Suasana di halaman rumah banglo dua tingkat milik Tuan Fairuz dan Puan Maryam bertukar riuh-rendah. Khemah putih yang tersusun rapi di pekarangan rumah itu dipenuhi oleh jiran tetangga, sanak saudara, serta penduduk kampung yang hadir bagi memenuhi jemputan majlis doa selamat sempena kejayaan anak sulung ketua kampung itu, Dr. Fairel Atharizz Calief.
Fairel baru sahaja menamatkan pengajian pada peringkat PhD dari University College London dan secara rasmi dilantik sebagai pensyarah universiti tanah air. Akhirnya, pengorbanan anaknya yang hampir lima tahun merantau ke negara orang seorang diri itu terbalas.
Di bawah satu sudut khemah, Fairel yang memakai baju Melayu teluk belanga berwarna biru lembut sibuk melayan tetamu yang hadir sebelum langkahnya terhenti apabila dipanggil oleh ibunya, Puan Maryam.
"Haa, tu dia bintang utama majlis kita hari ni!" tegur Mak Long, ibu saudara Fairel, sebaik sahaja Fairel mendekati meja santapan keluarga. Matanya melirik Fairel dari atas ke bawah bersama senyuman yang penuh makna. Senyuman kebanggaan.
"Alhamdulillah, Fairel. Majlis doa selamat dah selesai, PhD pun dah selamat dalam genggaman, jawatan pensyarah pun dah dapat.
La ni, soalan Mak Long satu je... bila pula kami nak merasa makan nasi minyak hang ni? Umur hang tu bukan makin muda, Fairel. Dah 29 tahun, terlebih umuq dah ni!"
Fairel ketawa kecil, dia memperkemaskan jam tangan di pergelangan tangannya. Soalan lazim yang saban tahun menghentam telinganya setiap kali dia menghadiri perhimpunan keluarga.
Namun, tidaklah pula dia terguris hati. Dia faham akan kebimbangan ibu saudaranya yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu.
"Doakan yang baik-baik saja untuk Fairel, Kak Long," sampuk Puan Maryam tenang, cuba menyelamatkan anak sulungnya daripada terus dihujani soalan sensitif. Tambahan pula, sejak pemergian adik bongsu mereka beberapa tahun lalu, Fairel lebih banyak menumpukan perhatian untuk menjaga keluarga dan lebih protektif terhadap orang-orang yang tersayang berbanding memikirkan soal jodoh.
"Yelah, Kak Ngah oi... manalah tahu kan, rezeki Fairel dapat pucuk muda? Budak-budak sekarang semua lawa-lawa kalah model tau! " Mak Long menjungkit kening, sengaja memprovokasi.
"Fairel kan mengajar dekat universiti. Apa salahnya kalau nak kawin dengan student sendiri? Budak-budak sekarang kan suka lelaki kerjaya hebat macam hang ni Fairel."
Fairel menggeleng perlahan bersama senyuman nipis yang penuh yakin. "Tak adalah sampai ke situ, Mak Long. Lambat lagi rasanya.
Pelajar-pelajar dekat universiti tu Fairel anggap macam adik-adik je. Tak mungkin lebih daripada tu. Lagipun Fairel ni dah tua, takkanlah budak-budak muda tu nak dekat orang tua macam Fairel ni. Fokus Fairel sekarang cuma nak mendidik dan berbakti pada keluarga."
Bagi Fairel, pintu hatinya sudah lama dikunci rapi, dia hanya menyerahkan soal takdir sepenuhnya kepada masa.
Sementara itu, beratus-ratus kilometer jauhnya di sebuah kediaman elit di Kuala Lumpur, suasana di dewan makan banglo mewah Tan Sri Aaron Lee terasa cukup tegang.
Inara Helena menggenggam erat slip keputusan peperiksaan akhir peringkat Foundation in Arts milik beliau. Senyuman gembira yang terukir di bibirnya sebentar tadi perlahan-lahan pudar sebaik sahaja melihat riak wajah tegas bapanya, Tan Sri Aaron Lee, dan ibunya, Puan Sri Dr. Ayleen.
"No, daddy tak izinkan Inara sambung degree dalam bidang Bahasa Melayu!" tegas Tan Sri Aaron Lee, memecah kesunyian dewan makan itu. Suaranya tenang tetapi mempunyai aura kepimpinan yang tidak boleh disanggah.
"Tapi Daddy... Nara minat sangat dengan bahasa dan penulisan. Nara teringin nak jadi penulis, nak terbitkan novel Nara sendiri suatu hari nanti. Lagipun result foundation Nara cemerlang, Inara yakin boleh dapat kos tu, boleh la daddy" rayu Inara, cuba mempertahankan impian yang disimpannya sejak sekian lama.
"Inara Helena, pandang Mummy sayang" Puan Sri Dr. Ayleen pula bersuara lembut tetapi tegas. Beliau yang berpendidikan PhD dalam bidang undang-undang memahami minat anaknya, namun realiti empayar perniagaan keluarga mereka yang kian rancak membangun jauh lebih mendesak.
"Abang Long kamu, Ammar, dah pilih jadi doktor dekat US. Abang Ngah kamu, Amree, sibuk dengan dunia animasi dekat Jepun. Adik kamu, Ameer pulak tengah training nak jadi pilot dekat UK. Mereka semua dah lari bidang.
Lagipun, tak ada seorang pun abang-abang kamu yang sanggup pegang NA Holdings. Siapa lagi yang Mummy dan Daddy nak harapkan untuk teruskan legasi perniagaan keluarga kita kalau bukan Inara?"
"Tapi kenapa mesti Accounting? Nara tak suka angka, Daddy..." luah Inara dengan nada sebak.
"Sebab Accounting itu asas untuk kamu faham selok-belok perniagaan. Seorang pemilik takkan boleh tahu keupayaan syarikat kalau tak ada ilmu itu.
Kamu anak tu Tan Sri Aaron Lee, Inara. Legasi syarikat kita dekat Malaysia, Singapore dengan Brunei tu perlukan seorang pewaris yang bijak menguruskan kewangan," potong Tan Sri Aaron Lee, menetapkan noktah pada perbincangan itu.
Inara menundukkan kepalanya. Air mata yang bertakung di kelopak mata ditahan sehabis baik. Dia melihat wajah tua kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban.
Perasaan kasihan dan rasa tanggungjawab sebagai anak akhirnya mengalahkan impian peribadinya.
"Alright, fine... Nara akan ambil perakaunan." Akur Inara perlahan.
Walaupun terpaksa menguburkan minat utamanya dalam bidang bahasa dan melupakan impian untuk menjadi seorang penulis novel demi masa depan empayar NA Holdings, Inara berjanji pada dirinya sendiri bahawa suatu hari nanti dia tetap akan mengejar kembali impiannya yang tergendala itu.
Hari itu, dua takdir di lokasi berbeza bermula. Seorang jejaka yang yakin tidak akan jatuh cinta pada pelajarnya sendiri, dan seorang gadis yang terpaksa membuang cita-citanya demi tuntutan keluarga.
VOCÊ ESTÁ LENDO
Dr. Semantik Cinta
RomanceUPDATE HARI-HARI! Lecturer & Student Edition Di fakulti, dia pensyarah 'hot' yang paling diminati. Di luar kampus, dia cuma seorang lelaki berumur 35 tahun yang penat disoal, "Bila nak kawin?" Bagi Dr. Fairel Calief Atharizz, pelajarnya tidak lebih...
