Angin lembut yang menyapa tubuh berisi Effa sesekali membuatkan gadis 19 tahun itu menggigil. Suasana bandar yang sentiasa sibuk membuahkan lamunan di fikiran gadis itu. Dia menyandarkan badannya di tiang lampu isyarat. Mata dipejam lama. Bingit-bingit suara manusia yang sibuk dalam perjalanan ke tempat kerja menenangkan jiwa Effa. Tanpa sedar, air mata gadis itu mengalir ke pipi. Betapa dia merindui suasana bingit itu.
" Cik?"
Effa membuka mata. Raut wajah tampan yang menyapa pandangan mata membuatkan keningnya berkerut.
" Yes?" pandangannya tepat menikam anak mata lelaki itu.
" Nak tekan button tu." Ujar lelaki itu. Dengan kaca mata bulat, pakaian yang ketinggalan zaman dan buku di tangan, Effa klarifikasikan lelaki itu sebagai pelajar cemerlang di universiti.
" Cik?" sekali lagi lelaki itu memanggil sekaligus mematikan lamunan Effa.
" Oh. Sila-sila." Cepat-cepat Effa menyingkir ke tepi. Memberi ruang untuk lelaki itu menekan butang untuk melintas.
" Kenapa menangis dekat sini?" soal lelaki itu perlahan. Serta-merta pandangan Effa naik melihat wajah lelaki itu.
" Mana ada." Dalih Effa. Saki-baki air mata yang masih melekat di pipinya diseka laju. Lambat pula lampu isyarat hari ini nak bertukar merah. Effa bergumam.
" Tak salah nak luahkan apa yang ada dekat dalam hati, cik. Semua manusia berhak untuk menangis." Lelaki itu merenung jalan raya yang tidak kalah sesaknya. Dadanya berombak tenang.
" Saya.."
" Jangan salahkan takdir. Apa yang tertulis, mungkin yang terbaik untuk awak." Lelaki itu memotong Effa. Senyuman lembut namun penuh tersirat dilontarkan ke arah Effa. Terkebil-kebil gadis itu. Tidak tahu ingin bereaksi seperti mana.
Lama Effa mendiamkan diri. Betul kata lelaki misteri itu. Sejak ibu dan ayahnya disahkan meninggal akibat kemalangan jalan raya semalam, dia langsung tidak balik ke rumah. Apatah lagi ingin melihat jenazah kedua orang tuanya buat kali terakhir. Dia sakit. Effa rasa Tuhan seolah-olah mengujinya kerana Tuhan benci. Sekali lagi air mata dia mengalir.
" Tak salah nak pinjam bahu seseorang untuk bersandar." Lembut lelaki itu berkata. Tangan naik membetulkan kaca mata.
" Encik cakap macam encik kenal saya." Bidas Effa. Nadanya sudah bertukar kasar dan tajam.
" Tak perlu kenal untuk pinjamkan bahu." Lunak lelaki itu menyambut. Serentak, Effa pandang lelaki itu. Berdebar pula hatinya.
" Awak tak lemah. Awak cuma perlukan bahu untuk bersandar." Ulang lelaki itu lagi.
Entah kenapa, tubir mata Effa terasa panas apabila lelaki misteri itu mengulangi ayat yang sama berulang kali. Terasa bagai beban di bahu yang kian hari memberat, kini menjadi ringan. Air mata mengalir namun tanpa suara.
" Nah." Lelaki itu mengeluarkan sehelai sapu tangan berwarna biru lembut lalu dihulurkan kepada Effa. Terkial-kial gadis itu menyambut huluran yang diberi.
" Tak perlu kot sampai nak bersapu tangan." Ujar Effa. Kekok dengan perlakuan spontan lelaki tidak dikenalinya itu. Namun, masih disekanya air mata dengan sapu tangan itu.
" Simpanlah. Nanti kalau ada jodoh, pulangkan balik." Tanpa banyak soal, lelaki itu terus berlalu usai lampu isyarat bertukar merah sekaligus menandakan untuk pejalan kaki melintas.
" Eh tapi.." belum sempat Effa menahan, kelibat lelaki itu sudah hilang dibalik orang ramai yang berpusu-pusu melintas. Lama dia merenung jalan yang mulai disusuri kereta itu. Kelibat lelaki itu sudah tidak kelihatan. Hilang entah kemana. Pandangan Effa jatuh pada sapu tangan biru lembut di genggamannya. Senyuman kecil terbit di bibir gadis itu.
YOU ARE READING
Takdir
RomanceTakdir menentukan kedua ibu bapa Effalyn kemalangan pada hari itu. Takdir menentukan Effalyn untuk membencinya. Membawa diri jauh dari orang-orang sekeliling. Takdir, menemukan Effalyn dengan seorang lelaki misteri. Sapu tangan biru menjadi penentu...
