Nenek menghela nafas perlahan. Mata dipejam seketika sebelum kembali dibuka dan memandang ke arah cucu lelakinya itu.

"Nenek pun ada keinginan tau, Noah." Kata nenek dengan nada tertahan.

"Apa keinginan nenek? Mana tahu sama?" soal Noah dengan mata bulat bersinar.

"Keinginan nak rotan bontot kau sepuluh kali. Kau nak nenek hilangkan rasa keinginan ni?" soal nenek mendatar.

Noah hanya tersengih sambil menggelengkan kepala. Kasut dibuka sebelum Noah pecut lari masuk ke dalam rumah.

Nenek menggelengkan kepala. Nak marah pun tak boleh sangat sebab dia waktu muda dulu pun sama macam Noah. Keinginan nak mengayat seseorang. Anak dia Nadra iaitu mommy Noah pun samalah perangai.

Manalah tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Manalah tumpahnya perangai asli kalau tak ke anak juga. Haih!




Noah menendang batu-batu kecil. Anak mata naik memandang ke arah langit malam. Noah baru selesai solat isyak di masjid dan sekarang dalam perjalanan nak balik ke rumah nenek.

"Baahh!"

Noah menoleh ke arah kiri dengan wajah tidak berperasaan. Terjongket sedikit bibir Noah ke atas selepas melihat wajah polos seorang gadis yang dipenuhi tepung.

Awek ni comel!

"I never knew there was a cute ghost like you." Ujar Noah tanpa melepaskan anak matanya dari menatap wajah polos itu.

"Ma-maaf salah orang." Hantu itu menundukkan kepala ke bawah. Jari naik menggaru kepala yang tiba-tiba gatal.

"Tengok kau ni buatkan aku rasa nak tukar fikiran." Noah mengecilkan mata.

"Tukar apa?" soal hantu itu perlahan.

"Tukar fikiran dari nak mengorat manusia ke mengorat hantu pula. Comellah hantu ni." tangan Noah naik menarik kain telekung yang dipakai oleh gadis itu.

"Saya bukan hantu." Mendatar nada suara gadis itu.

"Halal tak kalau peluk hantu ni. Geramlah tengok hantu comel-comel macam ni." kaki Noah bergerak menghapuskan langkah di antara mereka.

"Saya manusia! Mana boleh peluk." Laju gadis itu menggelengkan kepala. Kaki melangkah beberapa tapak ke belakang.

"Iya ke manusia?" Noah menayangkan wajah tak percaya. Bibir menarik senyuman senget selepas melihat wajah cuak gadis itu.

Gadis itu menyapu wajahnya dengan kain telekung untuk menghilangkan putih diwajah. Bila dah yakin debuan putih itu telah hilang, gadis itu kembali menunjukkan wajah.

"Aikk!" Noah menayangkan wajah terkejut. Kepala disengetkan sedikit.

"Kenapa?" mata gadis itu terkebil-kebil.

"Tadi comel... sekarang cantik pula." Puji Noah dengan sengihan.

Gadis itu mengetap bibir lembut. Tangan diangkat seakan-akan mahu memukul Noah.

"Qalbi." Gumam Noah perlahan.

"Mana tahu nama saya?" gadis itu menjatuhkan tangan ke bawah perlahan-lahan.

"Tu dekat atas kepala tu terang-terang tulis nama Qalbi. Walaupun dalam bahasa jawi tapi aku masih tahu baca." Balas Noah sambil memuncung mulut ke atas kepala gadis itu. Ada tulisan jawi yang hampir pudar.

Tangan Qalbi naik menyentuh atas kepalanya perlahan. Lupa pasal kehadiran namanya di atas.

"Awak tahu nama saya, nama awak siapa?" soal Qalbi ingin tahu.

"Kenapa nak tahu?" Noah kembali menyoal.

"Manalah tahu nanti boleh jadi hantu sama-sama." Qalbi menjongket kedua-dua belah bahu selamba.

Senyuman Noah menyenget. Kepala digelengkan sebelum kembali membuka langkah menuju ke arah rumah nenek.

"Tak nak jadi hantu tapi..."

Terkedek-kedek kaki Qalbi mengejar langkah Noah. Nak tahu ayat sambungan dari lelaki itu punya pasal.

"Nak jadi suami kau. Boleh?" terjongket sebelah kening Noah.

Qalbi menayangkan wajah kosong. Terkebil-kebil matanya memandang wajah nakal lelaki itu dengan tatapan kosong.

"Saya nak tahu nama bukan nak cari bakal suami." Tolak Qalbi tanpa perasan.

"Noah." Noah mengulingkan anak matanya ke atas. Macam itu saja dia kena reject. Haih!

Qalbi terdiam seketika. Kaki tetap melangkah berjalan disebelah lelaki itu sambil fikiran melayang ke arah lain.

Noah? Buatkan Qalbi teringat akan sesuatu.

"Rumah kau kat mana?" soal Noah apabila anak matanya mula melihat rumah nenek yang sudah tidak jauh dari situ.

"Rumah yang ada pelita tu."

Noah memandang ke arah rumah yang ada pelita dihadapannya. Senyuman dibibir Noah mula terbit. Rumah gadis ini rupanya berhadapan dengan rumah nenek saja.

Senanglah Noah nak mengorat nanti. Keluar rumah dah nampak muka awek comel ni.

"Ayah kau pak imam masjid tu ke? Pak imam Zahir?" soal Noah selepas menghentikan langkah dihadapan rumah Qalbi.

"Betullah tu." Qalbi menganggukkan kepala dengan polos.

"Ouh senanglah nanti."

"Senang apa?" dahi Qalbi berkerut.

"Senang nak bernikah dengan kau. Apa-apa nanti biar pak imam Zahir saja nikahkan kita berdua nanti." Noah menjongketkan kedua-dua belah kening dengan riak nakal.

Qalbi memandang Noah atas dan bawah beberapa kali. Kemudian Qlabi menjeling tajam.

"Mimpi dulu ya, Noah. Ingat senang nak jadi menantu pak imam. Salah baca satu tajwid saja dah kena reject dari jadi bakal menantu." Beritahu Qalbi dengan riak berlagak. Kedua-dua belah tangan naik memeluk tubuh.

"Demi nak dapatkan isteri yang cantik dan hantu yang comel, aku boleh belajar balik dari alif ba ta sampai juzuk 30." Noah tersenyum tenang.

Qalbi mencebirkan bibir. Baru kenal dah nak mengorat bagai. Awal-awal lagi Qalbi nak masukkan Noah ke dalam list lelaki-lelaki yang patut dijauhi.

"Pergi baliklah." Halau Qalbi sekaligus memusingkan tubuhnya membelakangi Noah.

"Selamat malam, ya Qalbi. Mimpikan bakal suami kau ni." usik Noah dengan sengihan. Seronok dia dapat mengusik gadis itu memandangkan Qalbi pun melayan.

"Maaf cakap tapi sebelum tidur saya ambil wudhuk dan baca ayat kursi untuk tak mimpi ngeri pasal awak." Selamba Qalbi berkata dengan wajah tak bersalah.

Auch! Macam itu saja dia kena reject lagi! Noah menayangkan wajah pasrah sebelum turut melangkah menuju ke rumah nenek. Qalbi pun dah nak masuk ke dalam rumah.

Tak apa, Noah. Hari esok masih ada!

Selamat tahun baru❤️

NOAH MAHFUZOnde as histórias ganham vida. Descobre agora