BAB 7

390 50 4
                                    

JASMIN berhati-hati buka pagar kecil yang menjadi penghubung laman rumahnya dengan jiran sebelah.

Sebelum masuk ke kawasan orang, dia pandang dulu kiri dan kanan. Kosong.

Yang ada cuma tanaman yang pelbagai rupa, kemas tersusun mengikut jenis dan kategori tersendiri.

"Ya, ya aje umi ni orang tu bangun awal. Ni kejap lagi nak memalukan akulah ni nak mengetuk pintu rumah orang pagi-pagi buta macam ni!" Jasmin merungut sendiri.

Dia cuba-cuba cari rumpunan daun pandan di antara kelompok tanaman yang ada tapi tidak ketemu. Memang sah, Umi Wafa buat pandai sendiri.

Dia keluarkan telefon pintarnya. Nombor Umi Wafa didail. "Helo, umi. Tak ada pun daun pandan dekat rumah sebelah ni."

"Ada... cuba cari betul-betul. Awak kenal ke tidak daun pandan, El Jasmin?"

"Kenal la, umi. Saya ni tak adalah teruk sangat sampai tak kenal daun pandan..."

"Kalau macam tu, carilah betul-betul. Umi memang ingat Alim ada tanam pandan. Gemuk-gemuk umi tengok hari tu."

Jasmin sedikit bengang. "Nak cari macam mana? Takkan nak masuk pula dekat rumah orang suka-suka hati? Nanti orang ingat saya nak mencuri pula."

"Masuk aje. Alim banyak kali pesan dekat umi sebelum ni, kalau nak apa-apa ambil aje."

Jasmin bertegas. Yang dipesan itu dekat Umi Wafa, bukan Jasmin. Tak berani dia nak memandai-mandai buat macam kebun itu harta peribadi.

"Ya Allah, ambil ajelah. Alim yang pesan dekat umi, kalau nak apa-apa masuk je ambil tak payah cakap dekat dia pun tak apa. Bukan umi buat pandai sendiri!"

Suara Umi Wafa pun turut sama naik dengan Jasmin. Takkanlah dia nak main petik aje hasil tanaman orang kalau tuannya tidak beri izin awal-awal. Itu dah dikira mencuri namanya!

"Saya tak nak la. Makan ajelah nasi lemak tu tak ada daun pandan. Kalau umi nak, umi datang sini cari daun pandan tu. Saya nak masuk rumah sambung memasak."

Jasmin tak tunggu sesaat pun untuk tamatkan panggilannya dengan Umi Wafa. Geram pula dia rasa. Apa dosanya tanak nasi lemak tanpa daun pandan?

Bukan nak jual ke, hidang dekat Gordon Ramsay sampai nasi lemaknya kena sempurna mengikut resipi tradisi! Makan sendiri-sendiri aje untuk mereka tiga beranak. Kalau tak buat perangai bukan-bukan, bukan Umi Wafalah jawabnya.

Jasmin sumbat telefonnya ke dalam poket. Pintu pagar yang separa terbuka itu dia tarik semula hingga rapat tertutup. Baru hendak beredar, langkahnya mati apabila dia terpandangkan satu susuk tubuh yang sedang berdiri tak berapa jauh dengannya.

Elok memandang dia hingga buatkan kakinya terpaku.

Jasmin telan air liur yang terasa bertakung di dalam mulut. Adakah reputasi Jasmin sebagai jiran akan buruk selepas ketahuan cuba mencuri daun pandan?



ALIM lap peluh yang turun membasahi dahinya dengan kain tuala kecil yang tersangkut di leher.

Apabila terasa lelah untuk bernafas, langkahnya yang laju dia perlahankan hingga larian bertukar menjadi berjalan. Dia betulkan pernafasannya yang tidak teratur itu. Berombak dada cuba menghirup udara.

Tenang dia atur langkah menyusur tepian tasik dalam perjalanan hendak pulang ke rumah. Rutin Alim setiap hari, memulakan pagi dengan beriadah. Usai solat fardu dikerjakan, dia akan turun ke tepi tasik dan berlari hingga badannya lencun dengan peluh.

Kemudian, balik ke rumah Alim akan sambung pula berkebun sehingga matahari memancar terik di langit. Begitulah rutin dia setiap hari, tanpa gagal.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 23 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Cerita Kita (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now