Bab 1

6.5K 84 0
                                    

SUASANA pagi yang pada mulanya digamatkan oleh suara para eksekutif serta pengerusi yang asyik berbincang sesama sendiri, tiba-tiba senyap sunyi sebaik sahaja pintu bilik mesyuarat dibuka.

Sesaat kemudian muncul sesusuk tubuh gempal Pengarah Urusan, Encik Rashid Abdullah sambil dengan penuh hormat mempersilakan seseorang memasuki bilik itu.

Setiap mata terpaku merenung sehinggalah lelaki yang baru sahaja mengambil alih pentadbiran syarikat itu melabuhkan punggung di tempat duduk di kepala meja panjang berbentuk bujur itu - tempat yang kebiasaannya diduduki oleh tuan pengarah ataupun ketua-ketua syarikat.

Teka-teki serta agakan yang selama ini bermain di kepala masing-masing kini sedikit sebanyak sudah pun terjawab.

Baru seminit Encik Rashid memberikan kata alu-aluan, kedengaran daun pintu diketuk sekali gus terbuka lebar. Semua yang berada di dalam bilik itu berpaling ke arah pintu.

Masing-masing terpaku bagaikan ditarik oleh kuasa magnet. Lebih-lebih lagi apabila wajah yang baru muncul di muka pintu itu adalah wajah ayu seorang gadis.

Dengan pipi berona merah kerana disimbah rasa malu dan senyuman bersalah tersemat di bibir manisnya, Puteri segera membisikkan ucapan maaf. Malang sungguh nasibnya pagi itu.

Selepas menumpangkan Nanu ke sekolah rendah di mana dia mengajar yang letaknya tidak berapa jauh dari situ, keretanya tiba-tiba sahaja semput di separuh jalan. Gawat.

Di dalam suasana hujan renyai-renyai, dia terpaksa mengorak langkah seribu. Semput dan kuyup. Stail rambut yang pada mulanya berblow rapi, kini berubah menjadi ikal mayang ala wet-look. Macam mi segera.

Dengan gaya tanpa dirancang begitu, Encik Rashid sendiri entah boleh kenal entah tidak.

Sejak semalam lelaki tua itu berkali-kali memperingatkan dia tentang perjumpaan pagi itu.

Walau bagaimanapun yang penting dia tiba tepat pada masanya seperti yang tertera pada memo yang diterimanya beberapa hari yang lalu. Namun yang jelas, dialah yang paling lewat! Bilik itu sudah pun dipenuhi. Mukadimah nampaknya sudah pun bermula.

Tanpa berlengah lagi Puteri mengambil tempat duduk kosong di kalangan sebilangan besar wajah-wajah yang tidak dikenalinya itu.

Kebetulan kerusi yang bersebelahan diduduki oleh Kakak Ana, salah seorang pegawai eksekutif dari syarikat yang sama dengannya. Menjeling nakal pada Puteri yang kelihatan tidak ubah bagai anak kucing malang yang baru terselamat dari arus longkang, Kakak Ana segera menghulurkan sebungkus tisu.

Encik Rashid pula berdehem penuh makna. Dia tersenyum kelat kemudian berpaling memohon maaf daripada Tuan CEO, lalu menyambung ucapannya yang tergendala.

"Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan tentu sekali pernah mendengar nama Hakim Dato' Salihin ataupun PRO - Mega Constructions & Architecture. Kita berada di sini pagi ini..."

Mohd. Hakim Dato' Salihin? Hakim? getus suara hati Puteri. Tiba-tiba sahaja dadanya berdebar kencang. Dia jadi panik. Tubuh yang sejuk kini tiba-tiba sahaja berbahang dari hujung kaki sehingga ke ubun-ubun. Bagaikan peluru berpandu, matanya segera mencari sasaran. Akhirnya dia tergamam. Nafasnya bagai tersekat.

Tak mungkin... bisik hatinya, cemas. Dia tidak ingin percaya pada mata sendiri. Tidak mungkin lelaki itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapan matanya? Tetapi apabila diamati, memang benar wajah tampan berkarisma yang kini sedang menjadi tumpuan ramai itu adalah milik Hakim.

Memang betul... dia... Hakim!

Taklimat bermula. Seperti biasa suara Encik Rashid kedengaran jelas dan mantap, disusuli oleh ucapan Hakim Dato' Salihin. Namun Puteri tidak lagi faham hujung pangkalnya. Apa yang kedengaran di telinganya hanyalah degup jantung sendiri.


Selamat Tinggal SayangWhere stories live. Discover now