Bab 1: Janji

65 5 5
                                    

Kota Aveyond, Erudayn. Malam.

Mata Aria masih tidak beralih daripada skrin di hadapannya. 

Hanya sesekali matanya dicerunkan ke bawah, menatap tablet yang menjadi tempat tangannya menconteng dan mencatatkan nota. Wanita berusia 39 tahun itu masih menekuni kerja, walaupun hari sudah semakin larut malam.

Di hadapannya, terpampang pelbagai bentuk dapatan data, nombor-nombor tersusun dalam petak-petak tertentu. Digit-digit memenuhi hampir keseluruhan skrin. Sesekali Aria mengeluarkan analisis dengan formula kiraan-kiraan tertentu.

"Banyak lagi ke tu?" satu suara garau menegur, kemudian diikuti dengan kuapan. Jelas dikuasai rasa mengantuk. "Tak boleh ke sambung esok je?" sambung suara lelaki itu lagi, Elliot namanya.

Aria sekadar menyimpul senyum sejurus mendengar teguran suaminya. Terus dikalihkan tubuhnya ke arah suaminya.

"Sikit je lagi ni, esok nak bentang ke seluruh tim projek. Sayang sambung tidurlah, kejap lagi saya tidur, hmm?" balas Aria sambil keningnya diangkat, seolah-olah menanti persetujuan Elliot.

"Haih, awak tu bukannya boleh percaya ...," ujar Elliot, matanya separa pejam. "... Kalau bekerja tu sampai tak ingat dunia," sambung Elliot lagi.

"Alah, untuk keluarga kita juga ...," Aria merengek sedikit, kemudian mulutnya sengaja dimuncungkan.

"Kan tu tanggungjawab saya juga. Buat apa ada suami kalau awak kerja sampai separuh mati seorang diri?"

Kali ini Aria mati kata. Mata mereka masih bertentang, enggan mengalah.

"Dahlah, saya mengantuk. Jangan lambat sangat tidur, esok petang kita dah janji nak dinner sekali sekeluarga, kalau sayang tertidur kat ofis saya tak nak jemput ya, dinner sendiri," Elliot mengalah, selimut terus ditarik, pura-pura merajuk. Aria tertawa kecil melihat ulah suaminya.

"Yalah, yalah."

***

"Sarapanlah dulu!" laung Elliot.

"Aduh, dah lambat betul ni," rungut Aria sambil merapikan rambut pendeknya yang separas cuping telinga itu.

"Siapa suruh tidur lambat malam tadi!"

Elliot menggeleng kepala, sambil tangannya lincah menyudip scrambled egg lalu diletak elok ke pinggan. Di atas pinggan yang sama tersusun roti siap dibakar dengan mentega, di sisinya ada helaian sayur salad. Elliot kemudian membawa hidangan tersebut ke meja. Dua orang anak gadisnya, Rissa dan Lydia sudahpun separuh pinggan menghabiskan sarapan yang disiapkannya.

Tergesa-gesa Aria bergerak ke arah Elliot dan anak-anaknya. Roti dicapai lalu digigit. Air coklat di sisi terus diteguk laju.

"Mama ni sejak akhir-akhir ni selalu bangun lambat, Rissa boring dah rasa papa masak hari-hari," selamba Rissa bersuara.

Bulat mata Elliot mendengar, Aria pula tertawa. Pipi anak perempuan sulungnya itu dicubit manja.

"Maaflah, mama sibuk sikit minggu ni. Nanti mama masak bergilir dengan papa, ya?"

"Ye ke ..." anak bongsu mereka, Lydia pula merengek, tidak percaya.

"Betul kan mama ambil Rissa dan adik kat sekolah petang nanti?"

Aria mengangkat kening seketika. Baru dia teringat, dia ada membuat janji dengan anak-anaknya untuk mengambil mereka dari sekolah.

"Iya, nanti mama ambil kamu berdua," balas Aria kemudian.

"Betul boleh ambil ni? Saya boleh je ambil mereka kalau susah," Elliot berbisik perlahan pada Aria, wajahnya sudah berkerut tidak yakin.

Laju Aria mengangguk. "Boleh, dah berjanji pun," Aria berikan kepastian lagi.

"Betul ni? Jangan mungkir janji ..." Lydia membuat muka garang, siap bercekak pinggang. Aria digeletek rasa kelakar melihat ulah anak bongsunya yang berumur 10 tahun itu.

"Ya, mama janji," Aria membalas sambil tersenyum. "Mama gerak dulu," ujarnya lagi kemudian mencium pipi kedua-dua anaknya, kemudian suaminya sebelum kakinya mengorak langkah pergi.

Aria sedar, janji manis tidak boleh selalu ditabur. Kelak, dia yang harus menanggung akibatnya.

Projek Athena [ZERO]: Melawan KematianWhere stories live. Discover now