Bahtera 1: Pelabuhan Melaka dan Rahsia di Seberang Laut

14 1 0
                                        

Matahari terik mencium permukaan Selat Melaka, memantulkan cahaya keemasan yang berkilauan di atas air. Panasnya membakar batu-batu jalan di pelabuhan, membuat udara bergetar seperti cermin yang retak. Pelabuhan Melaka berdenyut dengan kehidupan; kapal-kapal besar dari tanah seberang berlabuh di dermaga, layar mereka terbuai angin laut yang membawa harum rempah dan garam. Teriakan saudagar bersahut-sahutan, kuli-kuli mengangkat guni-guni lada hitam, manakala para pelaut berbual riuh dalam pelbagai bahasa dunia.

Namun, di tengah hiruk-pikuk ini, kekacauan sedang terjadi.

"Pencuri! Tangkap dia!"

Jeritan itu membelah udara, mengalihkan perhatian setiap orang di pelabuhan. Seorang pemuda berkulit sawo matang, berpakaian lusuh tetapi matanya penuh keyakinan, sedang berlari pantas di celah-celah orang ramai. Di belakangnya, dua pengawal bersenjata tombak mengejar dengan langkah berat. Keringat membasahi dahinya, tetapi dia tidak kelihatan panik. Sebaliknya, dia seperti seseorang yang sudah terbiasa dengan keadaan sebegini, seolah-olah setiap lorong dan sudut pelabuhan ini sudah lama menjadi tempat permainannya.

Di atas bumbung sebuah gudang, seorang lelaki bertubuh tegap sedang mengamati adegan itu dari tempat persembunyiannya. Matanya yang tajam mengikuti setiap gerakan pemuda itu. Dia bukan sekadar penonton biasa; dia menilai, mengukur, menganalisis. Pemuda itu bukan pencuri—dia tahu sahabatnya tidak sebodoh itu. Ini pasti satu perangkap.

Dyah Kiranasari, yang berdiri tidak jauh dari situ, turut memerhati dengan penuh minat. Jubah sutera hijau lumut yang membalut tubuhnya sedikit berkibar terkena angin laut. Matanya yang bening seperti lazuardi memandang ke arah kekacauan yang berlaku, tetapi sesuatu yang lain menarik perhatiannya.

Di celah bayang-bayang sebuah bangunan kayu, dia dapat melihat sesosok lelaki berdiri kaku, separuh mukanya terlindung. Dia tidak bergerak, seolah-olah sedang menunggu sesuatu. Tetapi Dyah dapat merasakan sesuatu tentangnya—dia bukan sekadar pemerhati biasa. Ada sesuatu yang tersembunyi dalam cara dia berdiri, dalam tatapan yang begitu tajam.

Pemuda yang dikejar semakin terdesak. Dia melompat ke atas beberapa peti dagangan, cuba mencari jalan keluar. Pengawal semakin hampir, dan orang ramai mulai menjerit, sebahagiannya ketakutan, sebahagiannya sekadar terhibur melihat kejar-mengejar ini.

Lelaki di atas bumbung mengetap gigi. Jika dia turun sekarang, dia mungkin akan mendedahkan dirinya. Tetapi jika dia tidak bertindak, sahabatnya akan terperangkap. Matanya sekilas melayang ke arah seorang gadis yang berdiri tenang di tengah kekacauan. Mata mereka bertemu sesaat sebelum dia berundur ke dalam bayang-bayang semula.

Dyah Kiranasari mengerutkan dahi. Sosok itu... siapa dia? Mengapa dia berada di situ, memperhatikan segalanya tetapi tidak bertindak? Dan mengapa hatinya berasa seakan ada sesuatu yang besar sedang terjadi, sesuatu yang dia belum mengerti sepenuhnya?

Di celah lorong sempit antara gudang dan rumah dagang, pemuda yang dikejar tiba-tiba terhuyung ke hadapan saat hujung tombak pengawal sempat menggores bahunya. Darah menitik ke lantai kayu, tetapi dia tetap melompat ke belakang satu peti dagangan sebelum lenyap dari pandangan. Pengawal yang mengejar termengah-mengah, mencari-cari ke mana dia menghilang.

"Sial! Dia pasti orang-orang pemberontak itu!" salah seorang pengawal mendengus, menggenggam erat tombaknya.

Terdengar suara bising di kejauhan, seorang saudagar tua berteriak bahawa barang dagangannya dirosakkan dalam kekalutan tadi.

Dyah Kiranasari menajamkan pandangan. Kata-kata pengawal tadi menyalakan sesuatu dalam fikirannya. Pemberontak? Dia harus memastikan sendiri. Namun sebelum itu, dia menoleh ke arah bapanya yang sedang sibuk dengan saudagar lain. Dengan cepat, dia memberi alasan, "Ayahanda, patik mahu melihat barang dagangan lain di sebelah sana."

Tanpa menunggu jawapan, Dyah berpaling dan bergegas menuju ke arah lorong tempat lelaki itu menghilang, hatinya dipenuhi tanda tanya yang belum terjawab.

"Celaka! Di mana budak itu?" salah seorang pengawal menggerutu, tombaknya dihayun ke lantai kayu.

Di atas bumbung, lelaki bertubuh tegap itu menyeringai kecil. "Lariannya semakin baik," bisiknya pada diri sendiri sebelum berpaling.

Dyah masih berdiri di tempatnya, matanya melayang ke sudut tempat sosok misteri itu berdiri tadi—tetapi dia sudah tiada. Namun, di celah-celah bangunan kedai yang sunyi, dia melihat bayangan lain yang lebih nyata.

Dia melangkah perlahan, derap langkahnya nyaris tenggelam dalam hiruk-pikuk pelabuhan. Di belakang sebuah kedai rempah yang jarang dikunjungi, dia menemui pemuda yang tadi melarikan diri. Bahunya berlumuran darah, nafasnya berat, tetapi matanya tetap tajam dan penuh tekad.

Tanpa bertanya, Dyah berlutut di sisinya. Jari-jemarinya yang terbiasa mengendalikan ramuan herba kini perlahan-lahan menyentuh luka di bahu pemuda itu. Dari lengan bajunya, dia mengeluarkan uncang kecil berisi ramuan ubatan.

Pemuda itu mendengus. "Siapa kau?" suaranya serak, separuh curiga. Namun dia sudah terlalu lelah untuk mempersoalkan kehadiran wanita bangsawan penuh misteri itu, lalu dia memilih untuk membiarkan nya membersihkan luka dek tombak pegawai celaka itu.

Dyah tidak menjawab. Sebaliknya, dia membuka uncang itu dan mengeluarkan serbuk halus berbau pahit. Dia ingin menguji keberkesanan ubatannya—tetapi jauh di sudut hati, dia tahu alasan sebenarnya lebih daripada itu. Dia tahu siapa kumpulan ini. Dia tahu perjuangan mereka. Dan dalam diam, dia menyebelahi mereka, meskipun ini kali pertama dia bertemu salah seorang daripada mereka secara langsung.

Dari tempat persembunyiannya, sosok bertubuh tegap yang tadi mengamati kekacauan kini kembali memerhati, matanya membayangi Dyah dan sahabatnya yang terluka. Dia bergerak selangkah ke hadapan, tetapi kemudian berhenti. Buat pertama kali, dia tidak pasti apa yang harus dilakukan.

Namun, saat Dyah membungkus luka pemuda itu dengan kain bersih, dia akhirnya melangkah lebih dekat. Langkahnya ringan, hampir tidak berjejak, namun Dyah merasakan kehadirannya sebelum melihatnya. Dia mengangkat wajahnya, dan sepasang mata yang tajam dan penuh rahsia menyambut tatapannya. Seketika, waktu terasa seolah-olah terhenti—tatapan yang membawa tanda tanya, seakan ingin mengungkap persoalan masing-masing. Namun, sebelum sempat sebarang kata terucap, langit yang mendung bergetar dengan dentuman guruh yang mengejutkan. Dyah tersentak, menyedari bahawa hujan akan turun bila-bila masa. Tanpa sepatah kata, dia segera membetulkan selendangnya menutupi kepala dan berlari pergi, takut terperangkap dalam lebatnya hujan. Lelaki itu hanya memandang, membiarkan dirinya tenggelam dalam bayangan lorong, sementara Dyah menghilang dalam kesibukan pelabuhan.

Dyah sudah melihat kelibat Ayahandanya, namun fikirannya masih dihantui wajah lelaki yang bertentang mata dengannya tadi. Adakah dia salah seorang daripada pemberontak yang semakin berani menentang golongan bangsawan di pelabuhan Melaka? Hatinya berbolak-balik. Dia tidak buta pada kerakusan segelintir pembesar, termasuk ayahandanya sendiri yang sering berunding dengan para saudagar kaya demi kepentingan sendiri. Namun, dia juga tahu betapa bahayanya terlibat dengan mereka yang menentang. Apakah yang sebenarnya berlaku di sebalik tirai pelabuhan ini? Apakah peranan lelaki itu dalam semua ini? Persoalan demi persoalan bergema dalam benaknya tanpa jawapan yang pasti.

Semenjak belakangan ini kumpulan pemberontak yang khabarnya bersarang di pulau berdekatan pelabuhan Melaka sudah makin giat mendatangi pelabuhan itu

TakdirHistorias para obsesionarse. Descúbrelo ahora