Bab 8

3.8K 44 0
                                    


RASYA membawa diri ke dalam bilik sebaik sahaja turun dari kereta. Tidak seperti selalu. Dia pasti akan menempek di meja makan terlebih dahulu sebaik sahaja mencecah kaki ke dalam rumah. Berkerut juga dahi Puan Jannah dan Encik Omar melihat gelagat si anak. Mata mereka bertautan dengan gelagat si anak.

"Pelik budak ni," komen Encik Omar. Lain benar dari kebiasaan. Wajah Rasya juga tidak ceria seperti selalu. Rasya anak manjanya. Dia cukup kenal anak itu. Pasti ada yang tidak kena. Kalau tidak, Rasya tidak mungkin bermuram wajah di hadapannya.

"Kenapa tu, bang? Selalu bukan main lagi laju aje ke dapur tu," sela Puan Jannah. Encik Omar menggeleng tidak tahu. Puan Jannah menghampiri bilik Rasya lalu pintu diketuk perlahan.

"Sya tak nak makan dulu, ke?" Dia menyoal di balik pintu.

"Penatlah mak. Nantilah,"

"Tu mak ada rebus ubi kayu. Panas lagi tu. Tak nak makan ke?" Puan Jannah masih berusaha memujuk. Ralat hatinya jika Rasya tidak menyentuh ubi rebus yang dibuatnya. Biarpun tidak sesusah mana mahu membuatnya tetapi hati seorang ibu tidak berpuas hati jika hasil tangannya tidak dijamah si anak.

Rasya menghela nafas panjang. Kasihan pula pada emak. Penat-penat buatkan ubi kayu rebus kesukaannya tetapi tidak dijamah. Kecil hati nanti orang tua itu. Lambat-lambat dia membalas. "Kejaplah mak. Sya nak tukar baju dulu." Rasya membalas melegakan perasaan kedua-dua orang tuanya.

Tersenyum senang Puan Jannah mendengar jawapan itu. Tidaklah dibiarkan sahaja pujukannya. Rasya memang anak yang pandai menjaga hati orang tua. Kembang hatinya punya anak seperti itu. Sejuk perut mengandungkan sembilan bulan.

Rasya menanggalkan tudungnya lalu disangkutkan di bidai tingkap. Ikatan rambutnya dileraikan. Sudah panjang benar rambutnya. Kadangkala terasa lemas dan rimas. Tetapi sayang pula kalau mahu dipotong.

Perlahan-lahan direbahkan tubuh yang terasa lesu di atas katil. Bukan tubuh yang lesu sebenarnya. Hati yang terjerut membuatkan tubuh turut tidak bermaya. Beginilah jika hati yang sakit. Memberi kesan pada tubuh yang sihat.

Tanpa dipinta bayangan semalam menyapa ingatan. Terbayang betapa rakusnya Syahrie meratah tubuhnya. Langsung tiada belas kasihan. Jeritan dan rayuannya tidak diendahkan lelaki yang sudah tenggelam di bawah pengaruh alkohol.

Dipejam mata rapat-rapat seakan mahu menghalau bayangan yang menyakitkan itu. Dia tidak mahu dikejar bayangan semalam. Bayangan yang telah memusnahkan dirinya. Dia tidak mahu!

Terasa tubuhnya begitu kotor dan jijik. Tubuh yang dibalut kemas, dijaga rapi untuk seorang yang bergelar suami kini telah dikoyak dan dipalitkan kotoran yang tak mampu ditanggalkan lagi. Tidak mungkin sama walaupun dibasuh dan disental berkali-kali.

Dia sudah tidak sesuci Nur Rasyakeen Omar yang dahulu. Sudah kotor. Begitu menjijikkan. Hatinya meraung kuat tanpa suara. Berdarah tidak berwarna. Menangis tanpa air mata. Saat ini dia mahu menjerit sekuat-kuatnya. Mahu melepaskan senak yang menyesak di dada. Namun semuanya hanya mampu bergelora di dalam hati. Tidak mungkin dilepaskan.

Pada siapa hendak dilepaskan? Dia tidak akan sesekali membuka pekung di dada. Perkara ini terlalu memalukan. Untuk apa menceritakan tentang dirinya yang tidak suci lagi? Bahu siapa yang sudi dipinjamkan untuknya bersandar? Telinga siapa yang sudi mendengar tanpa memandang curiga padanya?

Air mata turun laju tanpa dipinta. Berat benar dugaan yang diturunkan buatnya. Terlalu berat untuk dipikul. Terasa tidak berdaya untuk memikulnya seorang diri. Tetapi untuk bercerita pada keluarga, dia tidak mampu. Dia tidak mampu untuk menyalahkan Syahrie. Sayangnya pada si abang itu sangat menggunung dan cukup untuknya melindungi kesalahan lelaki itu.

Syahrie memang bersalah. Memang lelaki itu yang telah menodainya. Tetapi Syahrie tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Lelaki itu melakukannya di luar fikiran yang waras. Bukan disengajakan. Bukan bertujuan untuk merosakkan hidupnya. Lelaki itu telah hanyut dalam ombak cinta yang membadai. Lalu terdampar di pantai yang berbatu.

Apa pula salahnya? Dia hanyalah mangsa keadaan yang turut terheret di dalam kancah percintaan yang begitu rumit. Lalu siapa yang benar-benar bersalah di dalam hal ini? Rita mungkin. Gadis itu yang menjadi punca Syahrie bertindak gila. Gadis itu telah mengecewakan hati lelaki itu. Lelaki yang terlalu mencintai seorang gadis. Tertewas dengan keimanan dan kewarasan akal.

Dia kenal benar akan Syahrie. Syahrie yang melayannya dengan cukup baik selama ini tidak mungkin akan menyakitinya dengan sengaja. Syahrie tempatnya menumpang kasih seorang abang. Syahrie yang pastinya akan menceriakan harinya. Sayangnya lelaki itu jugalah yang telah menggelapkan masa depannya hingga ruang untuknya bernafas terasa begitu sempit. Menyesakkan dadanya bagai disiat hidup-hidup.

Dia ingin lenyap dari muka bumi ini. Lebih baik mati daripada hidup di dalam kelam dunia. Tidak mampu lagi bernafas bebas seperti selalu. Nafasnya kini tersekat-sekat. Kenapa begini yang terjadi?

Arghhh... jangan asyik persoalkan takdir. Kau kena kuat Sya. Jangan jadi bodoh. Baru diduga sikit sudah meminta ajal. Buat malu saja. Akalnya mendesis meningkah kecetekannya.

Tapi aku dah tak suci. Tak suci! Kau faham tak? Hati pula meningkah. Terus berperang.

Kesucian bukan terletak pada dara kau. Kesucian terletak pada hati. Hati yang bersih barulah benar-benar suci. Akal berterusan meniupkan semangat baru buatnya.

Aku kotor. Kotorrrr...! Hatinya menjerit sakit yang tiada ubatnya.

Kau masih suci. Hanya Dia yang mampu menentukan kesucian kau. Bukan kau yang pinta semua ni. Semua tulisanNya kau kena ikhlas, Sya. Dia hanya mahu menguji kau. Kau tak boleh lemah. Kau kena terima segalanya dengan reda. Dia sahaja tahu apa yang terbaik untuk kau. Kau kena kuat. Dia tahu kau kuat sebab tu dia duga kau macam ni.

Perasaan Rasya berbaur resah. Akal dan hati terus bertingkah sendiri membuatkan dadanya terasa sesak. Tidak tahu yang mana patut dipilih dan diikuti. Akal berfikir secara rasional sedangkan hati lebih senang melayan perasaan. Namun akal dan hati tidak mudah untuk dipisahkan. Sama-sama kuat mempengaruhi hidup manusia.

Penat melayan perasaan, Rasya bingkas menuju ke cermin solek. Diseka air mata yang masih bersisa. Jika dia keluar dengan mata yang berair pasti timbul tanda tanya di dahi kedua-dua orang tuanya. Dia tidak mahu mereka mengesyaki apa-apa. Dia tidak mahu mereka susah hati.

Biarlah dia menanggungnya seorang diri walau betapa payah pun. Tidak perlu membabitkan mereka. Wajahnya ditempek sedikit bedak. Nipis sahaja. Cukup untuk menutup kesan tangisan. Lalu dia melangkah keluar dari bilik bersama senyuman di bibir.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now