Bab 1

1 0 0
                                        

"Qamarina, bangun cepat. Orang lain semua dah mandi."

Aku, kalau boleh, nak teruskan sahaja tidur tanpa menghiraukan Fariha. Tapi apakan daya, aku tak sanggup dengar suara dia lama-lama yang sudah tiada beza dengan speaker surau. Suara itu bergema di telinga, menyeru aku keluar dari mimpi yang hangat dan nyaman. Aku menggosok mata sambil menggeliat, perlahan-lahan duduk di katil. Tubuh aku masih berat, seolah-olah enggan menerima hakikat bahawa aku sudah terjaga. Aku menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri sambil memandang dinding dorm yang kelihatan familiar namun masih asing bagi aku.

Fariha keluar semula dari dorm untuk ke bilik mandi apabila dia sudah pastikan yang aku telah bangun. Dia tersenyum sambil mengangkat tangan. Aku membalasnya dengan senyum kecil, meskipun mata masih separuh terbuka, terasa pedih akibat tidur panjang semalam.

Aku mencapai tuala dan baldi kecil berisi barang-barang mandian di sebelah katil. Setiap langkah aku terasa lambat, seolah kaki aku masih mahu melabuhkan diri di atas katil. Aku membuka locker dan mengambil pakaian untuk digantikan selepas mandi. Locker aku dikunci semula dengan perlahan. Sempat aku membelek muka aku di hadapan cermin. Wajah aku sedikit pucat kerana masih segar dari tidur, rambut sedikit kusut, dan mata yang sembap perlahan-lahan terbuka sepenuhnya. Aku menghela nafas panjang, cuba menenangkan diri sambil membayangkan hari yang panjang menunggu di hadapan.

Aku menoleh dan meninjau sekeliling. Betul kata Fariha, aku seorang sahaja yang belum bangun. Budak lain semua sudah bergerak ke bilik mandi, berbaris dengan sabar menunggu giliran. Ada yang berbual perlahan, ada juga yang diam dan serius menyiapkan diri, memeriksa rambut, pakaian, dan beg sekolah masing-masing. Jam menunjukkan pukul 5.15 pagi. Aku terus keluar dari dorm dan menuju ke bilik mandi. Langkah kaki agak perlahan, kaki masih terasa berat dari tidur, dan udara pagi yang sejuk menyapu kulit membuatkan aku menggigil sedikit.

Jujur dari lubuk hati, aku masih cuba membiasakan diri untuk bangun di awal pagi sebegini. Kalau dekat rumah dulu, lepas azan Subuh baru aku bangun, itu pun kalau ada yang kejutkan; kalau tidak, mesti aku akan terlajak sampai pukul 7 lebih. Kucar-kacir dibuatnya, dengan belum mandi dan baru nak mencari buku-buku, stokin hilang, dan semestinya tidak sempat sarapan sebelum berlari ke sekolah. Tapi dekat sini lain. Rutin pagi jelas teratur, dan semua orang seolah-olah sudah biasa dengan jadual yang ketat. Bunyi air mengalir dari paip bilik mandi, cakap-cakap perlahan dari budak lain, dan aroma sabun yang segar menyelimuti lorong, memberi rasa aman yang berbeza daripada rumah lama.

Tiba di depan bilik mandi, Fariha melambai ke arah aku. Aku hanya meneruskan langkah tanpa sebarang reaksi, membiarkan dia melihat aku perlahan-lahan melangkah masuk.

"Kau dah mandi belum?" suara Fariha menyingkap pagi aku.

"Aku dah mandi, lepak sini sekejap, belum ramai kat surau," jawab aku sambil mengelap tangan pada tuala.

"Ha, ya lah. Aku mandi ni, kau tak payah tunggu aku," katanya sambil tersenyum lebar.

Aku tak faham dengan Fariha. Dia setiap hari bangun awal, tapi seboleh-bolehnya dia nak jadi orang terakhir sampai ke surau. Aku tak pasti sama ada dia memang suka buang masa dan berborak dengan budak lain, atau dia suka menyangka aku nak mengelat daripada berkumpul di surau. Aku pernah mengelat dari turun ke surau; lepas mandi, aku solat Subuh dekat dorm dan sambung tidur. Fariha cari dan kejutkan aku pukul 8.30 pagi bersama Cikgu Dira, guru kelas kami. Sejak hari itu, aku paksa juga diri aku bangun sebelum Subuh dan mengikut peraturan di sini; aku tak mahu teacher sekolah datang lagi ke sini hanya untuk menjemput aku ke sekolah.

Sejak hari pertama aku di sini, Fariha kawan pertama yang menyapa aku. Aku masih ingat lagi waktu aku baru sahaja keluar dari bilik Pengasas Rumah Anak Yatim Piatu dan Fakir Miskin Rahimah a.k.a Bonda Imah. Aku mengangkat beg dan segala barang keperluan untuk menuju ke dorm. Fariha yang dari awal bersama kami dalam bilik pengasas tadi, tiba-tiba bersuara, "Rina, jom aku tunjukkan jalan ke dorm. Nama aku Fariha, nak panggil Far pun boleh." Dia tersenyum lebar, dan aku hanya balas dengan senyuman kecil. Aku membuntuti Fariha sehingga sampai ke pintu dorm.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Dec 27, 2025 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SAUHWhere stories live. Discover now