Dia bangun lagi dalam keadaan yang pening dan loya, lalu dia berjalan mendekati dinding. Dinding yang dia lupa apakah rupanya. Walaupun sebenarnya baru dua puluh empat hari yang lalu dia melihat rupanya dinding itu. Namun hari ini, apa yang dia bayangkan pada dinding itu hanya kehitaman dan kegelapan.

Dia sudah lupa wajahnya kini. Dia sudah lupa asal-usulnya, orang terakhir yang dia jumpa. Dia lupa kesakitan yang paling sakit pernah dia rasakan. Orang yang paling jahat pernah dia temui, yang paling baik pernah dia sapa? Kepada siapa pernah dia bekerja? Bagaimana rupanya bilik yang dia inap sebelum ini? Buku apa jadi kegemarannya? Wajah orang tuanya, siapa yang dia sayang? Kata-kata yang paling menambat hatinya, prinsip hidupnya, tujuan dia hidup? Dan... apakah ia namanya?

Dia menunggu di situ dengan otak kosong, pandangan yang kosong. Menanti untuk masuknya dua orang lelaki ke bilik itu dan menumbuk serta menerajangnya. Maka dengan itu, dia akan menahan pukulan itu dengan tangan yang kurus dan panjang itu. Dia akan menerima kesakitan itu untuk dipertahankan oleh tangannya yang lemah kerana nalurinya bertingkah mengatakan lebih baik dia patah tangannya, daripada cedera pada dalaman perutnya yang banyak mengandungi organ penting itu.

Naluri dia mencadangkan yang kesakitan cedera secara dalaman akan lebih ngeri berbanding kesakitan apabila dia kepatahan tangan, dan kakinya juga. Jadi untuk kesekian kalinya, kesakitan itu menjadi santapannya lagi.

Tapi kali ini entah mengapa dia merasakan yang pembelasahan itu berlanjutan lebih lama daripada biasa. Apakah mungkin sudah seharian dia dibelasah saat dia merasai pukulan terakhir itu?

"Hey, bodoh..." panggil orang tua itu, membuatkan dia mendongakkan wajahnya, memandang bayang seorang lelaki tua dengan tongkatnya.

Margas!! Lelaki itu telah pun memperkenalkan dirinya semalam bersama dengan seorang lelaki yang bertopi dan bercermin mata hitam, kini juga sedang berdiri seperti tugu di hadapan pintu bilik itu. Dia, yang terus diam, melihat si banduan dibelasah dengan secukupnya.

Wajah lelaki bertopi itu dicuri pandang, cuba dilihat lebih jelas. Namun dengan hanya berbekalkan bias cahaya luar, gambaran lelaki itu hanya mampu terlihat olehnya bagai bayang-bayang sahaja.

"Apakah aku mengenali lelaki itu?" bisik hati si banduan lagi. Dia cuba untuk berfikir pada waktu itu.

Apa sahaja. Dia mahu memproses apa yang dia lihat, apa yang dia dengar. Dia mahu memikirkan siapakah sebenarnya orang tua tidak guna yang bernama Margas itu? Apakah lelaki bercermin mata hitam itu adalah orang yang telah membawa dia ke mari? Apakah tujuan dia? Dia mahu berfikir, apakah dia perlu marah atau menyesal dengan apa yang sedang berlaku. Apakah dia lelaki yang sejahat mereka sendiri, ataukah sekadar mangsa?

Dia cuba untuk mengingati segalanya, tapi tiada apa yang muncul di dalam mindanya. Hanya ada keinginan untuk berfikir tapi seakan tiada gear untuk menghidupkan motor, seperti dia berada di sebuah terowong gelap tanpa cahaya, tiada 'bahan pemproses' untuk minda dia berfikir. Oleh itu, tiada apa yang mampu terputar di mindanya. Semuanya hanya kosong. Seperti sebuah balang kosong yang tertutup dan udara pun tidak mampu bebas.

"Kamu sudah habis bertaubat?" tanya orang tua itu.

Kepalanya refleks berpaling kepada orang tua Margas itu. Dan dia cuba untuk menjawab. Tapi apabila dia membuka mulutnya, tiada apa-apa yang keluar daripada peti suara itu. Dia kehairanan. Lalu dia mencuba beberapa kali lagi. Namun hasilnya tetap sama. Hanya kesakitan yang terasa di tekaknya.

Pang! Satu tamparan singgah ke pipinya, membuatkan dia memuntahkan darah yang mungkin baru mengalir dan mungkin sudah terbaur sama sekali dengan sisa-sisa darah yang lama.    

"Bodoh," ujar orang tua itu sambil menarik rambut dia. Satu petikan jari kemudiannya terdengar, bersama dengan cahaya lampu yang tiba-tiba menyilaukan pandangan. Dia merasa begitu pedih sekali saat dipanah oleh pancaran itu. Sakit habis urat mata yang menyangkutkan organ penglihatannya itu.

GINJAL - sebuah novel Bali BaimUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum