Hakim yang sedang mendengar dari tadi mengangguk kepada Amra sebelum memandang ke arah pendakwa raya. "Pendakwa, sila duduk."

Amra senyum sedikit. "Pendakwa telah mendakwa yang tertuduh hanya kerana dia berada di tempat kejadian. Saya sudah mendapatkan dashcam daripada kereta yang berada di situ untuk mendapatkan bukti bahawa Encik Haikal tidak berada di situ berseorangan, malah dia bersama adiknya, Haira. Dia berada di tempat kejadian kerana mencari rantai Haira yang hilang. Sewaktu itulah dia terjumpa dengan mangsa yang sudah tidak bernyawa. Dan pada waktu itu, polis yang dipanggil oleh encik Amirul telah datang dan menangkap yang tertuduh di tempat kejadian."

"Rakaman dashcam ini adalah bukti bagi semua kejadian yang berlaku kecuali sewaktu pembunuhan berlaku kerana kereta diparkir setelah berlakunya kejadian tersebut," sambung Amra sambil berjalan menghampiri hakim. Tablet yang mengandungi rakaman video yang didapati daripada blackbox diserahkan kepada hakim, kemudian satu lagi tablet diserahkan kepada pendakwa raya.

"Hanya kerana dashcamini merakamkan tertuduh berada di tempat kejadian satu jam setelah kejadian, tidak bermaksud tertuduh bukanlah penjenayah." Pendakwa raya masih belum berputus asa.

Hakim berbincang dengan pihak-pihak yang duduk di sebelahnya buat beberapa minit.

"Memandangkan pihak pendakwa tidak mempunyai bukti yang kukuh bahawa yang tertuduh merupakan penjenayah yang dicari, perbincangan akan ditangguhkan kepada perbincangan seterusnya."

Tok! Tok! Tok!

༻❁༺

LANGKAH diatur dengan yakin untuk masuk ke dalam. Sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam ofis jabatan penyiasatan, beberapa mata tertancap pada Amra. Kot hitam di tubuh wanita dibetulkan dengan tangan kanannya.

"Ya, cik? Ada apa-apa yang boleh kami bantu?" soal salah seorang lelaki yang sedang duduk di kubikel miliknya. Aqif menjongketkan sebelah kening, menanti wanita yang baru masuk itu menjawab persoalannya.

"Saya nak jumpa dengan detektif yang sedang menguruskan kes jenayah pembunuhan yang berlaku di daerah Sa'eedah dua minggu lepas."

Aqif mengangguk-angguk. "Adam, detektif pergi mana?" soalnya kepada seorang lelaki yang sedang duduk di kubikel sebelah. Dia lebih muda dan badannya lebih kecil berbanding Aqif.

"Tak silap saya, detektif pergi kejar anjing yang curi makanan dia tadi." Adam garu kepala sambil tersengih.

Aqif menggulingkan bebola mata ke atas sebelum menggelengkan kepala. "Cik boleh duduk sana dulu, ya. Kejap lagi baliklah dia."

Amra mengangguk kemudian mengambil tempat duduk di beberapa buah kerusi yang berada di tepi dinding.

"I will kill the dog when I see him again." Suara garau yang tiba-tiba muncul itu mengalih perhatian Amra. Dia berpaling memandang lelaki yang baru masuk. Seketika, dia terpegun.

"Anjing rumah sebelah sana curi makanan kau lagi ke?" soal Aqif selamba. Senario itu biasa di pejabat ini.

Lelaki yang baru masuk itu mengangguk kecil bersama muka yang bengis.

"Aku dah cakap, jangan makan kat luar. Makan dalam ni bukannya tak boleh."

"Aku benci bau makanan dalam tempat kerja." Bahu diangkat.

"Oh ya, ni ada orang nak jumpa kau. Katanya lawyer penjenayah yang kau tangkap hari tu." Aqif memandang ke arah Amra yang dari tadi hanya memerhatikan dua lelaki di hadapannya berbual.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Dec 10, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

UNKNOWNWhere stories live. Discover now