TSH #1993

53 1 0
                                    

"NUR ANISA?"

Asiyah mengangguk sambil tangan mengusap-usap perut yang memboyot. Teruja menanti kelahiran sulung yang dinanti selama 4 tahun bersama suami.

Raudah yang duduk belunjur di katil bersebelahan katil Asiyah ikutan tersenyum. Juga mengusap perut sendiri. Mereka mulai berjiran sejak dua tahun yang lepas ketika Asiyah dan Hanafi berpindah di rumah sebelahnya. Dia dan Asiyah juga sebaya. Kebetulan pula mengandung pada bulan yang sama dan tarikh jangka bersalin juga tak lari jauh. Tak cukup dengan itu, masuk wad pun dapat katil bersebelah. Alahai jodoh...

"Cantik nama Yah pilih," puji Raudah jujur. "Nama anak lelaki?"

"Hm... Yah tak terfikir pulak nak pilih nama lelaki sebab mak bidan cakap anak perempuan."

"Samalah kita. Sejak mak bidan bagitahu Odah mengandungkan anak lelaki, Odah dengan Abang Ali cuma fikir nama lelaki."

"Eh. Dah ada nama? Itu hari Yah tanya belum ada kan?"

Raudah ketawa kecil. Lucu mengingatkan dia dan suami tak tidur memikirkan nama anak sulung mereka ini. "Dah... Odah pilih satu nama, Abang Ali pilih satu nama."

"Apa namanya?"

"Muhammad Faris Idham. Odah pilih nama Idham. Sama dengan nama anak kakak Odah yang meninggal dalam pantang dulu. Abang Ali pula, dia dah tak tahu nak fikir, dia ambil nama pelakon baru yang tengah popular sekarang tu."

Tawa Asiyah meletus lucu. Ketawa pun sopan. Sama sopan sama manis dengan Raudah.

"Sedap namanya Yah dengar."

***

"Sabar, Hanafi... Karang engkau yang tersadung kaki sendiri, siapa yang nak jaga anak bini engkau..." giat Razali cuba mengejar langkah laju Hanafi.

Dia tadinya di ladang jagung milik mentuanya sebelum pihak hospital telefon nak maklumkan tentang isterinya Hanafi yang dah nak bersalin. Telefon rumah Hanafi tak dapat dihubungi. Itu yang dia terus cari Hanafi. Pusing satu pekan, nasib baiklah jumpa di kedai kopitiam.

"Cik misi, mana isteri saya? Asiyah Embun," pucat muka Hanafi menahan salah seorang jururawat yang bertembung dengannya. Walhal sudah dekat dengan unit bersalin.

"Asiyah Embun?" Jururawat cantik bertahi lalat di bawah mata itu berfikir sejenak sebelum tersenyum lebar. "Encik Hanafi ya?"

"Ya, saya. Isteri saya macam mana? Saya boleh masuk bilik bersalin ke?"

Jururawat di depan Hanafi ketawa lucu mendengar soalan Hanafi. "Tak perlu ke bilik bersalin. Dah selamat melahirkan pun. Isteri dan anak encik dua-dua selamat, tahniah."

"Allahuakhbar... Alhamdulillah..." Kendur lutut Hanafi saat mengucap kata syukur. Lelaki tampan 26 tahun itu meraup muka sendiri dalam debaran bersisa.

Razali tenang. Ketawa sambil menepuk-nepuk belakang Hanafi seakan memberi semangat. "Aku dah cakap semuanya baik-baik aje. Engkau kena belajar bertenang. Hal macam ni, kau kena bersedia. Kau kena-"

"Encik Razali?" pintas jururawat tadi tatkala mengecam wajah melayu asli Razali.

"Ya, saya."

"Ha eloklah dua-dua dah sampai. Isteri encik, Puan Raudah juga selamat melahirkan anak yang sihat."

"Hah??" Razali terkejut beruk. Bulat mata, nanar sekelip mata. Hilang terus ketenangan barusan. "Odah... Odah beranak? Mana dia? Anak saya mana? Eh. Dah beranak? Bukan tarikh lagi tiga hari ke?"

Hanafi tersenyum sumbing. Tadi bukan main tenang dan terkawal.

"Mari ikut saya. Anak-anak belum di azan dan iqamat."

***

Hanafi dan Razali berdiri di hujung katil. Tercengang. Mati kata. Separuh bingung, separuh terkejut. Bersilih ganti mereka memandang Asiyah dan Raudah yang sedang mendakap bayi kecil dalam kain putih.

Reaksi dua bapa muda itu mencuit hati Asiyah dan Raudah kerana mereka juga awalnya melalui hal yang sama.

"Tahniah, Hanafi. Anak awak lelaki," ucap Asiyah menjelaskan kekaburan suami. Dia dan suaminya itu sebaya.

"Abang, anak abang perempuan. Sihat dan cantik macam Odah," tambah Raudah menahan rasa geli hati. Di kemudian menoleh pada Asiyah.

"Odah boleh guna nama anak Yah untuk anak Odah kan?"

"Mm. Yah pun akan guna nama anak Odah untuk anak Yah."

"Eh. Abang peninglah, Odah. Janganlah main-main," celah Razali memicit batang tengkuk sendiri.

Hanafi yang masih agak bingung, memegang bahu Aizat. "Tak ada apa yang nak dipeningkan, Ali. Kau dapat anak perempuan, aku dapat anak lelaki. Mak bidan tu yang kepala pening."


End #1993

Tanya Sama Hati (slow update)Where stories live. Discover now