"Abang, marilah minum teh halia ni dulu. Adik baru buat ni." Rania Khan, adik perempuan aku yang baru sahaja pulang dari Yaman. Sebelum ini, dia tidak sempat untuk pulang ke Malaysia untuk memberi penghormatan yang terakhir kepada arwah isteri aku. Hanya panggilan video sahaja menjadi perantaraan.

Celik mata, aku lantas bangkit dari pembaringan. Muk yang berisi teh susu kambing halia buatan Rania, dicapai lalu dihirup perlahan. Sesaat, mata dipejam rapat. Berharap wap dari teh tersebut mampu meredakan kekusutan yang berselirat dalam kepala saat ini.

"Adik sebenarnya tak faham kenapa abang nak bantu perempuan tu. Bukan ke dia dah sakitkan hati Kak Sarah, kenapa abang masih nak tolong dia lagi?"

Melalui mimik wajah dan ton suara Rania, aku tahu dia tidak berapa suka dengan sikap Safeera.

Sebelum ini, Rania pernah dengar nama Safeera dari mulut Sarah. Sarah pernah menceritakan mengenai Safeera yang mahu berkahwin dengan aku sebelum ini. Apabila mengetahui Safeera merupakan adik kepada Nuh, lagilah dia terkejut.

Rania sebenarnya sudah kenal Nuh sejak dulu lagi. Aku sering menceritakan kebaikan Nuh kepada dia. Dalam diam, aku tahu sebenarnya Rania sukakan Nuh. Tapi biasalah. Mana dia mahu bercerita. Mungkin segan dengan aku.

"Abang cuma nak balas jasa Nuh sahaja, Rania. Abang dah banyak susahkan dia selama ni..." Tenang sahaja aku membalas.

"Tapi perlu ke abang korbankan diri abang sampai macam ni? Sanggup jadi pak sanggup untuk tutup perlakuan sumbang Safeera?" Suara Rania sudah naik seoktaf. Hampir sahaja tangisannya pecah di situ. Mungkin kecewa dengan sikap aku.

"Jika Nuh pernah korbankan diri dia untuk abang sebelum ini, takkan abang tak mampu korbankan diri abang kali ni, Rania? Abang dah banyak terhutang budi dengan Nuh. Jujur cakap, abang sebenarnya agak berat untuk ambil keputusan ni walaupun Sarah sendiri yang minta abang berkahwin dengan Safeera. Tapi bila memikirkan perasaan sedih Nuh bila dia tahu semua ini, abang tak sanggup. Abang sanggup buat apa sahaja untuk kebahagiaan Nuh."

Rania terdiam. Dia sebenarnya sudah maklum mengenai jasa Nuh yang dimaksudkan oleh aku.

Keadaan berjeda seketika. Dari hujung mata, aku perasan birai mata Rania mula berkaca dan menunggu sahaja untuk pecah.

Tanpa kata, aku lantas menarik tubuh satu-satunya adik yang aku ada ke dalam pelukan. Belakang tubuhnya dilurut lembut, mahu menenangkan. Aku tahu Rania bersimpati atas nasib yang menimpa aku pada ketika ini.

"Sampai bila abang nak seksa diri macam ni? Dulu, abang korbankan masa depan abang untuk adik dan umi. Sekarang, abang korbankan diri abang untuk selamatkan maruah perempuan lain semata-mata untuk balas jasa baik kawan abang sendiri. Abang selalu dahulukan diri abang daripada orang lain. Rania sedih tengok abang macam ni..." Tubuh Rania terhinggut-hinggut menahan esakan.

"Dunia ni, tempat kita diuji. Insha-Allah, selepas ni kita akan bahagia. Abang reda atas segala ujian yang Allah hadiahkan kepada abang, Rania. Sekurang-kurangnya, abang tak terus hanyut dengan dunia. Lagipun, mungkin ni kifarah atas perbuatan abang sebelum ni. Abang seorang pendosa. Walaupun orang lain tak nampak aib abang, Allah tu Maha Mengetahui. Sampai sekarang, abang rasa berdosa dengan Allah. Abang terima dengan lapang dada andai Allah nak uji abang sampai hembusan yang terakhir. Asalkan... segala dosa abang terampun..."

Walaupun Rania masih kecil sebelum ini, aku tahu dia mesti lagi teringat peristiwa kami dihalau dari kampung sebelum ni. Pada waktu itu, dia masih kecil dan tidak faham mengenai situasi yang berlaku. Tahu-tahu sahaja, kami dihalau keluar. Rumah kami dibakar dan kami diarah keluar dari situ dalam keadaan sehelai sepinggang.

Ibu kami merupakan penduduk tetap di Yaman. Ayah pula, seorang pedagang Melayu-Pakistan dari Malaysia. Ibu jatuh cinta dengan ayah sewaktu ayah merantau di negeri Arab. Disebabkan terlalu cinta, ibu sanggup membelakangkan keluarga semata-mata mahu bersama ayah.

Sebelum ini, hidup ibu bahagia sahaja. Ibu berkahwin dengan ayah dan mereka dikurniakan dua orang anak iaitu aku dan Rania. Malangnya, pada suatu hari kami ditinggalkan bergantung tidak bertali. Ayah pergi tanpa kata. Pulang ke Malaysia lalu meninggalkan kami di tanah Arab.

Disebabkan itu, ibu dihalau keluar dari kampungnya sendiri. Membawa anak-anaknya tanpa hala tuju. Namun, nasib menyebelahi kami apabila ada seorang saudagar kaya Arab yang sudi mengambil kami bertiga menjadi hamba.

Sekali lagi kami diuji. Jika sebelum ini, ibu mampu membanting tulang empat kerat untuk membesarkan kami dua beradik. Namun, pada suatu hari ibu jatuh sakit. Sejak itu, segala urusan kerja ibu tergalas ke atas bahu aku dan Rania.

Disebabkan Rania masih kecil, aku tak sanggup nak biarkan dia bekerja. Walaupun Rania nangis hendak ikut aku sekali keluar bekerja, aku tetap menghalang kerana tidak mahu dia merasai segala kesusahan ini.

Waktu tu, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa peritnya bekerja mencari sesuap rezeki. Apabila bayangan wajah ibu dan Rania menyapa ingatan, segala rasa penat dan sakit dibuang jauh-jauh.

Setelah ibu meninggal dunia, kami dijual pula kepada satu pasangan suami isteri bangsawan di tanah Arab. Alhamdulillah, aku dan Rania dijadikan anak angkat dan diberikan kasih sayang yang cukup. Dilayan dengan baik dan diberi didikan yang sempurna.

Buktinya, sekarang Rania berada di tahun terakhir pengajiannya di Yaman. Aku pula, sudah berjaya menjadi seorang tenaga pengajar di sebuah institusi pelajaran tinggi di Malaysia. Sekali-sekala, kami berdua akan pulang ke Abu Dhabi. Melawat ibu bapa angkat kami di sana.

Meskipun kami berdua dibesarkan dalam keluarga angkat yang berada, aku dan Rania tidak suka bercerita. Kami diajar untuk tidak bermegah dengan apa yang kami ada. Sentiasa bersikap rendah diri dan berpijak di bumi yang nyata.

Hingga saat ini, aku tidak mampu memaafkan ayah atas apa yang jadi. Disebabkan dia, ibu dan adik aku terseksa. Apa gunanya dia kahwin dengan ibu kalau dia tak mahu bertanggungjawab?

Tanpa sedar, kedua belah tanganku terkepal erat. Rahang terkacip-kacip menahan emosi yang menggerodak dada. Sakit!

"Abang... jangan ingat lagi benda tu..."

Pandanganku jatuh pada wajah Rania apabila tiba-tiba sahaja dia mengusap dahi luasku. Tangkap tangan Rania, pandanganku kini jatuh pada wajahnya. "Ingat benda apa?" soalku, tidak mengerti.

"Abang nampak menakutkan bila abang ingat benda tu. It's okay. Kita dah selamat sekarang, abang..." Cepat-cepat Rania peluk lengan aku. Dalam masa yang sama, tangannya turut naik mengusap belakang tubuh aku.

"Tarik nafas, hembus. Tarik nafas..."

Aku hanya mengikut arahan Rania seperti lembu dicucuk hidung. Setelah keadaanku menjadi sedikit tenang, anak mataku kini jatuh tepat pada wajah Rania.

"Walaupun Rania tak berapa sukakan Safeera, abang harap Rania dapat layan tetamu kita dengan baik," nasihatku, lembut.

Rania mencebirkan bibir. Aku tahu, Rania tidak suka berbaik-baik dengan Safeera. Melihat itu, laju sahaja tanganku ternaik mengusap lembut kepala Rania. Meskipun umurnya sudah meningkat dewasa, entah mengapa dia masih lagi seperti adik kecil di mataku.

"Buat masa ni, abang nak minta Rania tengok-tenggokkan Safeera. Abang nak siasat apa sebenarnya yang jadi kepada dia. Andai benar dia dirogol, abang akan buat laporan polis untuk cari siapa pelaku tu," tegasku. Dalam masa yang sama, aku mahu Rania faham akan situasi yang perlu aku hadapi saat ini.

Walaupun selepas ini Safeera melarang, aku tidak akan sesekali berganjak dari keputusan yang aku dah buat. Jenayah ini bukan boleh dibawa main. Jika hari ini Safeera menjadi mangsa, tidak mustahil selepas ini wanita lain bakal menjadi mangsa.

"Abang pasti ke dia dirogol, bukan dia sengaja buat semua ni?"

Nafas ditarik lalu dihembus perlahan. Perkara sama yang aku fikir sejak tadi, sama dengan apa yang difikirkan oleh Rania sekarang ni.

"Abang serahkan semuanya kepada Allah untuk tunjukkan segala kebenaran. Insha-Allah..."

Pada saat ini, aku serahkan segala urusanku kepada Maha Pencipta. Memohon agar diri ini diberikan petunjuk. Mana satu yang benar.

Imperfect Moment (TERBIT)Where stories live. Discover now