Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
“Mencari keseronokan bukan tanda kosong tetapi jeritan halus dari jiwa yang terlalu lama menahan diri.”
SETIAP hari yang aku lalui terasa seperti salinan hari sebelumnya yang monoton dan bosan membuatkan aku sering tertanya-tanya bila kehidupan ini akan berakhir.
Dari dalam kereta, aku memerhatikan pemandangan di luar jendela sambil menuju ke universiti, tempat di mana pembantu peribadi aku telah mendaftar bagi pihak aku.
Kereta Maybach hitam yang berkilat berhenti di pekarangan universiti, menarik perhatian para pelajar yang sedang beraktiviti di kawasan sekitar.
Masa seperti terhenti sejenak, mereka memandang penuh minat ke arah kenderaan mewah itu sambil tertanya-tanya siapa pemiliknya. Di pintu utama, sekumpulan manusia terlihat menanti dengan penuh debaran.
Aku melangkah keluar setelah pemandu membukakan pintu untuk aku. Tanpa banyak bicara, aku memasuki bangunan universiti yang berkonsepkan seni bina futuristik. Beberapa individu penting, termasuk pemilik universiti, mengekori aku dengan penuh hormat.
Setibanya di lobi, aku memerhati sekitar. Ruangannya tampak terlalu biasa—membosankan.
Para pelajar yang berkumpul di situ memandang aku dengan pelbagai ekspresi. Ada yang berbisik, ada yang tersenyum simpul, malah ada juga yang sibuk merakam gambar aku, sesuatu yang sudah aku kebalkan.
Tanpa menghiraukan tatapan mereka, aku meneruskan langkah ke pejabat pemilik universiti, diiringi pembantu peribadi aku. Di dalam pejabat, aku duduk di atas sofa tanpa sepatah kata, hanya mendengar penerangan pemilik universiti tentang program yang akan aku pelajari selama dua tahun.
Sebenarnya, aku sudah diberi penjelasan lengkap oleh pembantu peribadi sebelum berangkat ke sini. Kehadiran aku lebih kepada melayan kehendak pemilik universiti yang tampak begitu teruja dengan pendaftaran aku yang aku tahu telah menaikkan nilai saham institusinya.
“Ada sebarang soalan, Duke Axel Kai Zyaire?” Pemilik universiti itu menyebut nama aku dengan sopan, namun aku hanya memandangnya tanpa respons. Aku terfikir, jika aku bukan siapa-siapa, pasti dia tidak akan melayan aku sebegini.
Pembantu peribadi aku memecahkan keheningan.
“Adakah puan mendengar khabar angin?” Soalnya sambil memandang pemilik universiti.
“Universiti ini adalah yang kelima Duke Axel daftar tahun ini. Jadi, pastikan program di sini cukup menarik dan tidak bosan atau...” Dia sengaja tidak menghabiskan ayatnya tetapi aku tahu maksudnya. Si pembantu peribadi yang mengenali sikap tuannya yang asyik menukar universiti di atas alasan bosan.
“Saya akan pastikan Duke Axel tidak akan bosan dengan program kami.” Pemilik universiti tergagap menjawab.
Pemilik universiti ada mendengar khabar angin mengenai Duke Axel Kai Zyaire yang kerap menukar universiti dalam masa setahun di atas punca yang tidak jelas diketahui. Sebenarnya pendaftaran Duke Axel Kai Zyaire di universiti miliknya adalah satu perkara baik dan buruk terhadap saham universiti.