BAB 3: Software Angine

Start from the beginning
                                    

"Hebatnyaaaa!" Aku menjerit teruja dengan mata yang bersinar-sinar. Ini pertama kali aku menjejakkan kaki ke dalam kawasan makmal hemisfera S.A. Bangunan pencakar langit di tengah bandar milik S.A, hanya meletakkan pekerja korporat dan staf biasa. Tetapi makmal hemisfera S.A merupakan tempat teknologi itu dihasilkan di mana semua jurutera dan pakar ditempatkan.

Beberapa pasang mata sudah mengalihkan pandangan ke arah aku yang jakun melihat pesta hackathon itu.

"Aaaaaaaaa!!!!" Tiba-tiba seorang perempuan berambut ungu menjerit di saat kakinya menjejak di pekarangan bangunan hemisfera itu. "Mantaplah S.A!"

Aku tersengih. Nampaknya bukan aku seorang sahaja yang teruja. Pintu masuk utama terbuka secara automatik dari dalam. Pameran hackathon akan bermula sebentar lagi. Di saat jam tepat pada pukul 9 pagi, satu hologram terpancar di hadapan pintu masuk.

"Welcome to S.A Laboratory. Please take one earpiece and put it inside your ear to ease the conversation."

Di pintu masuk itu, kami diberikan satu kotak kecil berwarna hitam. Aku membuka kotak tersebut. Di dalamnya terdapat satu set fon telinga yang kecil bersaiz langau, berwarna silver. Di dalam kotak tersebut juga terdapat manual cara penggunaan. Hologram perempuan tadi sedang memberikan penjelasan tentang penggunaan di dalam bahasa Inggeris. Di mana, aku memahami alat tersebut akan menukarkan apa-apa bahasa yang masuk ke pendengaran kami mengikut bahasa yang kami kehendaki. Aku menekan alat kawalan earpiece tersebut kemudian menukarkan kepada bahasa Lance.

Aku membesarkan mata, takjub dengan teknologi itu di saat warga Jepun yang berbual di sebelah aku yang tadinya fasih berbahasa Jepun, kini sudah kedengaran dalam bahasa Lance di pendengaran aku. Cara mereka bercakap pula tidak kekok. Tidak adalah kedengaran seperti bahasa baku Lance, tetapi bahasa yang aku mudah fahami, bahasa harian rakyat Lance.

Mantap! Aku menjerit di dalam hati.

"Hebat, kan?" Seorang gadis menyinggul bahu aku. Dia tersenyum menyeringai. Rambutnya berwarna ungu pekat, matanya bundar dan bersinar-sinar seperti anak patung, kulitnya putih licin, wajahnya berbentuk hati. Apabila melihat perempuan tadi secara berdepan, sesungguhnya dia sangat cantik.

Aku menanggalkan alat dengar di telinga aku. "Boleh cakap bahasa Lance?"

Dia juga menanggalkan alat dengar di telinganya. "Boleh!" Dia menjerit teruja sebelum dia melompat-lompat macam kanak-kanak.

Aku hanya mampu tertawa. Aku tahu dia teruja. Aku memasang alat dengar tadi semula. "Datang seorang atau dengan kawan?"

"Seorang aje, aku tak ada kawan. Aku dari University California." Dia menghulurkan tangan kepada aku. "Nama aku Angela."

Aku menyambut salam perkenalannya. "Amalia dari University of Lance."

"Sebenarnya saya bukan bidang IT pun." Dia berbisik perlahan. Kami berdua berjalan ke arah satu bilik besar di mana tempat pameran akan dijalankan. "Tapi datang sini sebab S.A ada buat pameran AI tentang kecantikan. Aku nak bawa teknologi ini dalam bidang aku nanti. Baru nampak maju sikit dari kawan sekuliah aku."

"Kau bidang apa?"

"Chemical Engineering. Aku nak buat produk kecantikan aku sendiri. Aku perlukan bantuan teknologi S.A untuk uji keberkesanan produk yang akan aku buat."

"Cool!" Aku mengangkat ibu jari. "AI memang untuk semua, tak kisah bidang apa, sangat membantu memudahkan kerja manusia."

"Kan?" Angela bersinar-sinar pandang aku seolah-olah dia telah berjumpa dengan seseorang yang memahami dirinya. "Kau datang seorang aje?"

"Aku datang dengan kawan sepatutnya, tapi dia lambat." Mata aku melilau mencari kelibat Amer, tapi bayangnya langsung tiada.

Kaki kami berhenti di satu dewan yang besar berwarna putih, dipenuhi dengan booth pameran dari pelbagai bidang. Jurucakap hologram tersebut membenarkan kami mengambil masa untuk pergi ke setiap booth untuk mengambil tahu tentang teknologi terkini dalam bidang yang kami minati.

I'M LOSTWhere stories live. Discover now