Bab 7

4.1K 49 0
                                    

"NAK ke mana dengan beg ni Sya?" Encik Radhi menyoal anak saudaranya yang sudah siap menggalas beg di bahu. Wajah anak gadis itu kelihatan sugul bermuram durja. Bawah matanya pula kelihatan sembap. Lebam!

"Nak balik," pendek sahaja jawapannya.

"Eh, dah nak balik?"

"Laaa... abang ni. Kan saya dah bagi tahu abang. Sya balik pagi ni," sampuk Puan Laila yang baru keluar dari dapur dengan menatang dulang makanan.

"Kenapa abang boleh tak ingat pun?" Encik Radhi berbolak-balik cuba mengimbas ingatannya.

"Mana nak ingatnya. Waktu saya bagi tahu tu abang tengah sibuk tengok hindustan," tingkah Puan Laila geram. Begitulah suaminya. Kalau sudah melayan hindustan orang bercakap pun tidak dipedulikan.

"La, ya ke?" Dahi Encik Radhi berkerut seribu.

"Makan dulu Sya. Ni siapa yang hantarkan ke stesen?" Puan Laila menyoal prihatin.

"Sya naik teksi ajelah." Dia mengambil tempat di sebelah Encik Radhi.

"Nak suruh Abang Rie kamu tu hantarkan... tengoklah elok aje dia terbongkang lagi kat sana tu," ujar Puan Laila menjuih bibir ke arah anak lelakinya. Sudah puas dikejutnya bangun, namun ibarat orang mati sahaja. Belum hilang mabuk agaknya.

"Tak apalah, mak cik. Sya naik teksi aje." Lesu bergetar pada hujung nadanya.

"Biar pak cik aje yang hantarkan." Encik Radhi menawarkan diri. Rasya tidak menolak.

"Kenapa mata tu sembap? Semalam waktu Abang Rie balik Sya dah tidur ke?"

"Sya tak perasan pun bila Abang Rie balik. Semalam baca novel sedih. Itu yang mata jadi macam ni," Rasya berdalih. Dia sudah nekad. Segalanya harus disimpan rapi. Rahsia semalam perlu dikuburkan. Walaupun maruahnya diragut dan tercalar atas kerakusan lelaki itu, namun tiada siapa yang perlu tahu!

"Kalau dah hantu novel memang macam tulah," komen Puan Laila. Faham sangat. Dia juga dulu peminat novel tegar. Sudah tua ini dah kurang pula membaca.

Lebih baik dia menanam pokok bunga di halaman bertemankan Popo kesayangannya. Rasya tersenyum hambar. Dalam diam hatinya menangis sendiri. Bukan sebab novel mak cik! Sebab Abang Rie! Hatinya menjerit hiba. Tidak tergamak memaculkan kebenaran.

"Makan cepat sikit Sya. Nanti terlepas bas pulak," tegur Encik Radhi melihatkan Rasya yang termangu di meja makan. Fikirannya melayang jauh. Kusut! Bihun goreng di pinggan tidak dijamahnya.

Berlainan benar Rasya hari ini. Tidak ceria seperti selalu. Mesti ada yang tidak kena. Tetapi apa? Hendak menyoal dengan lebih lanjut pula bukan caranya. Dia tidak suka menyibuk. Biarlah Rasya sendiri yang membuka mulut andai benar ada masalah yang membelenggu.

Selesai menjamah bihun sesudu dua sudu, Rasya minta dihantar ke stesen bas.

Sepanjang perjalanan Rasya melayan perasaan yang lara. Gundah hatinya memikirkan masa depan yang sudah hancur berkecai. Tubuhnya yang telah ternoda tidak memungkinkannya diterima mana-mana lelaki lagi.

Lelaki mana yang sanggup memilih buah yang telah ditebuk tupai? Buah yang sudah rosak hanya layak dibuang-buang sahaja. Dahulu nilainya cukup tinggi. Andai rahsia ini terbongkar, dirinya sudah tidak bernilai lagi. Segalanya harapannya terhadap lelaki itu hancur musnah.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now