Raylaa tersenyum manis sebelum dia membuka langkah ingin menaiki tangga. Namun, terdengar seseorang menyeru namanya dengan suara garau dan nada yang cukup dingin. Terasa dirinya diperhatikan dari jauh. Diperhatikan dengan tatapan yang agak serius.
"Raylaa Arabella." Senyuman yang terbit di hujung bibirnya seketika mati. Tangan yang menggenggam pegangan tangga itu dicengkam dengan erat, seolah-olah ingin mencari kekuatan di dalam dirinya.
Kedengaran derapan langkah seseorang, melangkah ke arahnya. "Lambat balik?" Raylaa mengetap bibirnya kuat.
Sebelum ini, papanya tidak pernah bertanya sama sekali. Namun, buat pertama kali, papanya bertanya seperti ini. Raylaa menarik nafas sedalam-dalamnya. Sabar, duhai hati. Meskipun sakit apabila mendapat layanan dingin sebegini, harus dia hadapi. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya menghadap papanya.
"Maaf, papa... Aylaa banyak kerja tadi..." Balas Raylaa dengan nada perlahan. Sempat dia menangkap panahan mata yang terlihat agak dingin itu sebelum dia lekas menundukkan pandangan.
Gerun dia apabila melihatnya. Hujung jarinya sudah menggigil tetapi masih dapat dikawal. Terlihat kerutan kening di wajah papanya itu.
"Kerja? Kerja apa sampai balik lewat macam ni?" Soalan yang dilontarkan seolah-olah sedang memerli dirinya. Mak Lia yang masih berada di tempat itu, lekas dia bersuara buat Raylaa.
"Dato', Cik Raylaa bekerja dekat hotel. Dato' jangan kata macam itu dekat dia. Kesian Cik Raylaa, Dato'." Raylaa lekas memandang Mak Lia dengan mata yang membulat besar. Lekas dia menggelengkan kepalanya laju. Dia tidak mahu hal ini menjadi salah satu punca hubungan dia dengan papanya berpecah-belah.
Dato' Razif Ar-Razi hanya diam memandang anak perempuannya dengan tatapan dingin. Tangan sebelah bergerak, menyeluk poket seluarnya. Anak matanya bergerak memandang Mak Lia dengan pandangan mendatar.
"Saya tanya Aylaa, bukan kamu. Pergi sambung buat kerja." Arah Dato' Razif. Pandangan itu membuatkan Mak Lia lekas beredar dari ruangan itu.
Suasana menjadi tegang, masing-masing diam membisu. Raylaa berdiri di tangga itu dengan bibir yang diketap kuat. Dia takut dengan tingkahlaku papanya saat ini. Cara papanya memandang dirinya saja sudah membuatkan dia berasa gerun.
Dato' Razif kembali memandang anak perempuannya dengan tatapan dingin.
"Hotel? Hotel mana yang Aylaa kerja? Kenapa tak kerja dengan papa-"
"Kalaupun papa suruh Aylaa kerja dengan papa, ibu mesti takkan setuju." Cantas Raylaa dengan senyuman kecil dibibirnya. Dia tidak mahu berkata hal ini, namun jikalau papanya sudah bertanya, takkan dia mahu berdiam sahaja?
Dato' Razif mengerutkan keningnya. "Apa pula tak bagi? Itu kan syarikat papa. Apa hak dia tak nak setuju dengan benda ni? Ingat, Aylaa. Aylaa satu-satunya pewaris syarikat papa."
Raylaa menggeleng kepalanya perlahan. Dia tidak mahu. Walaupun syarikat itu akan diwariskan kepadanya, dia tetap akan menolak. Hanya disebabkan oleh ibu tirinya, segala senyuman dan kebahagiaan yang dia alami sebelum ini, menjadi suram dan tegang.
"Aylaa tak mampu, pa. Papa carilah pewaris lain-"
"Raylaa Arabella!" Nada suara Dato' Razif meninggi se-oktaf. Ternaik kedua-dua belah bahu Raylaa apabila mendengar suara itu.
Buat pertama kali, dirinya dijerkah sebegitu. Segala-galanya berubah sekelip mata setelah mamanya pergi meninggalkan dia dan papanya. Perasaan sedih itu seringkali membuatkan dirinya terasa sesak.
Terlihat dada papanya berombak kencang menahan amarah. Deruan nafas papanya sahaja kedengaran berat dek amarah mulai mengawal diri papanya. Lekas Raylaa mencari topik lain untuk melarikan diri daripada hal tersebut.
YOU ARE READING
INDELIBLE LOVER
Romance[ INDELIBLE LOVER: HIS SUGAR BABY ] • ENGKU RIYADH ARYAN × RAYLAA ARABELLA • "Carikan aku seorang perempuan yang dapat tarik perhatian aku untuk kuras harta aku." -ENGKU RIYADH ARYAN- ××× "Tuan ingat saya ni perempuan murahan ke nak ambil saya seb...
• C H A P T E R 1 •
Start from the beginning
