"Iman, kenalkan, ini Aunty Lia.Kawan persatuan mama. Yang cantik manis tu pulak anak dia, Lily. Cantikkan dia, mata bulat, muka bujur sirih, dagu berbelah, rambut hitam berkilat." Puan Iris terus memuji.

Iman hanya mempamerkan senyuman kakunya itu. Memang Lily anak kepada Aunty Lia itu cantik, tapi tak perlulah mamanya memuji seolah dia tiada mata untuk melihat.

"Eh jomlah, mama dah lama siapkan sarapan. Kesian kat Aunty Liadengan Lily, tunggu Iman lama sangat. Jom Lily, mesti Lily dah lapar kan?" pelawa Puan Iris sambil berjalan ke arah Lily dan memegang tangan gadis itu untuk berpimpin bersama ke arah meja makan sambil meneruskan kerja mulutnya.

"Auntymasak masakan kegemaran Iman. Iman ni suka makan udang. Jadi auntymasaklah udang sambal. Lily suka makan udang jugak ke?"

Iman hanya mampu menggelengkan kepala sambil melihat tiga batang tubuh yang sudah berjalan ke ruang makan. Kepalanya yang tidak gatal itu digaru-garu. "Masak aku kalau macam ni."

AHAD datang lagi selepas seminggu mereka pulang dari kampung. Seperti minggu-minggu yang lain, ini adalah hari Qaisara berehat. Dalam seminggu dia cuma ada sehari untuk berehat sepenuhnya. Itu pun ada minggu yang bukan sepenuhnya. Kalau ada pesanan terpaksa juga dia bekerja terutama yang melibatkan tempahan kek perkahwinan. Saat melangkah keluar dari dalam bilik setelah selesai mandi, bersarungkan kasut berkepala katak, dia terus ke ruang tamu. Qhalish di situ, terbaring sambil menonton televisyen.

"Awal bangun," sapa Qaisara sambil duduk di atas sofa.

"Semalam tidur awal. Itu yang pagi ni bangun awal."

Qaisara angguk. Teragak-agak pula dia hendak bertanya. "Bukan semalam kau keluar dengan Arisa ke?"

Dia teringat sesuatu yang didengarinya tanpa tidak sengaja minggu lalu sewaktu di kampung. Sewaktu dia berada di dalam bilik arwah kedua orang tuanya, tiba-tiba dia terdengar Arisa meninggikan suara. Baru dia hendak buka tingkap kayu itu untuk melihat apa yang berlaku, dia terdengar perbualan antara Arisa dengan Qhalish secara tidak sengaja. Walaupun tingkap itu tidak jadi dibuka, tapi dia dapat mendengar pertelingkahan yang berlaku itu.

"Tak adalah. Lish jumpa Iman kejap semalam."

Qaisara sudah mencebik mendengar nama itu. Doanya tidak begitu dimakbulkan Tuhan. Selepas balik dari kampung, Iman masih muncul dalam hidupnya. Boleh dikatakan selang sehari lelaki itu akan datang ke kafenya. Kalau tak siang, pasti malam sewaktu dia hendak menutup kafe. Dia sendiri tidak tahu apa yang Iman mahu darinya. Bila ditanya jawapannya, "Nak kenalan."

Bila disoal untuk apa? Balasnya, "Salah ke?"

Qaisara enggan bersoal jawab lagi. Dia pasti kalau disoal adiknya ke yang suruh, pasti lelaki itu tak akan mengaku juga. Entah apalah yang ada pada dirinya sampaikan Iman boleh turutkan kata-kata Qhalish. Entah-entah Iman dibayar oleh Qhalish. Lelaki itu bukan boleh percaya sangat. Haji Bakil Tuan Tanah Kedauk!

Qaisara semakin yakin memang Qhalish yang hantar Iman untuknya selepas mendengar perbualan antara Qhalish dan Arisa malam itu. Qaisara tahu adiknya seorang yang sangat menyayanginya. Tapi kejamkah dia sebagai seorang kakak membiarkan adiknya dalam keadaan dilema seperti itu?

Qaisara geleng kepala sambil mencapai majalah masakan di atas meja. Mungkin boleh memberi idea baru atau resipi baru di kafenya. Tapi rasanya majalah itu seolah mengaburi apa yang mengganggu fikirannya seminggu ini. Beberapa kali juga dia cuba bertanyakan soalan itu kepada adiknya, tapi tiap kali bertentang mata, tidak jadi teruskan. Adakah kerana dia takut akan kehilangan adiknya.

Sara, adik kau cuma kahwin aje, bukan pergi mana pun, pujuknya dalam hati.

Qaisara pandang Qhalish. Nafas berat dilepaskan. Ditenung adiknya yang sedang baring itu dari kaki sampai kepala. Sedar tak sedar adiknya itu sudah besar rupanya. Sama tinggi dengannya pula. Tahun ini masuk 26 tahun. Dah sampai masa pun sepatutnya untuk adiknya itu berumah tangga.

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHWhere stories live. Discover now