Prolog.

135 16 2
                                    

Kala tetaguk rancak bergurindam memuji bulan di langit, dalam sebuah dangau di tengah dusun, seorang lelaki girang menyanyi.

Mana Sultan Abu Syahid
Budak-budak bermain benteh
Tuan juga dipandang baik
Bagai cincin dengan permata

Setelah itu Seri Nara Adiraja menggerakkan bidaknya mengepung buah catur terakhir Temenggung.

"Jadi akhirnya rajaku ditewaskan dengan kuasa paling kecil? Lagu si bidak-bidak ini." Temenggung ketawa seraya menggeleng-geleng.

"Suara rakyat bagai api dalam sekam, Datuk. Perlahan membakar namun sukar dipadamkan. Manakala sifat api pula kala kecil menjadi kawan. Sudah besar menjadi lawan."

Temenggung menggerakkan buah raja. Dia masih punya petak untuk melarikan diri.

"Kita rasa Tun Seri memandang rendah akan kuasa raja. Rakyat perlukan perlindungan. Negeri akan binasa tanpa pemerintah."

"Benar Datuk. Dek kerana itu kita perlukan pembesar."
Seri Nara Adiraja menggerakkan bidaknya ke petak terakhir. Buah catur paling kecil itu ditukar dengan buah pembesar.

"Lalu apa pula? Menggunakan pengaruh pembesar untuk menjatuhkan raja?" Temenggung melurut-lurutkan janggutnya. Tumpuan tidak diberi pada buah catur sendiri, tetapi buah catur pembesar Seri Nara Adiraja.

"Masakan bendahara mahu menjatuhkan raja?" teka Temenggung lalu mengusul hujah. "Bendahara terikat dengan janji Demang Lebar Daun. Tiada anak cucu mereka yang berani menderhaka mencemar kemuliaan keturunan."

Kala ini dua pihak telah jelas siapa pemenang. Satu gerakan sahaja diperlukan untuk menamatkan permainan.

Seri Nara Adiraja mengerakkan buah catur pembesar menghampiri buah raja. "Bukan menjatuhkan raja, Datuk. Mempengaruhi rakyat agar turut serta dalam percaturan kita."

Permainan catur telah tamat. Temenggung memejamkan matanya dan menarik nafas panjang.

"Papan catur ini penaka bendahara. Tugas utamanya memastikan papan catur beraja, tanpa mengira pihak mana yang menang atau seri. Agar permainan boleh dimulakan semula."

Korban TakhtaWhere stories live. Discover now