"Tolong teman tengok tv."

"Hah? Apa dia?" Aku salah dengar ke? Betul kan mat salih celup ni cakap Bahasa Melayu ?

"Tolong teman tengok tv." Ulang Ian satu persatu.

Aku terus ketawa menyebabkan wajah Ian menjadi merah.

"Okey, okey. Jom."

Memang kami ini pasangan pengantin baru yang paling kelakar kut. Ada ke tengah-tengah malam, pengantin baru tengok televisyen. Haih, memang buat rancangan Maharaja Lawak betul !

"Awak memang selalu tidur lambat ya?" Soalku sambil anak mataku terpaku pada filem Pirates of the Carribean yang diulang tayang kembali.

"Yup."

"Kenapa? Banyak kerja ke?"

Aku pelik sendiri. Nak cakap banyak kerja, Ian bukannya start bekerja di sini lagi.

"Nope. Jet lag I guess. I can't adapt to the changing of time."

Ha'ah kan. Betul jugak! Kan waktu dekat UK lambat tujuh jam dari Malaysia. Aku teringat sewaktu aku belajar dahulu, ada seorang kawan serumah denganku yang selepas sebulan lebih barulah jet lag dia hilang.

Keadaan kembali sunyi sepi. Tambahan pula, ahli keluarga yang lain sudah tidur kerana kepenatan menguruskan persiapan kenduri. Aku sendiri sebenarnya sudah penat dan terasa sangat mengantuk. Cuma encik suami yang dekat sebelah ni masih segar bugar.

"Nanti bila awak dah nak masuk tidur, kejutkan saya tau." Pesanku.

"Sorry?"

Haih, susah cakap dengan mat salih celup ni.

"If you're done watching tv, please wake me up."

"Oh, alright."

Aku mula memejamkan mata dalam keadaan duduk di atas sofa. Tidak lama kemudian, aku sudah tidak sedar apa-apa.

Telingaku menangkap laungan azan Subuh dari masjid berdekatan. Aku terus duduk dan sepasang mataku mencari jam dinding bilik tidurku. Eh, tak ada pulak jam ni. Takkan dah lari pulak?

Kejap! Ni bukan bilik tidur aku! Aku mengerling ke sebelah dan kelihatan Ian sudah tertidur dalam keadaan duduk. Televisyen di ruang tamu masih terpasang. Aku jadi bingung seketika.

Ya Allah, rupanya aku tidur atas riba mamat ni ! Eh, tapi malam tadi aku tidur duduk. Aku sangat pasti ! Sebelum satu rumah bangun dan terkejut tengok kami berdua, baik aku masuk bilik. Aku terus bangun dan cepat-cepat ingin masuk ke dalam bilik tetapi kemudiannya berpatah semula ke ruang tamu. Macam manalah aku boleh lupa nak kejutkan encik suami sendiri ?

Aku yang masih 'bercuti' kerana tidak boleh solat, mula membaca Mathurat sementara Ian menunaikan solat Subuh. Usai solat Subuh, Ian merebahkan tubuh di atas tilam air dan menyambung tidurnya kembali. Aku yang menjadi pemerhati, hanya menggelengkan kepala.

"Tidur lepas Subuh tak elok. Nanti rezeki lari." Tuturku sambil menarik selimutnya.

"Hah ?"

Haih, susahnya nak berkomunikasi. Sudahnya, aku meninggalkan Ian yang mahu menyambung tidurnya dan turun ke tingkat bawah. Kelihatan mama sedang menyapu laman rumah yang agak berselerak.

"Eh, Iman! Dah bangun ke?" Sapa mama sambil tersenyum.

Aku hanya mengangguk sambil tersenyum.

Encik Suami Mat Salih Celup (Adaptasi ke Slot Dahlia TV3 mulai 25/06/2017)Where stories live. Discover now