BAB 2

383 35 1
                                    

"EL JASMIN! Bangun! Nak jadi apalah awak ni, matahari dah tegak atas kepala pun tak bangun-bangun lagi! Nak tunggu apa? Ayam berkokok tepi telinga awak, baru nak celik mata tu? Bangun, El Jasmin!"

Celik.

Yang pertama menyapa matanya adalah kelibat Umi Wafa. Berjalan laju menuju pintu balkoni. Sesaat kemudian, bilik yang tadinya begitu malap bertukar cerah sekelip mata. Langsir diselak sampai habis ke tepi. Laju Jasmin sembunyikan mukanya di bawah selimut. "Umi!!"

"Bangun sekarang! Tengok jam dah pukul berapa?"

Jasmin merengek sambil buat muka. Mak-mak Asia ni, brutal sungguh. Cubalah kejut dia elok-elok sikit, tak boleh ke? Tepuk perlahan-perlahan, bisik sikit dekat telinga, "El Jasmin, bangun nak..."

Ini tidak...

Kalau tidak tarik langsir, dia padam kipas. Lepas tu sembur air dekat muka. Itu semua perbuatan tidak mesra anak dara tahu!

Tak habis lagi dia nak merungut, selimut tebalnya ditarik ganas hingga terlurut habis daripada badan. "Bangun!"

Terpisat-pisat Jasmin cuba membuka mata. Dia tongkat badan dengan siku. Sila dibentuk hingga badan tegak terduduk. Keluh paling kuat dia lepaskan tanda protes. "Bangun awal-awal, nak ke mana umi?"

"Awal kepala lutut awak! Tengok jam pukul berapa tu?"

Jasmin pandang jam yang ada di atas meja belajarnya. Dia buang sesuatu yang berkerak di matanya yang menghalang dia daripada melihat dengan jelas. Pukul berapa tu?

Jarum panjang dekat angka sebelas, jarum pendek dekat angka enam.

"11.30?"

"Ya! Dah pukul sebelas setengah dah! Cukup-cukuplah tidur. Orang dulu-dulu waktu macam gini dah siap ke sawah, menoreh getah. Masak pun sudah! Awak?"

Jasmin buat muka sebal apabila uminya sudah mula baca skrip yang sama. Dua puluh empat tahun dia hidup, itu ajelah yang dia dengar ulang-ulang setiap kali dia bangun lambat.

Nak sakit hati pun Jasmin kena fikir dua tiga kali, sebab dah lali! Mulut yang ternganga akibat menguap dia tutup dengan hujung kolar baju.

Puas hati Umi Wafa tengok Jasmin sudah segar mata lantas dia keluar dari bilik itu dengan muka gembira. Mengeluh besar Jasmin tatkala kelibat Umi Wafa menghilang pergi. "Barulah hidup ini dipenuhi dengan ketenangan," ujar dia sedikit berpuisi.

Jasmin turun dari katilnya. Tempat tidur dikemas rapi. Semua bantal disusun setempat, cadar ditarik padat, lantas selimut dibentang segi empat di tengah-tengah katil bersaiz permaisuri itu.

Selesai merapikan sarangnya, Jasmin terpandangkan pintu kaca balkoni yang terbuka luas. Tentu-tentu itu ulah Umi Wafa.

Kaki dibawa ke situ tanpa memakai tudung. Balkoni biliknya itu menghadap tasik. Selalunya waktu-waktu seperti sekarang tak ada orang pun lalu di situ. Hari terik.

Jasmin berdiri di balkoni sambil memandang ke hadapan. Terlihat di matanya air tasik yang berkilauan disimbah cahaya kuning dari matahari. Sesekali dia terdengar bunyi burung yang datang dari pokok-pokok di seberang tasik sana berkicauan merdu di pagi hari, bersahut-sahutan.

Jasmin dilamun cinta, dengan pesona alam ciptaan Tuhan.

Lihatlah bibir dia, terpintal senyum tiada putus.

"This view is so poetic," getus dia sambil memejam mata. Dihirup udara semahunya lalu dihembus perlahan mengira detik.

Sedang dia bahagia dengan caranya, baru Jasmin perasan akan satu perkara. Di halaman rumah sebelah, ada satu figura seorang lelaki sedang mencangkung membelakangkan dia. Gayanya seperti sedang berkebun membuang rumput di tepi batas sayur.

Baru Jasmin sedar yang kawasan halaman rumah sebelah itu sudah penuh dengan pelbagai tanaman hijau. Ada batas sayur.

Jiran umi dia suka berkebun rupanya. Bagus sungguh.

"Bolehlah kalau terdesak malas nak pergi kedai, minta aje dekat rumah sebelah," ujar Jasmin sambil tersenyum simpul. Dah nampak dah masa depan. Nanti petang-petang sikit dia pergilah menjengah, buat-buat ramah.

Senang nak minta-minta hasil tanaman nanti.

Dia selak rambut yang jatuh ke depan muka akibat ditiup angin. Ketika itu Jasmin baru sedar akan satu perkara. Dia tak pakai tudung!

Bimbang akan terlihatkan auratnya, lekas-lekas Jasmin berlari masuk ke dalam bilik. Dia tarik tuala dari penyangkut dan terus hilang ke dalam bilik air.

Nak mandi lepas tu nak bergosip dengan umi fasal jiran sebelah!



ALIM berhenti merumput untuk mengelap dahinya yang mulai terasa basah dengan renik peluh.

Kain tuala kecil yang tersidai di bahunya dia tarik dan sapukan semua peluh yang ada.

Rumput-rumput halus yang sudah dicabut dia letakkan dalam bekas raga lalu digoyang-goyang sedikit supaya tanah yang melekat di akar jatuh ke bawah. Barulah dia campak dalam plastik sampah berwarna kuning.

Sedang dia ralik bekerja, tiba-tiba Alim rasa bulu tengkuknya meremang seperti diperhatikan seseorang. Aunty Lala ke?

Tangan berhenti bergerak lantas dia toleh ke belakang. Tak ada sesiapa. Alim tak nampak kelibat wanita yang selalu melintas di depan rumahnya pagi-pagi seperti selalu.

Mata diliarkan jauh hingga ke kawasan balkoni rumah sebelah. Yang nampak di mata dia cuma pintu gelangsar yang terbuka. Sesekali kain langsir putih itu terbuai-buai ditiup angin.

"Jack dengan Thomas ke?"

Liar dia memandang kiri dan kanan, pun tiada apa dapat ditemukan. Liurnya ditelan. Kecut juga perut tapi Alim abaikan.

"Perasaan aje kut."

Cerita Kita (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now