BAB 9

737 95 29
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


SEJAK tadi, aku hanya diam membisu di dalam ruangan ini. Tidak tahu mahu berkata apa. Dalam masa yang sama, esakan halus emak kini menyerkup ambien. Cik Timah di sisi emak turut membisu sama sambil tangannya mengusap belakang tubuh emak.

"Kenapa kau tak cakap dengan mak yang kau sakit, Rai? Mak ni mak kau tahu tak, hah? Kau suka ek tengok mak kau ni risau sebab kau? Susah sangat ke kau nak cerita dengan mak tentang sakit kau?" soal emak dalam sendunya yang tersisa.

Anak mataku jatuh merenung kedua belah tangan sendiri yang berada di atas riba. Aku mati kata. Soalan emak aku biarkan sahaja tanpa disambut.

"Perangai kau sama macam ayah. Sakit pun tak nak cakap. Masih lagi nak bekerja. Memang kau orang berdua ni tak sayangkan mak ke? Suka ke tengok mak susah hati?"

Mataku terkerdip lemah. Aku tahu tindakanku ini telah mengundang rasa gusar di hati tua emak.

"Rai, cubalah cerita dekat kami. Sebenarnya sejak bila Rai kena serangan panik macam tadi tu? Baru je ke atau dah lama?" Lembut sahaja suara Cik Timah melantun ke pendengaranku.

Mendengar soalan itu, tahulah aku bahawa Cik Timah langsung tidak tahu menahu tentang soal ini daripada Harris sedangkan lelaki itu sudah dua kali menyelamatkan aku daripada situasi tersebut. Entah mengapa, hatiku berasa sedikit lapang memikirkan itu. Bersyukur kerana lelaki itu tidak memanjangkan hal kepada sesiapa.

"Rai sebenarnya sedar yang Rai terkena panic attack waktu zaman belajar dulu, Cik Timah. Nak cakap sebelum ni, rasanya tak kot. Sebab Rai pun tak ingat sangat tentang memori lama Rai. Kalau Rai ada sakit ni dari awal, mungkin mak tak sedih macam ni," ucapku seraya tersenyum simpul.

Dari ekor mata aku perasan anak mata emak kini sudah melekat pada wajahku. Sudahnya, kami berbalas pandangan sesama sendiri. Aku tidak tahu mengapa awan mendung kini berarak melitupi pandangan mata emak. Mungkin kata-kataku tadi mengundang rawan di benaknya buat kesekian kalinya.

"Sejak umur kamu 18 tahun kau dah ada penyakit tu ke?"

Aku mengangguk. Mengeyakan.

Dan tidak semena-mena, cairan jernih yang tadinya kering kini melimpah semula membasahi pipi tua emak. Menyaksikan itu, automatik rasa hangat kini mencucuk-cucuk pelupuk mataku. Aku tak kuat untuk menyaksikan air mata emak terus-menerus gugur kerana aku.

"Mak, janganlah nangis. Mak ni suka tau buat Rai sedih." Capai tangan tua emak, imej wajah emak kini kelihatan kabur dalam bingkai pandanganku.

Tanpa kata, emak terus bangkit dari tempat duduknya lalu menarik tubuhku masuk ke dalam pelukan hangatnya. Disebabkan emak tidak pernah memelukkan sebelum ini, kedua belah tanganku terkaku di udara. Tidak pasti mahu membalas pelukannya kembali ataupun tidak. Maklumlah, emak aku seorang yang agak tegas. Cara didikannya memang tegas dan tidak lembut. Namun sekeping hati emak sangat baik. Aku tahu emak sayangkan aku dengan caranya sendiri.

Forgotten Moment (NEW)Where stories live. Discover now