Part 1

146 9 0
                                    

Ramadhan.

Habis kelas, Ja memecut terus ke rumah, meninggalkan perkarangan kampus. Walaupun budak-budak kelas mengajak berbuka puasa bersama-sama, Ja lebih selesa untuk bersama-sama keluarga. Lagipun, hari ini Abang Jiji balik. Bukan senang hendak bertemu abangnya yang seorang itu. Belajarnya nun jauh merentas lautan di Sarawak sana.

Baru saja Ja parking skuternya yang berwarna pink itu, telefon bimbitnya berbunyi. Nokia model Butterfly berwarna seperti skuternya itu ditarik keluar daripada poket seluar. Pada paparan skrin kecil itu tertulis 1 message received.

Dibuka dan dibaca mesej tersebut, lama juga Ja cuba menghadam mesej daripada Lyana rakan baiknya itu. Sudahlah panjang mesejnya tetapi ditaip menggunakan perkataan ringkas. Nampak sangat Lyana sedaya upaya memuatkan ayat-ayat tersebut di dalam satu paparan mesej. Yang Ja faham adalah ayat terakhir saja. Biarpun ditulis terlalu ringkas tetapi nama Jiji di hujung itu buat dia cepat tangkap. Mesti Lyana minta dia sampaikan salam kepada abangnya.

Ja lepas gelaknya. Tak dapat nak bayangkan Lyana dan dirinya jadi ipar duai. Mesti setiap kali dia dan Abang Jiji bergaduh, Lyana akan tersepit di tengah-tengah. Mana satu yang perlu dimenangkan kerana dia pasti akan seret Lyana supaya masuk ke dalam gengnya. Jauh Ja berangan sehingga mula menganyam masa depan.

"Hati-hati senyum tu Ja."

Terpempan Ja ditegur satu suara datang dari tembok sebelah. Ditoleh kepalanya ke kanan dan sekali lagi dia tergamam. Lelaki tinggi berkulit cerah dan bermata jernih sedang memandangnya dengan senyuman manis. Ja kenal sangat lelaki itu. Siapa lagi lelaki yang ada di rumah sebelah ini selain Uncle Khan kecuali...

'Abang Diaz.' Orang jauh dah balik! Sorak Ja di dalam hati, namun sedaya upaya disorokkan perasaan itu dari terzahir melalui riak mukanya.

"Takut semut datang. Manis sangat senyum tu." Diaz senyum sampai barisan gigi putihnya kelihatan. Sedang Ja sudah tidak senang memandang. Terasa jantungnya seperti hendak melompat keluar.

"Bila sampai?" soal Ja malu-malu. Suara antara keluar dan tidak saja kedengarannya.

"Malam tadi. Ja dari kelas ke?" Diaz masih seperti tadi, merenung Ja tak lepas-lepas.

Ja tak jawab sebaliknya cuma angguk perlahan. Nampak seperti dia tak berminat untuk bersoal jawab tetapi tidak sebenarnya. Dia sedang mengawal diri yang terlalu seronok kerana Diaz dah balik.

Sudah berapa tahun mereka tak bertemu? Ja mencogak. Rasanya lebih daripada 5 tahun. Yalah, Diaz belajar di luar negara, ambil bidang perubatan pula tu. Balik ke sini hanya beberapa kali saja, biarpun hari raya.

Ja genggam tangannya erat, gementar perasaan menjadikannya begitu.

"Ja masuk dulu ya Abang Diaz." Ja cepat-cepat turun dari skuter, lambai tangan kemudian berdesup masuk ke dalam rumah.

Sebaik pintu ditutup, Ja urut dadanya berkali-kali. Dia tahu perbuatannya nampak tak sopan meninggalkan Diaz begitu tetapi perasaan malu mengatasi semua perasaannya.

Lyana! Pujaan hati aku dah balik.'

Next Door OppaWhere stories live. Discover now