Bab 1

13.1K 268 12
                                    

SAKIT hati dan perasaan geram tak mampu dibendung lagi. Aulia merenung tepat ke wajah lelaki itu. Tangannya digenggam kemas. Sakit hati dengan sikap lelaki di hadapannya ini. Tak boleh jadi ni! desis Aulia dalam hati.

Ini Aulia, okey! Jangan harap dia akan mengalah. Kalau dah namanya Aulia, dia akan dapatkan juga apa yang dia nak!

"Puan, I yang pegang dulu kasut ni. Kalau puan nak, puan boleh minta yang lain."

Amboi... Amboi... Lelaki di hadapan Aulia bermati-matian mempertahankan kasut yang berada di tangannya. Berkali-kali juga Aulia cuba merampas kasut itu namun tidak berjaya.

"Banyak cantik muka awak! Saya yang tengok dulu kasut ni. Dari jauh sana lagi saya dah cup dulu kasut ni. And one more, jangan nak pandai-pandai panggil saya puan. Kenapa, saya ni macam perempuan dah berkahwin ke?!"

Aulia mencuri pandang wajahnya di cermin di sisinya. Nampak tua ke? Isy, buta betul lelaki ini.

Mungkin blaus dan skirt pendek ni buat dia nampak gemuk? Takkanlah? Atau punggung dia dah mengembang macam perempuan bersalin? Tak mungkin! Dia bersenam seminggu sekali, takkanlah berat badan dia naik cepat sangat? Hari ni baru hari Selasa, maknanya baru tiga hari lepas dia bersenam dengan Kartini.

"Maaflah, adik manis. Mana I tahu cik ni dah berkahwin ke belum. Kasut ini I punya, ya. Kalau cik nak juga, cik boleh pilih kasut lain." Ashraff terus mengangkat kasut yang dipamerkan tinggi sedikit ke udara. Sengaja nak layur dia dengan kasut cantik di depan mata.

Aulia ketap bibir. Rasa nak gigit pipi mamat sombong ni. Sumpah meluat gila. Langsung tak gentleman. Kalau lelaki lain dengar dia merayu manja macam ni, terus aje mereka setuju berikan kasut itu untuk dia.

Ashraff melambai-lambai tangannya memanggil pelayan. Nak minta kasut sebelah lagilah tu! Menyampah! Sumpah dia menyampah dengan Ashraff.

"Kasut ni hanya tinggal sepasang aje! Saya dah lama tengok kasut ni. Saya nak kasut ini... Awak faham tak?" Aulia menekankan perkataan ini supaya lelaki itu tahu bahawa dia hanya mahukan kasut ini, bukan kasut lain! Bibirnya diketap kuat. Rasa nak tarik rambut lelaki di hadapannya ini.

Lelaki itu buat tak endah. "Miss, bungkuskan kasut ni, ya. Terima kasih."

Mata Aulia membuntang. Kurang asam boi punya lelaki. Langsung tak boleh mengalah! Memang tak gentleman langsung! Perangai hodoh macam orang perempuan! Hati batu. Sombong. Ahhh, kenapa cakap perangai hodoh macam perempuan pula?! Lelaki ini perangai hodoh macam muka dia yang hodoh tu.

Tapi bila tengok mukanya, kacak juga. Macam orang putih sikit-sikit. Lantak kaulah muka macam siapa pun, janji dia mahukan kasut berwarna merah yang berada di tangan lelaki itu sekarang juga!

"Encik yang budiman, saya nak kasut ini. Bolehkah encik yang budiman bertolak ansur dengan saya, seorang gadis yang manis dan manja?" soal Aulia sambil matanya dikedip-kedipkan persis cuba menggoda Ashraff. Mana tahu kot-kot Ashraff cair dengannya kali ini.

"Cik, I belikan kasut ini untuk kekasih hati I. Jadi, maaflah, cik. I tak boleh bagi kasut ini kepada cik. Tak perlulah nak kedip mata sampai macam tu sekali, I takkan tergoda." Malas lelaki itu mahu melayan kerenah gadis tinggi lampai ini sebenarnya. Banyak lagi kasut lain. Pergilah pilih kasut lain! Apa yang susah sangat nak beli kasut entah. Pilih, cuba, bayar. Kenapa nak berebut juga kasut merah ni dengan dia? Tak faham betullah.

Aulia menggaru kening sebelah kiri dengan tangan kanannya. Hilang akal mahu memujuk lelaki ini. Ikutkan hati mahu aje dia rampas bungkusan beg plastik yang dipegang oleh Ashraff. Melihat Ashraff menuju ke kaunter pembayaran, Aulia cepat-cepat membuntuti Ashraff.

Aku, Dia dan StilettoWhere stories live. Discover now