SILUET (daripada Kekasih untuk Kekasih)

51 3 0
                                    

Aidh memandang kosong ke tengah-tengah kota. Ketika ini dia sedang berada di Pelantar Cakah. Satu kawasan paling tinggi terletak di pinggir kota. Tempatnya jauh dari kesibukkan dan jarang orang naik ke sini.

Menurut penduduk di sekitar, Pelantar Cakah ini tempat tinggalan penjajah. Kata mereka lagi tempat ini keras, berpenunggu. Menuntut nyawa sebagai korban. Dan bermacam-macam lagi perkara tidak enak untuk didengari.

Cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Ada juga yang ditokok tambah sebagai penyedap cerita masing-masing. Tetapi, pada Aidh tempat begini merupakan tempat yang terbaik untuk dia menenangkan hati galaunya.

Aidh lepaskan keluhan. Kedengaran berat bunyinya. Mata dipejam rapat-rapat. Dia cuba usir bayangan sedih yang bertandang. Genggaman tangan kanannya diketatkan.

Perlahan-lahan dia buka mata serentak dengan genggaman tangannya. Aidh pandang sebentuk cincin di telapak tangan dengan hati yang walang. Cincin yang dibelikan untuk pujaan hati. Sekarang cuma tinggal mimpi.

"Arghhh!" jeritan Aidh bergema ke seuruh pelusuk Pelantar Cakah. Beban di hati dilepaskan dengan cara menjerit sekuat-kuatnya. Cengkerik yang mendengar terus terdiam.

Kuk! Kepalanya terkena sesuatu. Pantas Aidh menggosok belakang kepalanya. Sakit!

Aidh berpusing memandang ke sekitar. Air liur diteguk laju-laju. Rasa seram sejuk menguasai diri. Tidak jauh dari tempat yang dia duduk ada sebotol minuman yang kosong yang sedang bergolek di tanah. Aidh mengagak botol itulah yang terkena kepalanya tadi.

"Siapa?" Soal Aidh dengan takut-takut.

Sunyi sepi, tiada jawapan. Yang ada cuma bunyi cengkerik saling bersahutan.

Aidh bangun memandang ke sekitar. Dengan tidak semena-mena dia ternampak kelibat bayang-bayang tidak jauh daripada tempat duduknya. Di balik satu-satunya pohon rendang yang wujud di atas Pelantar Cakah ini.

Aidh mula tidak sedap hati. Segala cerita yang pernah dia dengari sebelum ini, berputar di fikirannya. Semakin banyak liur ditelan. Halkumnya naik turun laju.

"Siapa?" Soal Aidh lagi. Kali ini dia beranikan diri mendekati pohon rendang itu.

Semakin Aidh mendekati pohon tersebut, telinganya dapat menangkap sayup-sayup bunyi tangisan. Terus langkah Aidh mati. Sudah mula berkira-kira samada mahu terus melangkah atau berpatah balik. Pun begitu, kunci motorsikal yang di dalam kocek seluar dikeluarkan sebagai persediaan untuk dia meninggalkan tempat ini jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.

Saat Aidh berundur ke belakang setapak demi setapak, muncul satu bayang-bayang dari balik pohon tersebut. Aidh terpempam jadinya. Terus kaki bagai dipaku.

Bayang-bayang yang samar tadi kini mulai jelas. Dengan bantuan cahaya bulan penuh, Aidh dapat melihat dengan baik. Ya. Aidh yakin objek yang sedang menghampirinya itu adalah seorang perempuan. Seorang gadis.

"Awak yang jerit tadi kan?" Walaupun gadis itu menyoal serius tetapi air mukanya kelihatan sedih. Ada sisa-sisa air mata berlinang di pipi. Buat Aidh terpempan.

"Awak tak malu ke? Satu alam ni dengar suara awak. Mujur tak luruh jantung saya ni." Gadis itu seperti marah.

"Maaf." Aidh gugup. Sebetulnya dia masih di dalam keadaan terkejut lagi akibat kemunculan gadis itu dengan tiba-tiba.

"Kenapa awak datang ke sini?" Soal gadis itu ingin tahu.

"Saja."

"Kat sini bukan tempat melepaklah!" Suara gadis itu berbaur amaran.

Aidh diam. Mendengar saja amaran yang terbit daripada mulut gadis itu.

"Untuk pengetahuan awak, kat sini bukan tempat untuk makan angin atau ambil udara bagai." Beritahu gadis itu disusuli dengan satu senyuman sinis.

ANTOLGI CERPEN: RUMAH NO.4Where stories live. Discover now