"Ah, kau! Aku sepak karang!" Sengaja aku layangkan kaki ke udara. Seperti mahu menyepak dirinya.

"Hehe, bergurau sikit je Safeera. Janganlah ambil hati. By the way, sebelum nak bergambar kau kena pakai prop dulu. Prop semua ada dekat Qarab. Alhamdulillah, hasil duit tabung kelas sebelum ni. Nasib baiklah kita orang belikan untuk kau sekali tau walaupun setiap tahun kau tak nak masuk dalam gambar."

Automatik anak mataku jatuh pada sekumpulan rakan-rakan sekelasku di hujung sana. Mereka kelihatan sibuk memakai crown di kepala. Di tangan pula, terikat reben berwarna ungu lembut. Bayangan belon berwarna putih dan ungu turut kelihatan dalam masa yang sama.

Yang lelaki pula, sibuk mengenakan tali leher warna ungu juga. Ada yang sibuk menyikat rambut sambil melihat cermin.

Nampak seronok sangat semuanya. Sedangkan bagi aku, tak ada pun yang istimewa.

"Feera, nah aku bawakan untuk kau. Pakai tau ni." Belum sempat aku halang, laju sahaja Lina letakkan crown di atas kepala aku. Dalam masa yang sama, lincah sahaja jari jemarinya mengikat reben berwarna ungu dan putih di pergelangan tangan aku.

"Lina... apa yang..."

"Jangan cakap apa-apa, Feera. Aku sekarang tengah bahagia ni. Bahagia sebab akhirnya hajat aku bakal jadi kenyataan." Bicara Lina mematikan bait bicara yang mahu terkeluar dari bibirku.

"Berkumpul di sini semua. Dah tiba masanya untuk kita bergambar." Farid sudah bergerak di rumput hijau di depan istana. Dia mengarahkan semua mengambil tempat masing-masing dengan segera.

"Jom pergi sana, Feera!" Seperti biasa, hanya Lina sahaja yang menggerakkan aku pada ketika ini. Aku hanya mampu kunci mulut. Malas nak bersuara apa-apa.

"Eh, Safeera adalah kali ni. Hah, cepat Feera. Ambil tempat sebelah Qarab. Yang tinggi semua duduk belakang." Farid tersenyum seraya menggamit aku masuk ke dalam barisan. Aku ingatkan dia ingin menghalau aku tadi. Sebab selama ni kami selalu bercakaran seperti anjing dan kucing. Tapi kali ni, sikap dia tak seperti selalu.

"Cepat, Feera! Alhamdullilah, mesti cantik gambar kelas kita sem ni." Salah seorang rakan sekelasku yang perempuan bersuara.

Lambat-lambat aku masuk ke dalam barisan. Sebenarnya, aku tak tahu nak kena duduk mana. Kekok kerana ini kali pertama aku turut serta dalam sesi penggambaran ini.

"Duduk sebelah aku, Feera." Tiba-tiba sahaja terasa lenganku ditarik oleh seseorang. Sedar-sedar sahaja, aku kini sudah berdiri di sebelah Qarab.

"Satu... dua... tiga..."

Klik!

"Senyum sikitlah, Feera. Sikit je," tegur Farid yang berdiri di belakang kamera.

Riak wajahku masih statik seperti tadi. Demam ke dia tu? Pernah ke nampak aku senyum selama aku sekelas dengan dia orang? Mengarut betul!

"Sesiapa please buat Feera senyum. Sesiapa yang berjaya, aku bagi dia seratus!"

Sudah! Dah kenapa Farid ni?

"Feera, tataplah muka aku ni. Aku tahu, kau selalu terhibur tengok gigi arnab aku ni. Tapi kau tak nak mengaku!" Harith yang entah muncul dari celah mana, terus sahaja terpacak dekat depan muka aku sambil tunjuk dua batang gigi arnab dia.

"Harith! Kau..." Akhirnya, bibirku melukis satu garisan tanpa aku sedar.

"Farid, seratus aku punya!" Harith meruah kuat kepada Farid.

"Okey, claim nanti! 1, 2, 3..."

Klik!

Buat kali pertama selama hampir tiga tahun aku berada di dalam kelas ini, akhirnya hasrat mereka untuk merakam gambar bersama aku kini menjadi kenyataan. Setelah selesai sesi bergambar, kesemua rakan sekelasku yang perempuan, kini mampir dan terus memeluk aku dengan ucapan terima kasih yang tidak lepas dari mulut.

Aku pula, hanya mengeraskan tubuh. Tiada satu pun pelukan mereka aku balas. Ucapan terima kasih yang diberi, dibiarkan sahaja disambut angin.

Kau tunggulah, Harith. Kau memang silap besar buat aku ketawa hari ni. Kau tunggulah nasib kau nanti.





"FEERA, kau tengoklah gambar ni! Sumpah lawa! By the way, senyuman kau paling mahal tau dalam gambar ni. Tengoklahhhh." Lina sibuk datang menyelit sebelah aku sambil tunjuk gambar dalam Ipad dia.

"Kau nak apa lagi, hah? Tadi paksa aku bergambar, ni suruh aku tengok gambar pula? Semaklah." Tangan Lina aku tepis laju. Fokusku kini ditala pada televisyen yang berada di depan.

"Lawa gambar ni, Feera. Sayang tau kalau kau tak nak tengok..." Lina akhirnya angkat bendera putih. Langkahnya dibawa menjauh daripadaku.

Melabuhkan duduk pada buaian besar yang terletak di balkoni, laju sahaja jari-jemarinya menggesek Ipad. Senyumannya turut tidak lekang dari bibir. Nampak bahagia sangat. Bolehlah dia tatap gambar tu puas-puas sampai mati.

Aku diam. Tidak berminat untuk campur apa-apa. Biarlah Lina bahagia dalam dunianya sendiri. Baik aku layan drama Turki ni.

"Apa plan kau cuti sem ni, Feera? Kau tak nak kerja ke?"

"Tak. Aku lagi suka duduk rumah."

"Rumah orang tua tu ke..."

Pap!

Lina terkekeh ketawa apabila sebuah bantal kini mencium wajahnya secara tiba-tiba.

"Marah betul! Yalah, kau duduk sini puas-puas. Rumah ni, rumah kau juga," tokok Lina seraya tawanya reda.

Nasib baiklah Lina tu kawan aku. Kalau tak, dah lama aku tolak dia jatuh ke bawah dari tingkat dua puluh empat ini.

"Nanti aku tak ada dekat rumah tau. Kau jaga diri elok-elok."

Pandanganku sudah terkalih ke wajah Lina. Dahi berlapis. Mahu menagih jawapan.

"Aku nak balik kampung. Nak ziarah makcik aku. Rindu."

"Berapa lama kau dekat situ?" soalku.

"Sepanjang cuti sem ni. Tu aku suruh kau jaga diri baik-baik."

Aku terdiam. Pelik sebenarnya bila tahu Lina nak cuti selama itu di kampung. Setahu aku, dia tak berapa suka berlama-lama di situ. Katanya panas dan banyak nyamuk.

"Entah-entah, cuti sem ni kau kahwin eh, Feera?"

Hampir terjerut tekak aku apabila soalan itu tiba-tiba sahaja meluncur keluar dari mulut Lina. Laju sahaja wajahnya kini menjadi persinggahan anak mata aku.

"Aku gurau je lah! Alahai, terkejut sangat dah kenapa?" Lina bantai gelak. Tangannya ternaik-naik tekan perut sendiri. Terhibur.

"Mulut kau memang tak ada insurans kan! Kau sini!" Aku bangkit dari duduk. Sengaja aku kepit kepala Lina dengan biceps aku.

"Wei, Feera! Lepaskan aku. Arggggghhhh." Lina sudah menjerit seperti orang gila. Kakinya naik menendang angin. Mahu segera aku lepaskan kepalanya.

Tercungap-cungap Lina sebaik sahaja aku melepaskan pautan lenganku dari lehernya. Namun begitu, gelak tawa masih meluncur keluar dari bibirnya buat pendengaranku.

Itulah, siapa suruh cakap macam tu lagi? Salah dia sebab bangkitkan kemarahan aku. Terasa seperti roh aku terenggut sebentar dari jasad. Aku fikirkan, Lina tahu mengenai hal perkahwinan aku dan Isa.

Perkahwinan ini tidak boleh dihidu oleh sesiapa pun buat masa ini. Kecuali, keluarga kami dan pihak universiti. Kata Isa, seorang pensyarah tidak dibenarkan mengajar kelas isteri atau ahli keluarga mereka sendiri di universiti. Kalau dapat tangkap, tindakan tegas bakal diambil.

Aku yakin selepas ini Lina pasti akan meroyan bila tahu Encik Isa kesayangan dia tu dah tak mengajar kelas kami. Sebab, Isa bakal jadi hak mutlak aku nanti. Dan aku akan pastikan, tiada sesiapa pun mampu caras dia daripada aku.

Siapa nak ambil Isa, pastikan dia langkah mayat aku dulu. Titik!

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now