Pesanan Ashraff sebentar tadi terngiang-ngiang di cuping telinganya. Komputer riba pantas dirapatkan. Beg di bawah meja ditarik keluar dan komputer riba disumbat ke dalam beg. Terkocoh-kocoh kaki Saiful melangkah keluar dari The Legacy.

Tak nak dia tunggu dalam ofis lama-lama. Dah nak masuk waktu maghrib ni. Kalau ada Harun kerja sama-sama malam ni beranilah juga dia. Ini kena tinggal seorang diri, tak mahulah dia.

ASHRAFF mengetuk stereng kereta dengan hujung jari tangannya. Tidak tahu mahu menghala ke mana.

"Balik rumah dululah."

Mitsubishi Evoque yang baru sahaja membelok ke kanan berhenti mengejut. Ashraff terkocoh-kocoh keluar dari keretanya. Kaki terus berlari ke belakang kereta.

Ashraff menghela nafas lega. Fuh. Nasib baik tak ada apa-apa. Ingatkan dah remuk kereta dia tadi.

"Saya minta maaf."

Perempuan rupa-rupanya, patutlah bawa kereta macam orang gila aje. Ashraff menoleh ke belakang.

Aulia dan Ashraff sama-sama terkejut. Tak sangka akan bertemu lagi dengan manusia yang sama. Aulia rasa seperti ingin berlari masuk ke dalam kereta semula.

"Saya tak langgar kereta encik, kan? Saya balik dulu." Aulia yang baru sahaja mahu melangkah pergi terhenti apabila tangannya dipaut oleh Ashraff.

Amboi... Amboi mamat ni, tak ada adab langsung! Suka hati aje pegang tangan anak dara orang.

"Encik ni tak reti nak beradab sikit ke?" Mata Aulia melirik ke tangannya yang masih dipaut oleh Ashraff.

Ashraff tersengih malu sambil melepaskan pautan pada lengan Aulia. "Sorry."

Aulia mengeluh kecil. Kenapalah dia masih terjumpa dengan mamat miring ni. Kan dia dah minta doa supaya tak bertemu lagi dengan mamat ni. Adoi, malangnya nasib dia.

"Awak nampak terkejut. Awak okey ke?" Aulia menjeling. Kau gila tak terkejut? Nasib baik brek berfungsi dengan baik, kalau tak dah makan kaca dia tadi gamaknya. Pecah berderai cermin kereta dia... Mungkin, desis Aulia dalam hati.

"Saya okey, jangan risau." Sekali lagi Aulia berpaling untuk melangkah pergi daripada menghadap muka Ashraff.

Ashraff berlari kecil lalu berdiri di hadapan Aulia.

"Saya Ashraff."

Aulia menjeling sedikit. Nak menguratlah tu. Salah orang la abang, oi. Kalau tak silap Aulia hari tu, lelaki ni cakap dia beli kasut untuk buah hati. Ada hati nak berkenalan dengan dia lagi? Dasar lelaki buaya darat!

Tidak mempedulikan Ashraff yang menghulurkan tangannya, Aulia berjalan mengelak daripada Ashraff.

Sekali lagi Ashraff berlari ke hadapan Aulia. Keningnya diangkat sedikit.

"Nama you?"

"Tak ada nama."

Ashraff kerut kening. "Tak ada nama? Anonymous?"

Nak buat lawak bodoh pula lelaki depan dia ni. Kalaulah hari tu lelaki ni bagi dia kasut berwarna merah tu mungkin dia akan memberitahu nama dia yang paling sedap di dunia kepada lelaki ini. Tapi sekarang ni dia tak ada masa nak melayan lelaki tak gentleman yang ada di depan mata dia sekarang ni.

"Takkan nak cakap nama pun tak boleh? Sombongnya!"

Aulia menjegilkan matanya. Sombong? Kepala hotak dia! "Ehhh, kenapa encik ni sibuk sangat nak tahu nama saya?"

"Yalah, I kena tahu nama you sebab kalau I jumpa you lagi senang I nak panggil you."

Aulia merengus kasar. "Awak takkan jumpa saya lagi sebab saya akan berdoa setiap hari supaya saya tak jumpa muka awak lagi."

Ashraff tergelak besar. Garang betul perempuan depan dia ni. Muka cantik tapi perangai nampak kasar walaupun pakai skirt separas lutut berwarna merah jambu terang. Menyerlah gitu.

"You janganlah garang sangat, nanti cepat tua. Let me guess, umur you mesti dah tiga puluh dua tahun, kan?"

Aulia rasa nak tampar mulut celopar Ashraff. Suka hati aje teka umur dia. Dah tu salah pula tu!

"Yang awak ni suka hati nak teka umur saya ni kenapa? Dah tak ada kerja lain nak buat? Tepi! Saya nak balik rumah." Aulia menyinga tiba-tiba.

"Sebab you ni garang macam singa. Selalunya orang perempuan terlebih had umur berkahwin memang macam ni... Garang! Hormon tak stabil agaknya."

Aulia gigit bibir bawah. Nafas juga sudah naik turun. Sudah la dia bengkak dengan sikap Salina semasa di pejabat siang tadi tak habis lagi, sekarang ni lelaki ini sengaja nak tambah bengkak dalam hati dia.

"Encik ni dah gila meroyan ke? Dah tak ada kerja lain lagi nak buat sampai nak kacau orang perempuan?"

"Mana ada I kacau you. I saja aje nak berkenalan dengan you tapi you ni sombong sangat. Nak tahu nama pun tak boleh."

"Kenapa nak tahu nama saya?" Aulia bercekak pinggang. Sibuk sangat nak ambil tahu pasal dia kenapa? Macamlah nak jumpa lagi lepas ni. Tak ingin dia!

"Manalah tahu kalau terjumpa lagi nanti... Dekat restoran ke, kan? Takkan nak panggil you puan pula? Nanti tak pasal-pasal kena ketuk dengan heels!"

"Kan dah cakap tadi saya tak ada nama. Kenapa tak faham-faham sangat ni?"

"Mana ada manusia tak ada nama. Meja pun ada nama tau!"

Aulia garu dagunya. "Bila masa pula meja ada nama? Siapa bagi nama meja? Siti Meja? Nur Meja?"

Ashraff menggeleng. "Meja kayu, meja bulat, meja empat segi, meja kaki dua dan macam-macam nama lagilah. Jadi takkan you sebagai salah seorang wanita tercantik di Malaysia ni tak ada nama kut?"

Bukan main lagi Ashraff puji dia. Salah seorang wanita tercantik di Malaysia. Rasa nak tempeleng muka Ashraff sekarang ni juga. Kalau nak memuji dia pun agak-agaklah sikit. Over sangat nak puji.

"Saya ni bukan gila pujian sebab tak kenyang pun kena puji. Lagi satu, kalau awak tak bagi tahu saya ni cantik pun saya dah tahu yang saya ni memang cantik. Sekarang ni, tepi sikit. Saya nak masuk kereta."

Ashraff masih menekan kuat pintu kereta Aulia. Takkan memberi peluang kepada Aulia untuk masuk selagi Aulia tidak memberitahu namanya kepada Ashraff.

"Siti Habibah!"

Ashraff ternganga kecil. Riak wajah terkejut memang tidak dapat disembunyikan lagi. Ashraff pandang Aulia dari atas hingga ke hujung kaki.

"Siti Habibah? Habis I nak panggil you apa?"

Banyak soallah pula lelaki ni. Tadi tanya nama apa, sekarang ni tanya nama panggilan pula?

"Panggil Bibah." Ashraff angguk faham.

"Sekarang boleh saya balik? Dah malam ni, muka awak pun saya dah tak boleh nampak lagi. Kelam sangat dekat tepi jalan ni."

Ashraff tersenyum sumbing. Rasanya tadi masih agak terang, tak sangka sekejap aje dah malam.

"Take care, Bibah. Drive carefully."

Aulia rasa nak tergelak guling-guling depan Ashraff namun segera ditahan. Tak pasal-pasal nama dia dah bertukar jadi Bibah. Bibah, comel juga nama tu.

Enjin kereta Audi TT segera dihidupkan lalu membelah malam yang kian kelam. Tak pasal-pasal aje dia balik lambat hari ni sebab kena tahan dengan Ashraff. Tak guna punya lelaki. Ada ke patut guna cara macam tu sebab nak tahu nama orang!

Tak romantis langsung. Nasib baiklah otak dia cepat aje terfikir nama Mak Bib dekat rumah. Kalau tak, entah nama siapalah dia nak hentam. Takkan nak hentam nama mummy dia kut?

"Senang aje kena tipu rupa-rupanya mamat tu. Padan muka kau, Ashraff!" Aulia ketawa senang hati. Rasa puas hati dapat kenakan Ashraff kali ini.

Pedal minyak ditekan kuat, dia mahu cepat sampai ke rumahnya. 

Aku, Dia dan StilettoWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu