"Airis..."

Suara Firash. Lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Cinta dia kepada Firash melebihi segalanya sehingga dia menyerahkan tubuhnya kepada lelaki itu. Mereka terlanjur bukan sekali. Tak terkira. Semuanya atas dasar perasaan suka dan nafsu. Kerana kesilapan mereka wujudnya anak yang sekarang dikandung Airis.

Airis memejam matanya rapat. Dia cuba mengusir segala memori dia bersama dengan lelaki itu. Dia tak mahu ingat langsung. Alangkah bagusnya dia mampu melenyapkan ingatan itu agar dia tidak teringat betapa kotornya hubungan cinta mereka.

Perasaan cinta Airis pada Firash sudah lama mati. Yang tinggal hanyalah kebencian Airis kepada Firash. Semua ayat-ayat cinta Firash kepadanya selama ini sekadar omongan kosong. Tidak bermakna. Pada akhirnya dia yang ditinggalkan menanggung semua kesilapan ini.

Firash sekarang mungkin sedang berbahagia dengan perempuan lain.












EIMAN bersama Tengku Sulaiman tiba di rumah Umi Warda pada waktu malam. Kedatangan mereka tidak dimaklumkan kepada Umi Warda terlebih dahulu. Dari luar rumah mereka terdengar bunyi jeritan Airis dari dalam. Mereka saling berpandangan. Sudah tiba masa ke?

"Saif tolong umi. Pergi rumah Mak Senah depan masjid tu. Rumah dia warna biru. Dia bidan kampung. Bawa dia datang ke sini. Airis nak beranak dah ni! Cepat!" Cemas suara Umi Warda meminta pertolongan Saif.

Melangkah masuk ke dalam rumah, anak beranak itu melihat Airis yang sedang mengerang kesakitan. Di tepinya ada Umi Warda dan Dahlia. Saif pula sudah pergi ke rumah Mak Senah.

"Ayah..." Lemah suara Airis memanggil Tengku Sulaiman.

"Airis merayu jangan ambil anak Airis. Jangan pisahkan kami." Airis merayu bersungguh-sungguh buat kali terakhir sebelum Mak Senah datang bersama Saif.

Airis dibawa masuk ke dalam sebuah bilik ditemani Umi Warda. Tengku Sulaiman menghantar pemergian mereka melalui ekor mata. Dia tergamam melihat keadaan Airis. Anak perempuannya bakal melahirkan anak malam ini. Rayuan Airis terngiang-ngiang di telinganya. Dia meraup wajah sekali.

"Man kesian kan akak. Ayah tak-" Eiman cuba memujuk ayahnya agar mengubah keputusan.

"Ayah tahu apa yang ayah buat, Eiman! Tak perlu nak ajar ayah! Masa Kak Airis buat benda terkutuk tu, ada dia kesian kan ayah dan ibu?" Meninggi suara Tengku Sulaiman memotong percakapan Eiman.

Uwekkk uwekk!

Kedengaran bunyi tangisan bayi yang baru lahir bergema kuat satu rumah. Serentak semua mata terhala ke arah bilik yang dimasuki Airis tadi. Tengku Sulaiman pantas angkat punggungnya dari atas sofa dan meluru ke bilik itu. Dia menunggu di hadapan pintu bilik sehingga keluar seseorang dari dalam bilik itu.

Mak Senah.

"Bayi lelaki ke perempuan?" Tengku Sulaiman menyoal tidak sabar. Kepalanya terjenguk melihat keadaan di dalam bilik.

"Perempuan."

"Simpan rahsia ni sampai mati," ujar Tengku Sulaiman tegas. Dia menghulurkan sejumlah duit yang banyak kepada Mak Senah agar menutup mulut daripada sampai ke pengetahuan orang lain.

Tengku Sulaiman melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia mahu melihat keadaan Airis sekarang. Dia memandang tanpa perasaan bayi yang baru lahir itu. Tidak dinafikan wajah bayi perempuan itu cantik seperti ibunya.

Umi Warda memegang perlahan tangan suaminya.

"Kasihankan Airis, abang."

Airis mengucup lembut wajah anaknya. Air matanya tidak henti mengalir sejak tadi. Dia bersyukur anaknya selamat dilahirkan.

"Anak mama..."

Keputusan Tengku Sulaiman tetap sama. Pujukan orang lain tidak mampu mengubah keputusannya sehingga sekarang. Hatinya terlalu keras. Pada malam itu juga dia membawa anak yang tidak bersalah itu tinggalkan ibunya yang sedang tidur kepenatan. Dia meminta pertolongan Saif. Disuruh Saif memandu kereta ke satu tempat. Manakala, dia yang memegang anak Airis yang tidak henti menangis sejak tadi. Nyaring bunyi tangisan bayi perempuan itu.

Kereta yang dipandu Saif berhenti di sebuah lorong kecil yang gelap. Wajah Saif bertukar kaget. Dia hanya mengikuti arahan Tengku Sulaiman. Namun dia tidak menyangka ini tempat yang mahu dituju majikannya. Dia memandang anak yang tidak bersalah itu dengan pandangan yang simpati dicampur rasa bersalah. Dia rasa berdosa dengan Airis kerana telah menolong Tengku Sulaiman malam ini.

"Tengku nak buang anak Cik Airis di sini ke?"

"Kau jangan keluar. Duduk dalam kereta ni." Amaran keras diberikan. Tengku Sulaiman keluar dari kereta bersama anak Airis di dalam gendongannya. Dia berjalan beberapa langkah kemudian mengetuk cermin tingkap sebuah kereta Vellfire berwarna hitam. Cermin tingkap kereta diturun. Terpacul seraut wajah lelaki muda yang berwajah serius. Lelaki itu memandang wajahnya bersilih ganti dengan anak Airis.

Tengku Sulaiman tanpa ragu-ragu menyerahkan anak Airis kepada lelaki itu. Lelaki itu memegang penuh berhati-hati bayi perempuan itu. Tanpa berkata apa, cermin tingkap kereta dinaikkan semula ke atas selepas selesai penyerahan bayi perempuan itu.

Keluhan kecil dilepaskan Tengku Sulaiman. Dia merasakan inilah keputusan yang terbaik. Dia tidak membuang anak Airis di lorong ataupun di depan masjid. Dia berikan anak Airis kepada pasangan suami isteri. Sekurang-kurangnya kehidupan anak itu akan terjamin. Anak itu akan mendapat kasih sayang secukupnya dari seorang ibu dan ayah.

KESEMPATAN KEDUAHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin