"Mama lah." Aku sempat tersengih sambil tayang muka yakin.

"Tak pun, Iman pergi sorang je lah. Mama jaga rumah. Tak adalah Iman risau pasal rumah ni nanti." Sindir mama.

"Ala, mama. Iman gurau aje tadi. Jom, jom kita gerak sekarang." Aku pantas menyarung kasut, mengunci pintu dan menarik tangan mama. Mama tak ikut ? Boleh jadi lagi haru nanti !

Pintu kereta BMW X6 hitam itu dibuka dan kami memboloskan diri untuk masuk selepas memberi salam. Apabila anak mataku bertemu dengan anak mata Ian menerusi cermin pandang belakang, darahku terasa kering. Hai la, salah pilih tempat duduklah pulak !

"Mama, tukar tempat dengan Iman boleh tak ?" Bisikku perlahan. Kenapalah aku pandai sangat pergi duduk belakang driver seat ni ?

"Nak tukar kenapa pulak ? Tak nak lah, susah mama nak sembang dengan Auntie Julia ni." Jawapan mama membuatkan darahku terasa kering kembali.

Aku sudah menggigit bibir dan memandang keluar tingkap. Kereta bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah. Mama dan Auntie Julia rancak bersembang. Sesekali, Auntie Julia berbual pula denganku. Ian Hadif hanya membisu sedari tadi dan lebih fokus terhadap pemanduannya. Aku agak, mungkin dia tidak biasa memandu di sekitar kawasan Kuala Lumpur kerana kadang-kadang dia terkial-kial mencari jalan.

"Ian memang tak banyak cakap sebab Bahasa Melayu dia tak fluent sangat." Beritahu Auntie Julia tiba-tiba. Aku sangat terkejut!

"Dah lama sangat duduk dekat UK tu sampai bahasa ibunda sendiri tak fasih." Tambah Auntie Julia lagi. Menerusi cermin pandang belakang, aku dapat mengintai wajah Ian yang tidak berubah riak.

"Kalau kita mengata dia, dia faham tak, auntie?" Soalku tiba-tiba membuatkan mama mencubit lenganku.

"Faham, tapi dia akan reply in English. Tapi kalau kita cakap laju-laju sangat or guna Bahasa Melayu yang bombastik, dia susah sikit nak faham." Jawab Auntie Julia berserta tawa kecil.

Aku ketawa jahat di dalam hati. Ni memang anak mat salih celup betul! Rasanya kalau kena celup dalam sambal belacan macam mana orang suka celupkan biskut Oreo dalam susu, mesti mamat ni jadi orang Melayu balik. Anak mataku berlaga dengan sepasang anak mata berwarna kelabu cair itu lagi. Alamak, dia nampak ke aku tengah sengih-sengih jahat tadi ?

Kereta diparkirkan dengan berhati-hati, tidak jauh dari Restoran Murni di kawasan Kepong. Mama sudah menonong berjalan dahulu bersama Auntie Julia. Pada mulanya memang aku nak angkat kaki jugak, tapi kesian pulak nak tinggalkan mat salih celup tu terkial-kial sorang-sorang. Penampilan Ian yang ringkas dengan kemeja checkered berwarna biru dan putih yang dipadankan dengan seluar khakis itu, kupandang sekilas.

"Too hot, am I?"

Aku terus terbatuk-batuk, terasa mahu muntah warna-warni di situ jugak. Wah, mat salih ini pandai angkat bakul masuk sendiri rupanya! Wajah Ian yang sedang tersenyum sinis itu kupandang.

"Jangan nak perasan sangat ya." Jawabku dan cepat-cepat mengatur langkah. Ian terkebil-kebil memandangku. Aku kisah apa dia tak faham Bahasa Melayu!

"Amani."

Langkahku terhenti. Siapa Amani? Eh, itu kan nama aku jugak ! Aku berpaling dan kelihatan Ian berjalan menghampiriku.

"You still owe me a lot of explanations. Why do you leave me clueless that day?" Soal Ian. Hadui, slang British mamat ni lah. Pekatnya!

Encik Suami Mat Salih Celup (Adaptasi ke Slot Dahlia TV3 mulai 25/06/2017)Where stories live. Discover now