Prolog - Kes 1

13.6K 222 13
                                    

         

PROLOG

HARI ini sudah masuk hari kedua puluh empat dia tinggal di dalam bilik yang gelap itu. Jiwanya terasa kosong, tidak tahu masihkah ianya mampu untuk terisi dengan apa-apa lagi. Di sebelah kanan, dia lihat hanyalah kegelapan. Di sebelah kiri, malahan hadapan, belakang, atas, bawah, semua yang dia lihat kini hanyalah satu pemandangan. Kelam penuh kegelapan.

Atau mungkin bukanlah sepenuhnya hitam. Ada tekstur warna seakan-akan putih, bergerigi halus bermain pada pandangan matanya. Seakan-akan siaran kosong pada sebuah televisyen lama. Dan untuk yang kesekian kalinya, dia cuba berjalan. Sukar. Atau mungkin dia lebih selesa merangkak sahaja? Ya, rasanya lebih selamat begitu.

Dia tidak takut. Dia tidak pernah merasa takut. Dia pasti yang dia telah diajar untuk tidak takut. Dia cuma merasa benci, dan tidak selesa akan kesakitan. Dia cuba melihat di hadapannya sekarang.

"Krit krit." Dia mendengar bunyi decitan tikus yang entah daripada mana datangnya. Lalu cepat-cepat dia ikut bunyi decitan itu.

"Tikus, tolong bawa aku keluar daripada tempat ini. Tolonglah..." pinta dia yang tidak lagi dapat berfikir waras dengan apa jua yang mendatang kepadanya. Dan tikus itu pun membawa dia mengelilingi bilik tahanan itu. Beberapa kali, sehingga dia merasa penat.

Lalu dia merehatkan tubuhnya di suatu sudut bilik, menahan pada laluan sang tikus. Dan sebaik tikus itu mendatanginya tepat di sebelah kanan paha, dia tersentak. Ditahan kegelian saat sang tikus memanjat naik ke atas badannya dengan bulu yang kasar dan berceracak, tajam, dan berekor panjang. Lalu pantas dia menangkap tikus itu, dan dimakan dengan rakus.

Dia telah beberapa kali cuba membunuh dirinya dengan cara begini. Namun kematian tidak pernah menjemput dia, yang mana membuatkan dia percaya, kini tak semua dia rancang akan menjadi seperti yang dimahukan.

Dia masih ingat pada hari pertama dia sedar dalam keadaan hilang ingatan di dalam bilik tahanan yang busuk dengan bau darah dan bangkai itu, dia hampir menjadi gila. Dan dia bahkan berdoa meminta digilakan dia. Kerana fikir dia, jika dia menggila, dia pasti tidak lagi merasa sakit.

Tapi kewarasan nampaknya adalah perkara yang amat kental di dalam tubuh itu, selain daripada rohnya. Kali pertama dia merasakan mahu mati dan sedikit tanda kematian pun tidak mendatanginya. Sedangkan dia dapat hanyalah kesakitan.

Kesakitan yang sangat menyeksakan pada pukulan hari pertama, kedua. Dan seterusnya, dia menjadi semakin kebal dengan tahap kesakitan yang ringan. Disepak tidak lagi sakit. Ditampar, ditumbuk. Agaknya, apa sudah terjadi kepada buah pinggang itu? Apakah lagi ia berfungsi? Rasanya, sakit pada pinggang semakin mengazabkan sekali. Tapi, dia masih lagi dapat bernafas. Dan rasa sakit itu akhirnya hanya dapat dia simpulkan sebagai satu lagi rasa yang terkadang berpanjangan.

Dia merangkak ke hujung bilik. Kawasan yang sangat kotor dan busuk. Tempat yang disediakan untuk dia membuang najis di dalam perutnya. Dia mendekati pili air. Ditadahkan mulutnya ke pili itu dan setitis demi setitis air diteguk.

Dia tidak menyangka yang dia pernah mempercayai kata-kata orang yang minum air daripada pili itu tidak baik untuk kesihatan. Sehinggakan tiga hari pertama dia sedar dalam tahanan itu, dia malahan telah berpuasa. Tidak makan dan tidak minum kerana menyangka pengambilan makanan dan minuman yang tidak bersih dan jijik akan menjejaskan kesihatannya, dan seterusnya membawa dia kepada kematian.

Sejujurnya, kata-kata itu memang betul, fakta. Dia terpaksa menderita muntah, sakit perut dan pening. Rasa neraka yang tidak panas. Tapi sudah cukup menyeksakan. Dia gila, bukan memikirkan yang dia akan mati, tapi berdoakan kematian mendatang lebih cepat. Dia tak tahu apa bendanya itu yang ditakuti orang tentang kematian. Kesakitan? Apakah sakit yang lebih menyakitkan daripada apa yang dia rasakan sekarang?

GINJAL - sebuah novel Bali BaimWo Geschichten leben. Entdecke jetzt