Senyum tanpa perisa.
Ketawa tiada rasa.
Terjeruk oleh rasa yang kuat mencengkam,
Melepas tiada.
Sedih tak terluahkan,
Pedih tak tertahankan.
Tempelan senyuman berisi duka.
Umpama menoreh hati menjadi hirisan dan
keping-keping kecil.
Kau mamah, kau kunyah,
Liat tak bisa ditelan.
Setiap kunyahan terzahir kisah di layar mata.
Sentiasa perlu kau hadapi.
Pasti.
Papp! Kertas usang itu berlaga apabila kulit buku itu ditutup kasar. Sekadar itu yang tertulis dimuka surat terakhir. Dia mengharapkan lebih, jujurnya. Paling tidak dimana dia boleh bertemu Dawi atau Setopa atau sesiapa sahaja yang pernah mengenal mereka. Bukan puisi entah berkisar tentang entah apa-apa ni. Adena menyumbat buku itu ke dalam beg sandangnya. Dia percaya buku lama itu ada gunanya. Biar bukan sekarang, setidaknya nanti. Mustahil hanya puisi itu yang tertulis sedangkan muka lain kosong tak berusik. Pandangannya meliar ke sekeliling ruang kecil bawah tanah itu. Rata-rata barang-barang disitu tidak teratur. Selayaknya sudah dibongkar berkali-kali. Oleh siapa, Adena tak peduli. Dia tak mahu berurusan dengan mereka itu. Ketemu pun tak mahu. Dia berdiri sambil menutup kepalanya dengan tudung mantel hijau emerald yang mencecah tanah itu. Kemudian, tapak tangannya diarahkan pada ruang hadapan beg yang terdedah itu, "võti."
Beg sandang hitam yang tersadai di atas meja yang berdiri dengan tiga kaki itu terapung di ruang udara, setengah kaki dari lantai. Penutup beg yang terbuka itu bergerak tutup dengan sendirinya, disatukan oleh keronsang berbatu tiga. Batu itu juga emerald warnanya, menyala tiga saat sebelum beg hitam itu bertukar ke warna serupa. Hijau gelap. Adena mencapai tangkai beg yang terapung itu dan disarung ke bahu. Pencarian Dawi belum bertemu hujung lagi.
