Bab 3

5.2K 75 4
                                    

"SAYANG, tak mau macam ni..." Encik Hazrul turunkan kaki Humairah. Tapi secepat itu Humairah masukkan semula ibu jari kaki kanannya ke mulut sambil ketawa. Comelnya buah cinta kami ni. Penglipur lara kami. Jambatan kasih kami dan dialah segalanya.

"Papa tak nak macam ni..." Diturunkan lagi kaki Humairah. Pipi gebu itu dia cium berkali-kali. Bertuah Humairah memiliki papa yang cukup penyayang. Tak terkurang kasih sayang dan juga perhatian.

"Papa belum bersedia nak sambung berjaga malam," kata Encik Hazrul sambil jeling, seperti menyindir aku sahaja. Maklumlah, kalau aku sudah tidur memang susah untuk dikejutkan. Mungkin faktor keadaan memainkan peranan penting mengubah cara tidur aku. Seharian menguruskan rumah tangga buat aku cepat penat dan cepat tidur.

"Mama sayang tu bukannya boleh harap. Sejak ada Humairah, asal malam saja hanyut. Kesian papa, asyik kesunyian. Mujur ada Humairah."

"Mengumpatlah?" soal aku.

"Bukan mengumpat. Sesi luahan perasaan. Terasa macam diabaikan sekarang ni. Tak macam dulu-dulu..."

"Oh, ini kurang kasih sayanglah?" soal aku lagi. Sedar juga sejak akhir-akhir ini kurang memberi tumpuan kepada Encik Hazrul.

"Tahu tak apa..."

"Abang tolong tidurkan Humairah. Kalau abang berjaya tidurkan dia sebelum pukul sepuluh malam, saya ikut aje apa abang nak. Tapi kalau abang gagal tidurkan dia, jangan banyak cakaplah!" Tak tahu anak dia tu pun perangai lebih kurang. Selagi tak tengah malam, tak tidur.

"Hmmm, setiap malam pun abang yang tidurkan Humairah..."

Aku senyap. Kena balik batang hidung aku. Aku tarik selimut. Mahu mulakan acara pejam mata.

"Tengok tu mama, belum apa-apa dah tarik selimut. Hmmm..."

Aku masih tak jawab apa-apa. Namun terfikir juga. Pasti saja Encik Hazrul rasa sesuatu. Layanan buatnya memang sudah mula terkurang. Tidak seperti baru menjadi pasangan suami isteri dahulu. Kata orang, itulah punca suami cepat bosan. Isteri sudah kurang memberikan perhatian selepas memiliki anak.

Azian Yuhanis, awak tak boleh begini. Awak tidak boleh terlalu mengikut kata hati kerana takut nanti awak akan menyesal seumur hidup. Sedarlah Azian Yuhanis, tanpa Encik Hazrul awak tak akan memiliki rasa bahagia itu. Bertuahnya awak kerana memiliki Encik Hazrul, tapi awak jangan rasa selesa hanya kerana dia terlalu sayangkan awak.

Lakukan sesuatu, wahai Azian.

Aku tolak perlahan selimut dan bangun.

"Sayang, dah mengigau ke?" soal Encik Hazrul. Terkejut gamaknya tiba-tiba saja aku turun dari katil.

"Nak bancuh air kopi. Abang nak minum apa-apa?" soal aku.

Encik Hazrul balas dengan ketawa dan ketawanya itu seperti ada makna saja.

"Dah, dah. Tak payah buatkan abang apa-apa. Abang bergurau aje pun. Yang terasa hati tu kenapa?" Ketawa Encik Hazrul masih berbaki.

Aku sendiri tidak tahu kenapa aku harus buatkan dia air pada waktu-waktu begini. Spontan saja idea buat air datang, sedangkan dalam sindiran Encik Hazrul tadi, dia berhajatkan layanan yang lebih lagi.

Aku naik semula ke katil dengan muka tak malunya. Encik Hazrul masih ketawa.

"Apa pun terima kasih sebab berusaha untuk menyenangkan hati abang..." Dia tersenyum cantik. Sedikit rasa malu hilang. Akhirnya semua hilang begitu saja. Suami isteri, kisahnya bukan semata-mata menyenangkan dan disenangkan. Tetapi memahami dan saling difahami.

Dan tiba-tiba malam semakin dingin...

AKU buka mata. Bilik tidur hanya ditemani lampu dinding berhampiran katil Humairah. Puteri kesayangan itu sudah nyenyak tidur. Awal pula dia tidur. Macam tahu-tahu saja mama nak buat Thai girl show. Encik Hazrul pula menghilangkan diri. Pasti saja di bilik bacaan. Entah apa lagi yang mahu dikerjakan. Penternak lembu saja, kan? Bukannya CEO Menara Holding lagi. Kalau dulu aku percayalah banyak kerja.

Suami Edisi TerhadWhere stories live. Discover now