BAB 1 : KETUA PELAJAR VS KETUA PEMBANGKANG

697 11 0
                                        

Hari pertama orientasi bermula dengan langit yang cerah dan udara yang penuh harapan. Di halaman kampus, pelajar-pelajar baru berpusu-pusu masuk.

Masing-masing mengenakan pakaian kemas seperti yang dimaklumkan dalam surat tawaran. Riak wajah mereka jelas memancarkan rasa teruja, gugup dan ingin tahu sebagaimana perasaan tipikal seorang pelajar baru yang melangkah masuk ke dalam dunia universiti untuk pertama kalinya.




Aula utama kampus sudah dipenuhi. Pelajar duduk dalam barisan mengikuti fakulti, dibimbing oleh senior-senior yang terdiri dari ahli kepimpinan pelajar kampus.

Di pentas utama, beberapa senior bertugas sedang menyusun fail dan peralatan. Suasana riuh tapi masih terkawal.

Tiba-tiba, pintu aula dibuka dari arah sisi. Seorang gadis bertubuh tinggi melangkah masuk perlahan-lahan. Langkahnya tidak tergesa, tapi cukup berwibawa untuk membuat seluruh pelajar yang ada di aula itu menoleh ke arahnya. Wajahnya tenang dan dingin, tidak menunjukkan sebarang emosi. Seragam pelajarnya kemas, dengan lencana ketua pelajar yang berkilat tersemat di dada kirinya.

Dia adalah Sky.

Sky tidak perlu banyak bicara untuk membuat orang sekeliling tahu siapa dia. Kehadirannya membawa aura yang tegas dan jelas, penuh dengan disiplin dan tanggungjawab. Ahli kepimpinan lain yang melihatnya segera menghampiri lalu memberi isyarat hormat sebelum kembali ke tempat masing-masing.

Sky menaiki pentas dengan tenang. Dia mengangkat sedikit tangannya untuk memberi salam kepada pelajar-pelajar baru yang kini tertumpu kepadanya.

Kim dan Ford, dua orang pembantu setianya, berdiri di kiri dan kanan pentas, bersedia untuk membantu mengatur perjalanan majlis.

Beberapa saat selepas mikrofon dihidupkan, Sky mengatur nafas dan bersedia memberi ucapan ringkas. Namun belum sempat sepatah kata keluar dari bibirnya, pintu utama aula dibuka kasar dari belakang.

Tiga orang gadis melangkah masuk dengan santai, tidak peduli ratusan mata yang sedang memandang mereka. Langkah mereka pun tidak tergesa seperti orang bersalah. Mereka malah kelihatan terlalu santai dan penuh keyakinan.

Mereka berjalan seperti seolah-olah sedang melangkah masuk ke butik mewah, bukan ke majlis orientasi universiti. Dengan jaket kulit di luar seragam masing-masing dan kasut hitam bertumit agak tinggi, ketiga-tiganya melangkah seperti tidak melakukan apa-apa kesalahan. Jelas dari gaya dan pakaian mereka, mereka bukan pelajar biasa. Berani. Mewah. Angkuh.

Semua mata memandang ke arah tiga orang tersebut. Riuh kecil terdengar dari dalam aula. Para pelajar senior mengerut dahi, menatap mereka tajam dengan rasa marah dan tidak dihormati.

Sky yang masih berdiri di atas pentas, tidak menunjukkan reaksi. Hanya satu isyarat mata kepada Kim dan Ford sudah cukup.

Faham akan maksud dari isyarat yang diberikan oleh Sky, Kim dan Ford segera bergerak menghampiri tiga junior itu.

“Awak tiga orang, ikut kami sekarang.”, arah Kim tegas.

Tanpa melawan, mereka bertiga ditarik ke belakang aula. Namun sepanjang berjalan, mereka masih sempat tersenyum-senyum sinis ke arah pelajar lain.

Sementara di atas pentas, Sky meneruskan tugasnya. Dia menarik nafas dan mula membuka ucapannya.




Di belakang aula, Kim dan Ford sedang menyoal siasat tiga gadis yang datang lewat itu.

“Kenapa awak bertiga datang lewat hari ini? Hari pertama orientasi pula itu.”, tanya Ford dengan suara yang jelas menunjukkan rasa tidak puas hati.

Tiada jawapan. Hanya senyuman sinis yang masih kekal di bibir mereka sejak tadi. Salah seorang daripada mereka tengah menyilangkan tangan ke dada dengan wajah muram.

SKY & RAIN : Silent Storm vs Beautiful ChaosStories to obsess over. Discover now