Bab 1

37 1 0
                                        

Pintu dewan kuliah ditolak perlahan.

Krriiit.

Cukup sekadar itu untuk membuatkan Dr. Zamri berhenti bercakap. Kapur di tangannya tergantung di udara, separuh ayat terhenti di papan putih. Tumpuan hampir seratus pelajar beralih serentak ke arah pintu.

Maya berdiri di muka pintu.

Beg sandang tersangkut sebelah bahu, rambut sedikit beralun—seperti dia baru melompat dari satu adegan ke adegan lain. Tiada wajah bersalah, tiada nafas tercungap-cungap. Maya hanya mengangkat tangan sedikit, satu isyarat minta maaf yang ringkas, dan menghadiahkan senyuman nipis yang terlalu biasa untuk dipersoalkan.

Dia melangkah masuk.

Haruman floral lembut mengikut dari belakang, singgah sekejap di udara sebelum hilang. Beberapa pelajar menoleh. Ada yang menjeling, ada yang senyum kecil. Kehadiran Maya selalu begitu—gangguan ringan yang entah bagaimana, disukai.

"Lambat lagi, Maya?" suara Dr. Zamri akhirnya keluar, antara mahu tegas dan malas memanjangkan cerita.

"Tadi ada urusan sikit dekat pejabat HEP, doktor," jawab Maya, tenang macam selalu.

Dia terus ke barisan belakang. Kerusi kosong sudah tersedia, seolah-olah memang ditanda khas untuknya.

"Pukul berapa balik semalam?" bisik Mimi, sambil menolak buku nota ke tepi.

Maya tak jawab. Dia cuma kenyitkan mata.

Semua orang tahu—malam adalah wilayah Maya. Dari satu rumah sewa ke satu rumah sewa, dari kopi murah ke tawa tanpa sebab, perbualan yang melompat sesuka hati sehinggalah soalan berat yang muncul tiba-tiba: "Kau rasa kita ni nak jadi apa sebenarnya?"

Bagi Maya, tiada jawapan muktamad. Dan itu tak mengapa. Dia pulang bukan bila orang lain balik, tapi bila badannya sendiri mengalah—bila ketawa mula kedengaran kosong dan mata terasa berat.

Tidur sekadar formaliti. Pagi datang terlalu cepat dan dua jam tidur sudah jadi rutin.

Sebab itu, walaupun mata sedikit sembap dan badan sengal, langkah Maya tetap yakin menapak di koridor kampus. Bukan kerana dia pelajar contoh—langsung tidak, GPA pun biasa-biasa sahaja—tetapi kerana dia benci ketinggalan. Dia mahu sentiasa ada di mana-mana.

"Seriuslah Maya ni. Hidup dia macam senang je," bisik seorang pelajar di barisan depan yang menyangka Maya tidak mendengar. "Happy-go-lucky. Assignment pun selalu settle last minute."

Maya dengar, tapi dia tidak berniat untuk membetulkan apa-apa. Biarlah dari luar nampak begitu.

Telefon di atas mejanya tiba-tiba bergetar di atas permukaan kayu, memotong bebelan Dr. Zamri di depan. Skrin menyala. Satu mesej masuk, diikuti satu lagi.

“Weh, jadi ke malam ni?” “Maya, kau kat mana?”

Ibu jarinya terapung seketika di atas skrin. Dia senyum kecil—senyum yang lahir daripada kebiasaan kerana tahu dirinya sentiasa diperlukan di suatu tempat, oleh seseorang. Dia tak takut sunyi, dia cuma tak biasa berhenti.

Di bawah meja, jarinya menaip balas dengan pantas sebelum skrin kembali gelap.

"On the way."

---

"Maya, standby! Lima minit lagi kita live!"

Suara garau dari walkie-talkie pengarah projek memotong ruang koridor blok akademik, membuatkan Maya yang baru keluar dari kelas Dr. Zamri terus tersedar sepenuhnya. Segala sisa mengantuk bagai ditarik keluar serta-merta dari sistem badannya.

Blazer hitam yang tersangkut di lengan segera disarung dan ditarik lurus. Rambut beralunnya diselak ke belakang telinga dengan satu gerakan pendek yang tangkas. Wajahnya tidak berubah menjadi orang lain—wajahnya tetap Maya—hanya pandangan matanya sahaja yang kini menjadi jauh lebih tajam.

Ini versi dirinya yang tidak ragu. Versi yang sedia memegang pentas.

Di belakang pentas dewan utama, keadaan ialah sebuah huru-hara yang terselubung. Kabel-kabel hitam bersimpang-siur di atas lantai seperti urat saraf yang panik. Orang-orang berkemeja-T krew berlari dalam nada suara yang separuh cemas, memegang kertas tentatif yang sudah renyuk.

"Maya, teks emcee ada perubahan sikit dekat bahagian nama VIP! Pengarah projek tukar last minute!" Seseorang menghulurkan sekeping kertas baru dengan tangan yang sedikit menggigil.

Maya tenang. Dia menyambut kertas itu tanpa sedikit pun rasa panik, membaca baris nama yang baru itu dalam sekali imbas. Dia berjalan masuk ke dalam kekacauan itu seperti sudah biasa tinggal di dalamnya.

"Settle. Jangan risau," kata Maya pendek, nadanya penuh keyakinan. Suaranya tidak tinggi, tidak perlu menjerit, tapi cukup untuk membuatkan krew di sekelilingnya menarik nafas lega.

Lampu pentas LED menyala terlalu terang, memancarkan cahaya kuning yang menyilaukan pandangan dari celah tirai. Di sebalik tabir hitam itu, dewan penuh dengan suara gemuruh penonton yang mula mengambil tempat.

Maya memegang mikrofon erat di tangan kanannya. Ditgetuknya perlahan dengan hujung jari, memastikan bunyinya melantun sempurna di dalam telinga.

"Tarik nafas," bisik Maya pada diri sendiri, sempat menghadiahkan senyuman nipisnya yang biasa pada cermin kecil di tepi dinding.

"Emcee, tiga, dua, satu... cue!"

Maya melangkah keluar dari sebalik tirai hitam, terus menuju ke tengah pentas utama yang disimbah cahaya lampu.

MA(Y)Æ : PERTEMUAN Stories to obsess over. Discover now