Tarawih Si Pensel

304 10 2
                                    


"Ibu, bagaimana orang lihat anak bulan?"

Aku yang naif, dalam usia seminggu lagi genap 11 tahun bertanyakan soalan itu. Sehingga terhenti tangan ibu yang ku kasihi daripada mengacau kuah singgang dalam kuali yang baru sahaja dimasukkan asam keping.

"Kalau ibu jawab, bermakna ibu tipu."

Tercengang, dan giliran tanganku pula terhenti menulis. Baru suku halaman kertas kajang itu aku catatkan tentang azam mahu berpuasa penuh dan bertarawih tahun ini. Keasyikan itu sudah dipotong oleh kata-kata ibu yang membingungkan.

"Ibu tipu?"

Tangan perempuan yang sudah mula timbul kedut walaupun umurnya baru mencecah awal 30-an itu, kembali menarikan senduk di dalam periuk.

"Sebab ibu tak tahu bagaimana orang tengok anak bulan. Malah anak bulan itu pun ibu waswas bagaimana bentuknya."

Dahiku berkerut. Bibirku memuncung. Mata pensel yang sudah separuh guna, aku ketuk-ketuk pada permukaan kertas kajang. Berlubang-lubang jadinya.

Aku merenung poster hampir-lunyai Kuch Kuch Hota Hai di dinding. Satu-satunya filem Hindi yang arwah ayah ada VCD-nya, tetapi tak pernah sekalipun dapat menonton. Selain asbab di rumah tidak ada TV, adalah jelas bahawa kami tidak mampu membeli pemain VCD. Ayahku Abdel Kareem, pendatang halal Bangladesh yang aku pun tidak berapa ingat wajahnya. Tetapi aku tidak pernah lupa santunnya.

"Ibu kan orang dewasa. Takkanlah ibu tak tahu anak bulan...."

Tiba-tiba sebatang senduk besi terasa dekat pada batang hidungku. Terpercik setitis kuah singgang. Terjuling mataku sesaat. Serta-merta kepala aku gelengkan laju supaya bola mata kembali ke kedudukan asal.

Senduk besi berundur, wajah ibu terpacul.

"Kamu lupa, ataupun sengaja mahu ibu ulangi kisah sedih sejarah pendidikan ibu? Hai, Pensel! Ibu kamu yang hanya tahu membaca dan menulis kata yang asas-asas ini, kamu harapkan mahir hal ehwal langit dan isinya?"

Aku tertunduk. Perasaanku keliru sama ada mahu sedih ataupun ketawa. Aku lupa. Ya, sesungguhnya aku lupa bahawa ibu bukan guru sekolah yang tahu banyak benda di dalam dan luar bumi. Ibu pandai memasak sahaja pun sudah besar rahmat buat aku.

"Saya minta maaf, ibu. Esok saya tanya Cikgu Maznah."

Ibu tidak membalas apa. Hanya berpusing dan kembali menekuni singgang yang bau masam-pedasnya sudah mula mencucuk tekak dan ususku.

***

Malam itu, tarawih pertama. Ibu ajak aku ke masjid. Ya, walaupun rumah kami masih belum berubah bentuk daripada kotak gergasi yang saban hari ditaburi cebisan konfeti kayu dari kilang pensel, namun yang tambah membahagiakan adalah kerana ia dekat dengan masjid. Masjid yang baru dirasmikan tiga hari lalu, sempena ketibaan Ramadan yang aku kagumi.

Maka aku bersemangat lain macam. Sudah tentu! Ini tahun pertama aku ikut ibu ke masjid. Sebab tahun-tahun sebelum, bangunan cantik berkubah perak itu belum ada.

Sebelum masjid dirasmikan lagi, aku sudah siap menghafal niat dan cara solat tarawih. Cikgu Maznah yang ajarkan. Cikgu yang ketika dia ajar Bahasa Inggeris, aku panggil dia Teacher. Dan ketika dia ajar Pendidikan Islam, aku panggil dia Ustazah. Aku kagum padanya. Aku percaya semua ilmu dalam alam ini dia tahu.

Malah kadang-kadang mahu juga aku panggil dia Profesor, ketika dia mengajar Alam & Manusia menggantikan Cikgu Rohana yang aku labelkan sebagai Cikgu Kursus. Kerana setiap bulan dia pergi kursus. Tapi aku masih juga belum pandai walaupun cikgu selalu pergi kursus. Aneh. Aku yang semula jadi bodoh ataupun kursus cikgu yang belum cukup?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 15, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Nama Aku PenselWhere stories live. Discover now