Bab 12

2K 65 2
                                    


Simpan barang dalam kotak,

Nak bagi tumpang ke tak nak?

AKU keluar dari Menara Awan dengan langkah longlai. Penatnya rasa hari ini, naik lenguh bahu aku siapkan kerja di pejabat tadi sampai senja begini. Nasiblah dapat bos kacak macam Encik Aydan tu, kerja banyak pun rasa tak kisah. Memang aku ni dah tak betul gamaknya, penangan cinta Encik Aydan.

Perodua Viva yang baru kubeli setelah beberapa bulan bekerja, aku naiki dengan pantas walau badan terasa letih. Enjin aku segera hidupkan tanpa menunggu lama, rasa mahu segera sampai ke rumah saat ini dan baring di atas katil. Arghh! Kalaulah ada driver kan senang, tak payah aku nak memandu. Ini pun dah rasa nak tercabut bahu aku, lenguh tak usah cakaplah. Kalaulah Viva aku ini dilengkapi kerusi urut sekali, alangkah nikmatnya. Tapi kalau tengah urut, macam mana nak memandu? Hesy persoalan tak penting apakah yang tengah berlegar dalam kepala otak aku ini?

"Allah!" baru saja brek tangan aku turunkan, hujan turun mencurah-curah ke Bumi. Takdir apakah ini? Lagi cepat aku mahu sampai ke rumah, lagi banyak halangan pula. Hujan-hujan begini mesti tersangkut dengan kesesakan lalu lintas punya, KL lah katakan. Ah redah sajalah! Tak kira, aku nak cepat sampai rumah!

Belumpun aku keluar dari tempat parkir bersebelahan Menara Awan, aku ternampak kelibat seseorang di tepi jalan, motosikalnya tersadai di tepi, tidak bergerak dan dirinya pula sudah lencun dibasahi hujan. Sesiapapun tidak akan menyangka hujan akan turun hari ini kerana cuaca elok saja dua tiga hari kebelakangan ini.

Saat keretaku melintasi susuk tubuh itu, barulah aku dapat melihat wajahnya melalui cermin pandang belakang. Matanya sudah sepet menahan air hujan namun aku masih belum rabun untuk tidak mengecam wajah itu. Mamat muka selenga!

Kenapa dengan motor dia ya? Buat hal ke?

Ah lantaklah, bukan masalah aku. Janji aku dapat balik cepat.

Eh jangan nak kejam sangatlah, Fatih. Kau tak ada timbangrasa ke?

Tapi, katil... tilam... bantal...

Fatih!

Yelah-yelah, aku pergilah ni.

Aku menghentikan keretaku sebelum perlahan mengundur. Cermin tingkapku, aku buka sedikit, cukup untuk dia mendengar suara aku sahaja.

"Fahmi!" aku memanggilnya namun dia masih tidak perasan, mungkin bunyi hujan yang semakin kuat, menghalang suaraku mencecah telinganya.

"Fahmi!" aku menjerit dengan lebih kuat membuatkan dia yang sedang menggaru kepalanya berpaling kepada arah suaraku.

"Eh Husna..." dia menyengih macam biasa saat dia mendekati keretaku. Dalam keadaan macam ni pun sempat lagi nak sengih macam tu kan? Hesy!

"Kenapa motor?" aku sedikit menjerit, cuba melawan bunyi hujan yang tak nak mengalah.

"Entahlah, enjin masuk air kot." Dia buat muka keliru sambil menggaru kepalanya kembali.

"Dahlah, naik kereta saya. Saya hantar balik. Motor tu kunci elok-elok lepas tu tinggal je kat situ. Bukan ada siapa pun nak ambil motor antik awak tu." Aku mengomel sambil menekan butang membuka lock kereta. Sebenarnya dalam hati risau jugak tapi sebab motosikal tu masih dalam kawasan parkir ni jadi aku berani sedikit nak suruh Fahmi tinggalkan. Dekat KL ni tinggal apa saja walau jam beli dekat pasar malam pun orang sapu.

"Ish tak payahlah Husna, nanti basah kereta Husna. Abang dah lencun ni."

"Naiklah cepat." Suaraku datar. Dah ajak naik pun banyak cekadak lagi.

"Ish tak payahlah." Dia menolak lagi.

"Naik jelah!" aku dah hilang sabar. Karang aku tinggalkan jugak mamat ni kat sini karang. Adeh sabar Fatih, sabar! Dia yang sedikit terkejut, pantas mengunci motornya sebelum membuka pintu keretaku di sebelah penumpang.

Mamat Muka SelengaWhere stories live. Discover now