kawan baiknya. Sejak habis belajar, mereka sudah tidak dapat bertemu sekerap dulu. Apatah lagi kini Eiyra sedang mengambil alih butik emaknya.

"Aku sihat aje. Tapi bukan aku yang nak jumpa kau. Orang lain. Dia ada kat luar tu."

"Siapa pula ni?" soal Rin. Wajah Nia dan Eiyra dipandang silih berganti.

"Mana boleh beritahu. Tak surpriselah nanti."

"Gediklah kau orang ni."

"Pergilah tengok cepat," gesa Eiyra. Dia menolak tubuh Rin ke muka pintu bilik.

Rin mengerutkan dahinya. Siapa yang datang sampai Nia dan Eiyra beria-ia sangat ni?

VVIP DihatikuWhere stories live. Discover now