Aku keluar semula dari bilik Aniq melalui tingkap, kemudian masuk ke bilik aku semula.

Aku melempar pandangan ke luar tingkap. Bayu malam meniup agak dingin malam ini, mengundang perasaan tidak enak ke dalam hati. Pantas aku menggeleng kepala, kemudian duduk di meja semula. Peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Salah satu cara untuk aku masuk ke universiti awam adalah dengan mendapatkan markah terbaik ketika dalam peperiksaan. Saingan di negara kapitalisme ini sangat tinggi. Jika tiada harta, tiada kabel, tidak bijak, kau akan berada di strata paling bawah.

Bunyi deruman enjin kedengaran masuk di pekarangan rumah. Itu pasti ibu dan abah yang sudah pulang setelah bekerja. Ibu dan abah ada sebuah restoran yang menjual makanan Cina Muslim di tengah ibu kota Lance, di bandar Lionel. Hasil usaha keras ibu dan ayahnya mereka dapat hidup agak senang di negara kapitalisme ini. Walaupun rumah mereka agak terpencil dan jauh di hutan, itu sudah cukup untuk hidup tenang dari hiruk pikuk di bandar.

Aku turun ke tingkat bawah, menyambut ibu dan abah. Pintu rumah pantas dibuka kerana aku sudah tahu bunyi enjin kereta ibu dan abah. Bunyi suara memberi salam pantas disambut..

"Ibu dan abah dah balik?" Aku tersenyum ceria. Tubuh ibu dan abah dipeluk erat.

"Nah Amalia, ibu ada bawa dumpling dari gerai. Pergi makan malam dengan Aniq." Ibu memberikan sebungkus plastik kepada aku.

Seperti biasa, setelah pulang ke rumah, ibu dan abah akan naik ke tingkat atas, untuk membersihkan diri. Aku pula akan duduk di ruang tamu, sambil menonton televisyen. Mulut mengunyah dumpling dengan rakus. Aniq biasanya sudah makan malam di bandar.

"Amalia, pergi panggil Aniq makan." Ibu duduk di sebelah aku, memakan dumpling yang dibawa dari kedai.

"Aniq sibuk, dia tak nak makan malam." Selamba aku menipu.

"Main gitar lagi lah tu?" Tebak ibu. Suaranya kedengaran marah. "Apalah nak jadi dengan Aniq ini. Peperiksaan dah nak dekat, sibuk main muzik."

"Biarlah, dia ada bakat." Dalam masa yang sama aku menyebelahi Aniq.

"Sibuk nak jadi penyanyi, ahli muzik. Muzik itu tak ada masa depan! Main gitar sampai tak ingat dunia." Marah ibu tidak berpuas hati. "Tak habis-habis buat benda lagha! Cubalah kau nasihatkan adik kau itu."

"Sebab dia ingat dunia lah, dia main gitar, ibu." Aku membalas lagi. Walaupun aku tidak menyokong adik aku seratus peratus untuk jadi ahli muzik, aku tidak juga menghalang minat adik aku. Aku tahu adik aku itu berbakat, dia ada banyak bakat. Sedangkan aku tiada bakat, maka aku cuba serlahkan diri aku dalam bidang akademik. Mungkin aku ada bakat, tapi aku cuma belum meneroka lagi bakat aku, dan aku tidak ada motivasi untuk meneroka potensi diri.

Untuk berjaya dalam bidang akademik itu lebih mudah daripada mencari bakat unik. Bidang akademik itu laluan ia mudah sebab dah ramai orang melalui jalan itu, dan aku cuma perlu ikut laluan itu, kemudian capai apa yang orang terdahulu pernah capai dengan laluan yang sama. Bidang akademik itu seolah sudah tersedia jalannya, dan aku hanya perlukan usaha keras dan ikut sahaja modul yang sudah diberikan tanpa perlu berfikir. Aku juga ada minat aku juga, aku juga kreatif, tapi aku tidak seberani Aniq yang boleh menentang satu dunia, membelah lautan, melawan arah angin, untuk mengejar impian.

Aku penakut. Daripada bergelumang dengan ketidakpastian sama ada minat yang aku ada boleh bagi aku kejayaan, lebih mudah untuk aku padamkan minat itu, kemudian ikut sahaja seperti yang telah diaturkan oleh ibu dan bapa aku.

Aniq berbeza. Kerana dia seorang pemikir, dia lebih bijak, lebih kreatif, dia boleh pilih apa yang dia nak jadi. Jika tiada jalan, dia yang akan cipta jalan itu. Dia tidak suka hidupnya diaturkan, dia tidak mahu jawapan sedia ada, dia mahu terokai potensi dirinya sendiri.

Aniq sukakan risiko. Seperti sekarang, walaupun malam tahun baru itu bahaya, dia tetap pergi.

Rancangan televisyen yang memaparkan siaran langsung di dataran Lionel itu mula terhenti di saat wartawan di televisyen tiba-tiba dibaling dengan bom pemedih mata ketika kamera sedang bersiaran.

Aku dan ibu masing-masing terkaku di hadapan televisyen. Ayah yang baru keluar dari bilik juga terhenti di belakang sofa melihat rusuhan yang tiba-tiba berlaku yang bersiaran langsung di dataran Lionel. Barangkali itu rusuhan politik yang berlaku gara-gara ramai penyokong yang tidak berpuas hati dengan kehadiran perdana menteri baru yang datang ke dataran bagi menyambut tahun baru. Rusuhan politik sangat kerap berlaku di tengah bandar Lionel. Yang paling dahsyat apabila ada pengganas yang mula melepaskan tembakan sehingga akhirnya sesi tembak menembak berlaku, dan membunuh ramai orang tidak bersalah. Itu antara adegan penunjuk perasaan dan rusuhan yang berlaku secara ekstrem setiap kali perdana menteri baharu naik.

Tangan aku menggigil melihat kejadian tembak menembak itu berlaku lagi. Kejadian itu bukan pertama kali berlaku di Lance. Lance mungkin maju dari segi teknologi dan insfrastruktur, tapi minda orang awam masih lagi mental kelas ketiga.

Aku nampak abah dan ibu bergegas ke pintu kemudian mengunci pagar rumah. Lampu kecemasan diaktifkan. Gril rumah dikunci secara automatik dari dalam.

"Aniq!" Ibu mengetuk pintu bilik Aniq berkali-kali. "Matikan lampu, jangan buat bunyi bising."

Aku hanya terkaku di sofa mendengar ibu memanggil-manggil nama Aniq, sedangkan Aniq tiada di dalam bilik. Aku masih lagi berkira-kira sama ada patut atau tidak aku memberitahu ibu dan abah bahawa Aniq berada di dataran, dan mungkin boleh jadi salah seorang mangsa yang terkena tembakan rawak dari pengganas.

"Ibu, abah..." Dada aku sesak, nafas aku tersekat-sekat. "Aniq..."

*****

Bunyi teriakan dan tangisan seorang wanita bergema di koridor hospital. Seorang remaja lelaki berlumuran darah disorong masuk ke arah wad pembedahan. Nafas yang tercungap-cungap menyedut sisa nafas yang mungkin kali terakhir. Tangannya yang berlumuran darah menggenggam tangan aku erat. Sebaris senyuman dihadiahkan buat aku. Air matanya berlinang jatuh di atas katil.

"Jangan risau..." Dia menarik nafas yang tercungap. "Aniq suka... risiko..." Dia tertawa kecil sebelum matanya terpejam rapat. Tangannya yang menggenggam tangan aku terus terkulai.

"Aniq!!!" Ibu menjerit dan menangis, sebelum dia terjatuh di koridor hospital. Tautan tangan aku dan Aniq terlerai di saat katil tersebut ditolak masuk ke dalam wad pembedahan. Aku terjelepok jatuh di atas lantai.

Dunia aku gelap, aku dapat rasakan separuh raga aku telah hilang di saat Aniq pergi. Di saat itu, semuanya bermula. Aku tidak boleh bernafas. Lohong hitam itu sekali lagi memakan diri aku. Aku terperangkap, sesak, dan sakit. 



*****

Lama tak update cerita baru. Silalah baca, dan komen sekali. 

I'M LOSTTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang