Bab 9

2.9K 72 0
                                    

"MAK tiri?"

Fauziah tergelak selepas mendengar cerita Elfira.

"Gelaklah, gelak. Kau ni memang suka gelakkan aku, kan?" Elfira geram melihat Fauziah yang tidak berhenti ketawa dari tadi. Dia sangka Fauziah akan bersimpati dengannya sebaliknya dia pula yang digelakkan.

"Kelakar juga Si Danish tu, ya," ujar Fauziah bersama sisa tawa yang masih ada.

"Apa yang kelakarnya?" tanya Elfira.

Entah apa yang melucukan temannya ini sampai ketawa tidak berhenti. Elfira berpeluk tubuh. Wajahnya mencuka.

"Yalah, orang lain punyalah panggil makwe dia orang dengan panggilan sayang, darling, honey, B... Tup-tup, dia panggil kau mak tiri?" Fauziah tergelak lagi.

"Tolong sikit ya, bila masa pula aku jadi makwe dia?" Elfira membantah.

Dia kurang senang mendengar gurauan Fauziah. Mana tahu kata-kata Fauziah umpama doa yang menjadi kenyataan pula nanti sedangkan dia langsung tidak berkenan dengan Danish. Semua ciri lelaki idamannya tiada pada Danish.

"Alah, anggap ajelah tu panggilan manja dia untuk kau." Fauziah semakin galak mengusik.

"Banyaklah kau punya panggilan manja!" marah Elfira.

"Hah, tengok! Kan betul kata Danish, kau memang garang macam mak tiri," giat Fauziah. Belum puas mengusik si teman.

"Amboi, kau ni kawan siapa sebenarnya? Dahlah, lepas ni aku tak nak cerita apa-apa lagi kat kau." Elfira menarik muka. Berkecil hati dengan Fauziah. Sanggup Fauziah menyebelahi Danish yang tidak dikenalinya itu.

"Eleh, merajuklah pula." Fauziah mencebik. Tak percaya yang Elfira terasa hati dengannya. Bukannya mereka tak biasa bergurau begitu.

Namun, Elfira masih berpura-pura merajuk. Biar Fauziah rasa bersalah. Siapa suruh menangkan Si Danish tu?

"El, kau merajuk betul ke ni?"

Elfira diam.

Fauziah mula cuak.

"Tadi kau kata nak makan, kan? Jom!" ajak Fauziah. Sengaja mengumpan Elfira.

"Tak nak! Kau pergilah makan sorang-sorang," balas Elfira. Konon tak termakan dengan pujukan Fauziah. Ingat dia budak kecik ke nak umpan dengan makanan?

"Sampai hati kau biarkan aku makan sorang-sorang. Jomlah makan sama-sama. Hari ni lauk favourite kau, kan?" Fauziah tak jemu memujuk.

"Ya ke?" Wajah Elfira berubah. Tidak lagi masam.

"Ya, hari ni kan hari Rabu."

"Hari ni hari Rabu, ya? Aku baru teringat. Nasib baik kau ingatkan aku. Aku SMS Anzalna kejap."

Hilang sudah rajuknya. Bukannya betul pun. Sengaja dia mahu mengusik Fauziah.

Elfira mencapai telefon bimbitnya mahu menghubungi Anzalna untuk mengajaknya makan bersama. Kebiasaannya, mereka memang akan makan bersama-sama. Walaupun dia lebih rapat dengan Fauziah, dia tak pernah lupakan Anzalna. Dia bukanlah orang yang mudah lupakan kawan.

Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada SMS yang masuk. Dia membaca SMS itu.

"Anzalna keluar. Dengan Irwan kut. Kita makan berdua ajelah." Elfira memberitahu Fauziah tentang kandungan SMS yang dikirim oleh Anzalna.

Walaupun Anzalna tidak menyatakan dengan siapa dia keluar namun Elfira seolah-olah sudah dapat mengagak. Mungkin mereka sudah berbaik-baik semula, fikir Elfira.

Peristiwa dia ternampak Anzalna makan bersama Irwan hari tu dan kejadian pagi tadi dibiarkan berlalu. Biarlah Anzalna dengan kehidupannya. Dia sudah besar. Pandai-pandailah dia menjaga diri. Dia malas nak masuk campur.

Cuma dia agak terkilan apabila Anzalna tidak berterus terang dengannya. Dia bukannya ingin menyibuk tentang kehidupan Anzalna. Cukuplah sekadar Anzalna memberitahu dia keluar dengan siapa dan di mana. Bukan apa, kalau terjadi apa-apa kepada temannya itu, mudahlah dia mahu mencari.

Tapi nampak gayanya, Anzalna memilih untuk berahsia dengannya. Jadi, takkan pula dia nak terhegeh-hegeh bertanya? Mungkin Anzalna tidak menganggapnya sebagai kawan yang penting.

MEREKA sudah bersiap-siap untuk pergi ke dewan makan apabila sekali lagi telefon bimbit Elfira berbunyi menandakan ada SMS yang masuk. Selepas mengunci pintu bilik, Elfira mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar. Sambil berjalan, dia membaca mesej yang baru diterimanya.

Keningnya berkerut tatkala melihat nama si pengirim.

"Irwan?" Elfira menyebut nama si pengirim perlahan namun masih dapat didengari oleh Fauziah.

"Alah, bukan Danish ke?" usik Fauziah sambil tersengih.

Elfira menghadiahkan jelingan maut kepada Fauziah. Sengaja mahu menakut-nakutkan Fauziah walaupun dia tahu jelingan mautnya itu langsung tidak berkesan kepada Fauziah.

"Irwan ajak makan sekali. Macam pelik aje." Elfira menyatakan kehairanannya. Tak pernah-pernah pula Irwan mengajaknya makan apatah lagi jika Anzalna tak ada.

Entah-entah Irwan tersilap hantar SMS tak?

"Apa yang peliknya?" tanya Fauziah.

Elfira tidak menjawab pertanyaan Fauziah. Dia membalas kiriman SMS itu untuk bertanya sama ada Irwan tersilap menghantar SMS atau tidak. Manalah tahu kut-kut Irwan nak hantar SMS kepada Anzalna tapi terhantar kepadanya. Malulah dia jika dibuatnya Irwan tersilap menghantar SMS.

Dia sendiri pun tahu kedudukannya di mata Irwan. Dia ada atau tidak, Irwan mana pernah peduli. Kalau Anzalna tak ada saja, baru Irwan ambil peduli. Dan dialah yang menjadi PA tak bertauliah Anzalna untuk menjawab segala persoalan Irwan.

Tak lama kemudian, SMS yang dihantar dibalas oleh Irwan.

Elfira membaca SMS tersebut. Ternyata Irwan memang menghantar SMS itu kepadanya.

"Irwan ajak makan kat kafe. Okey ke?" ujar Elfira seraya menaip SMS untuk dibalas kepada Irwan. Bertanyakan sama ada Anzalna ada bersamanya atau tidak.

"Aku okey aje asalkan perut kenyang," jawab Fauziah.

Tanpa menunggu lama, SMS tadi mendapat jawapan. Elfira segera membaca SMS yang dibalas oleh Irwan.

"Anzalna tak ada?"

Bertambah-tambah rasa pelik dalam hatinya. Dalam benaknya mula terfikir akan sesuatu.

Sebelum ini Irwan jarang-jarang menghantar SMS kepadanya. Malah, boleh dibilang dengan jari. Itu pun setakat hal-hal penting saja dan jika dia tidak dapat menghubungi Anzalna.

Tapi tiba-tiba saja Irwan menghantar SMS kepadanya dan mengajaknya makan?

Tanpa Anzalna pula tu.

Memang pelik bin ajaib!

Tiba-tiba dia teringat akan kejadian pagi tadi. Adakah mereka masih bergaduh gara-gara kejadian pagi tadi?


Bukan Tak SukaWhere stories live. Discover now