- BUAYA MEMAKAI JEANS-

43 5 0
                                        

Laila hanya mampu menggaru kepalanya yang tidak gatal sebaik sahaja gudukan selimut di atas katil itu memenuhi ruang penglihatannya.Seketika muka jam dinding dilihat sekilas.Pukul 2 petang.

Sambil menggeleng kepala,langsir berat di sisi kiri bilik tersebut diselak bagi membolehkan sinar matahari menerjah masuk.Gumpalan tisu di bawah katil dikutip dan dimasukkan ke dalam tong sampah setelah beg galas diletakkan ke atas meja sisi.

"Aku ada belikan nasi ayam ni.Makanlah sementara masih panas."

Gudukan selimut di tengah katil itu bergerak-gerak seketika sebelum satu bingkai wajah muncul.Wajah sembap dengan mata yang bengkak.Suara sengau dan rambut kusut-masai.

"Berapa?"

"Makan sajalah.Nanti lain kali kau pula belanja aku."

Begitu kata Laila sebelum menghilangkan diri di sebalik tautan daun pintu bilik mandi.

Di bawah guyuran air,Laila tidak dapat dapat menghalang dirinya daripada berfikir tentang apa yang berlaku kepada Zatun.Rakan sebilik sejak bergelar mahasiswi setahun yang lepas.

Memang Laila tidak sesekali akan pernah mahu mencampuri urusan rakannya itu kerana merasakan ia bukan tarafnya untuk menjadi tukang penasihat.Hidupnya sendiri tunggang-langgang inikan pula mahu menguruskan hidup orang lain.

Dan lebih jauh daripada itu,dia benci kepada segala bentuk drama apatah lagi jika ia menyangkut cerita ala drama slot Akasia atau Samarinda yang ditayangkan di televisyen itu.

Tidak perlu jauh-jauh.Zatun adalah contoh terdekat jika terlalu melayan drama entah apa-apa itu dan percaya pula plot klise drama begitu boleh berlaku di dunia nyata.

Patah hati angkara segerombolan buaya yang memakai seluar jeans!

Euwwwww......

Serasa ingin menjeluak Laila dibuatnya.Tapi sekali lagi,siapalah Laila untuk menghakimi orang lain.Kalau hendak mencari siapa yang bertanggungjawab tentu sahaja salah diri sendiri tetapi dia tidak sampai hati hendak mengatakan hal itu kepada Zatun.Bimbang mengeruhkan keadaan lagi pula soal hati memang salah satu keajaiban dunia yang tidak dapat dijelaskan.

Selesai mandi,Zatun dilihatnya sudah duduk tetapi masih merenung muka telefon bimbit.Biarlah dia dengan adegan patah hatinya itu.

Kembali menyarung pakaian biasanya  dan menggalas beg,Laila senyap sahaja dan keluar semula untuk meneruskan rutin hariannya.Bekerja sambilan di sebuah cafe yang terletak di luar kawasan universiti di seberang jalan sana.

Jam tepat menunjukkan pukul 4 petang ketika Laila sudah menyelesaikan rutin membersihkan cawan dan gelas di singki belakang.Merehatkan diri seketika,dia meregangkan otot-otot yang terasa tegang sambil memerhatikan keadaan lalu lintas yang semakin sibuk menjelang berakhirnya waktu pejabat pukul 5 petang nanti.

De Luna Cafe.Cafe yang berkonsepkan warm and cozy dengan mengutamakan warna-warna musim luruh.Cokelat ,merah bata,kuning dan hijau muda.Pada aras bawah beberapa buah meja bulat ditempatkan sementara di bahagian atas sofa-sofa panjang diatur rapi bagi melengkapkan rak-rak buku berisi komik dan bacaan lain bagi memenuhi kehendak pelanggan sasarannya-para mahasiswa dari universiti yang berhampiran.

Dan ketika bekerja di situlah buat kali pertama Laila mendengar tentang F4 Fakulti Sains itu.Gerombolan buaya memakai jeans yang menjadi punca Zatun tidak lalu makan.

Dikhabarkan kumpulan yang diberikan gelar sebagai F4 Fakulti Sains itu terdiri daripada tiga orang sahabat baik.Aryan,Noah dan Izdan.Kalau benarlah bagai apa yang dikata,Tuhan pasti telah menyisakan apa yang terbaik untuk diberikan kepada tiga sahabat itu.Rupa paras,susuk tubuh,kepintaran dan keluarga yang berada.

Ya.Tepatlah kata orang-orang tua dulu.Enggang sama enggang.Spesis lain mohon sedar diri.Tapi hanya setakat itu sahajalah yang diketahui Laila kerana satu -dia tidak suka segala sesuatu yang berbau drama apatah lagi drama antara dua darjat begitu.

Siapa sahaja yang tidak pernah mendengar cerita Meteor Garden yang kemudian diadaptasi kepada pelbagai versi.Kisah tentang sekumpulan pelajar elit yang kaya-raya dan sangat popular.Rebutan para gadis dan selebihnya,tahu sendirilah apa yang berlaku.

Tapi sekali lagi,suka-suka merekalah hendak menjadi apa.Jarak antara Fakulti Sains dengan Fakulti Kesusasteraan Melayu itu jauh dan sangat tipis kebarangkalian mereka untuk bertembung dan berurusan.

"Laila.."

Kak Zaliha -pemilik cafe tersebut menepuk bahunya membuatkan dia menoleh pantas.

"Upah semalam.Akak lupa beri sebab kelam-kabut keluar.Ada hal."

"Tak apalah,kak.Saya okey.Bukan akak tak bayar pun."

"Takut lupa."

"Lupa tak apa.Tapi jangan hairan kalau tayar kereta hilang nanti." Laila berseloroh sambil menyambut sampul surat berisi upahnya bekerja semalam.

Kak Zaliha turut tertawa.Inilah salah satu sikap Laila yang menyenangkan baginya.Mudah diajak berunding dan tidak berkira.

"CCTV rakam ni,Laila.Jangan macam-macam."ujarnya masih tersenyum."Ada kerja tak ni? Kalau tak ada,hantarkan pesanan untuk meja 10.Kimi pula tak nampak batang hidung."

"Siap boss!" Laila meletakkan jari kanan ke atas kening memberikan tabik hormat.

Pesanan berupa kopi berais dan sepotong kek cokelat telah disiapkan tetapi tidak ada yang menghantarkannya ke tingkat atas.Seperti dikatakan Kak Zalihah,Kimi tidak kelihatan pula dalam waktu senggang begitu.

Meja nombor 10.Meja paling hujung dan sedikit terlindung oleh rak-rak buku.Sofa cokleat muda panjang dengan bantal-bantal kecil berwarna cokelat tua dan merah bata itu ditata ke arah tingkap dan pada ketika matahari sudah condong begitu,limpahan cahaya akan tumpah ke arah sofa.

Berjalan mendekati sofa tersebut sesenyap yang boleh,Laila kemudiannya meletakkan dulang berisi kopi dan potongan kek itu perlahan -lahan.Tidak mahu membangunkan susuk tubuh yang sedang tidur melentang dengan sebuah buku melekap ke wajah sementara lengan kanan melintangi dahi.

Kemeja putih berlengan panjang itu jelas digulung menghampiri siku memperlihatkan pergelangan tangan yang dililiti jam tangan bertali perak.Ada beg hitam di atas meja beserta beberapa buah buku serta pen dan pensil.

Orang yang sama memilih tempat yang sama.Walaupun sudah beberapa kali Laila menghantarkan pesanan tersebut-tidak pernah sekalipun dia dapat melihat siapa dan bagaimana orang yang merajai sudut tersebut kerana setiap kali Laila menghantarkan pesanan,tiap kali itu jugalah susuk tubuh tersebut baring melentang melelapkan mata.

Kalau melihat daripada buku dan beg atau sesekali komputer riba di atas meja,Laila dapat menebak pasti penghuni sudut tersebut merupakan salah seorang daripada pelajar universiti sama di mana Laila melanjutkan pelajaran.

Sekali lagi,garis takdir hidup manusia sangat berbeza-beza.Laila sahaja selepas selesai jam kuliah akan menghadap tumpukan gelas dan pinggan kotor di belakang sana,pemuda ini tidur dengan nyenyak tanpa perduli akan persekitarannya.

"Laila,boss cari.." Syikin menggamitnya sambil mengisyaratkan sesuatu.Seketika Laila mengangguk dan sebelum turun semula,dia sempat merapikan susunan komik yang berantakan di atas rak.

Sedetik.Dua detik dan tiba-tiba sahaja susuk tubuh di atas sofa itu bingkas bangun menyebabkan buku pada wajahnya jatuh ke pangkuan.Keningnya bertaut seakan-akan mengingat sesuatu.

"Laila??"

*                *                *

THE DEVIL IN TUXEDOWhere stories live. Discover now