Dan hari yang dijanjikan sudah tiba.

Mungkin disebabkan terlalu takut dan gementar memikirkan tentang itu, dia tidak dapat tidur lena malam ini yang akhirnya membawa dia bersimpuh di sejadah pada dua pertiga malam ini.

Dia rasa pilihannya untuk menjadikan Khaleel sebagai suaminya adalah tepat. Malah tiada apa yang perlu diragukan lagi. Bahkan jika mana-mana perempuan diluar sana menerima lamaran daripada lelaki seperti Khaleel, mungkin tidak sampai sesaat mereka sudah memutuskan untuk berkahwin dengannya. mereka pasti merasakan sangat beruntung bakal mengahwini dan memiliki lelaki sesempurna Khaleel.

Berharta, berupa, cukup berakhlak dan paling penting, di dadanya tinggi ilmu agama.

Tapi sayangnya keputusan yang diputuskan tidak mudah bagi gadis sepertinya. Bukan tentang Khaleel yang membuatkan hatinya berat untuk menerima lamaran itu tapi dirinya...

Persoalannya kini, adakah dia sudah cukup baik untuk menjadi pelengkap hidup Khaleel?

Adakah layak gadis yang mempunyai masa lalu yang hitam sepertinya bergandingan dengan lelaki sesempurna Khaleel yang umpama kain putih bersih tanpa sedikit pun calitan hitam itu?

Bagaimana pula penerimaan keluarganya? Ikhlas kah mereka menerima dia yang tiada apa-apa selain daripada seketul hati yang ikhlas mencintai anak mereka sepenuhnya? Dengan Datin Fauziyah yang sudah terang lagi bersuluh tidak menyukai dia.

Dan ketika itu air mata mengalir deras tanpa disedari.

❋❋❋

"Dah belajar sampai mana?" Hampir tercekik Qaisarah dibuatnya mendengar soalan pertama yang meluncur dari mulut Datin Fauziyah. Semua mata-mata yang senyap menyantap masakan lima bintang chef peribadi keluarga Khaleel itu terus memandang Datin Fauziyah dan Qaisarah bergilir-gilir.

Qaisarah terkulat-kulat hendak menjawab. Sungguh dia tidak faham dengan soalan Datin Fauziyah. Belajar di sekolah kah maksudnya? Kerana seingatnya, dia cuma sempat bersekolah rendah saja dan selepas itu semuanya gelap. Kotak memorinya masih tidak dapat berfungsi dengan baik sebenarnya dan setiap kali dia cuba memutarkan ke belakang perjalanan hidupnya mesti denyutan tajam saja dirasakan mencucuk hemisfera serebrumnya itu.

Badan mengeras apabila mata berlanggar dengan renungan tajam yang Datin Fauziyah lemparkan apabila dia masih tidak bersuara. Daripada segan hendak makan terus tidak jadi makan. Serius dia rasa nak menangis saja sekarang ini. Sudahlah Aisyah tiada untuk menemaninya kerana dia terpilih sebagai salah seorang pensyarah untuk mengendali program kemasukan pelajar baharu secara atas talian.

Mata beralih pada Khaleel tapi lelaki itu tengah sedap mengunyah makanan sampai tidak angkat muka. Seolah-olah dia tidak mendengar apa-apa tadi.

Padahal sudu garfu dalam tangan kuat Khaleel genggam saat soalan Datin Fauziyah itu mencecah gegendang telinga. Sampai jelas timbul urat-urat belakang telapak tangannya. Bukan dia tidak faham akan maksud Datin Fauziyah itu. Sengaja mahu menjatuhkan air muka Qaisarah depan mereka dan memprovokasinya.

"Tak ada masalah pun kalau tak ada education sampai tahap mana. Khaleel nak cari isteri bukan nak hire staff." Baru Qaisarah hendak membuka mulut, Khaleel terlebih dahulu menjawab. Terkebil-kebil dia memandang Khaleel yang nampak selamba bersuara sambil menolak sisa nasi yang tinggal dalam pinggan atas sudu.

Berdengung telinga Datin Fauziyah mendengarnya. Lain ditanya lain yang pula tukang jawabnya.

"Habis tu sekarang kerja apa?" Tanya Datin Fauziyah dalam nada tidak puas hati. Masih berapi dengan jawapan Khaleel agaknya tapi sekarang dia lempar soalan lain pula nak mengenakan gadis itu.

The Lost GirlWhere stories live. Discover now