Humairah tidak banyak ragam. Senang dijaga, siang dia akan tidur dan malam akan berjaga. Itu saja masalahnya. Tapi elok juga dia berjaga malam. Boleh temankan papanya. Papanya bukankah suka tidur lewat malam?

"Sayang, kita tunggu papa..." bisik aku kepada Humairah sebaik saja siapkan Humairah. Pipi gebu itu aku cium. Wanginya anak mama. Masih ada bau bayi. Mungkin bau inilah yang Encik Hazrul rindukan saban hari. Maka tidak hairanlah kalau Humairah menjadi pilihan untuk dicium terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di rumah.

Sambil dukung Humairah, aku pandang cermin. Rambut sudah aku tocang kemas. Bibir juga nampak seksi dengan gincu warna merah jambu. Bedak asas juga masih rata di muka. Cukup. Encik Hazrul memang tidak suka aku bersolek secara berlebihan. Baginya cukup menutup wajah kusam. Katanya lagi, tanpa sebarang solekan juga, aku tetap dipandang manis. Sebagai isteri, pasti saja aku mahu lakukan yang terbaik buat suami aku. Tidak mahu dipandang jemu.

Setahun dua, usia perkahwinan itu masih di alam manis. Apa juga yang dibuat serba cantik dan menarik, namun apabila masuk usia ketiga tahun, perasaan itu pasti saja berkurangan. Kasih sayang akan mula pudar kalau tidak diusahakan sesuatu. Semuanya bakal jadi hambar nanti. Hilang kasih maka hilanglah sayang.

Huh! Siapa kata alam perkahwinan itu manis belaka? Kahwin dulu baru tau cerita.

Saban petang, aku dan Humairah seperti penunggu yang sangat setia. Kami menantikan lelaki yang sama. Lelaki yang paling kami sayang dan lelaki yang telah membahagiakan hidup kami.

Petang ini sangat cantik. Cahaya matahari mula redup. Angin dingin Bukit Cendana sentiasa berpuput lembut. Sangat menyegarkan. Di halaman rumah, bunga-bunga ros berwarna merah hati dan merah jambu sedang kembang mengelilingi pagar kayu rumah kami. Bersulam dengan bunga matahari yang sentiasa menarik perhatian. Di hujung halaman, putik-putik anggur mula menampakkan hasil.

Pokok-pokok anggur itu aku tanam sebagai penyeri taman. Suka melihat buahnya yang bergayutan di halaman Syed Imran. Jadi aku cuba tanam di halaman rumah aku dan nampaknya serasi. Bukanlah harap sangat akan buahnya, tapi rasa gembira apabila mula menampakkan hasil.

Dari kejauhan aku melihat pacuan empat roda Encik Hazrul sudah mula menghampiri kawasan rumah. Melalui lorong kecil yang kiri kanannya ditumbuhi dengan pohon-pohon jacaranda. Bunga-bunga kuning sudah terdampar di sepanjang lorong. Sungguh cantik. Sungguh indah. Akan berterbangan apabila ditiup angin, juga setiap kali ada kenderaan yang melalui lorong tersebut.

Ah! Aku tahu kenapa Bukit Cendana menjadi pilihan Encik Hazrul. Bukan saja mendamaikan, bahkan menyajikan pemandangan yang sangat cantik.

"Papa dah balik..." bisik aku perlahan ke telinga Humairah. Humairah pasti saja tidak duduk diam apabila melihat kelibat kenderaan papanya. Seolah-olah tahu, si papa sudah pulang. Pulang membawa kasih sayang yang melimpah-ruah.

Perasaan aku tetap sama setiap kali menyambut kepulangan Encik Hazrul. Sama seperti mula-mula kami tinggal serumah dulu, ketika terpaksa menjadi suami isteri olok-olok. Perasaan itu juga masih sama seperti ketika kami sudah bergelar suami isteri yang sah. Sikit pun tidak berkurang. Mungkin itulah rasa kasih yang tidak terhingga buat dirinya. Tak pernah jemu walau sedikit. Tetap merindui dirinya walau berpisah untuk jangka masa beberapa jam sahaja.

Paginya seawal jam lapan pagi, Encik Hazrul sudah memulakan tugasnya. Tengah hari akan pulang makan tengah hari dan solat zuhur. Sambung semula bekerja sehingga jam lima petang. Tidaklah berjarak terlalu lama dia tinggalkan rumah. Entah kenapa rasa rindu itu tetap juga menggebu.

Mata tetap memberi tumpuan terhadap pacuan empat roda sehinggalah kenderaan itu berhenti betul-betul antara pintu masuk dengan deretan pokok bunga matahari. Berlalu beberapa saat, lelaki yang kami tunggu keluar dari kenderaan.

Suami Edisi TerhadWhere stories live. Discover now