BAHAGIAN 1

243 12 2
                                    

"Kalau kita sibuk mengejar bayang-bayang, sampai bila-bilapun kita tak akan sedar betapa luasnya cakupan cahaya pada kita." Suara Ustaz Firash terdengar sayup di balik langsir masjid itu. Suasana kuliah pada malam ini masih sama dengan kuliah-kuliah sebelum ini. Namun begitu, hanya Zafira yang berbeza. Jika dahulu, dia hanya menghadiri setiap kuliah dengan perasaan seorang penuntut biasa yang mendambakan ilmu agama. Kini, satu-satunya persoalan yang bergentayangan dalam kotak fikirannya hanyalah 'Mengapa.'

Zafira mula hilang fokus. Suara Ustaz Firash yang sedang menyampaikan kuliah maghrib yang bertajuk, "Syukur pelita hidup" itu sudah semakin menghilang ditenggelami oleh memori beberapa hari lepas.

"Saya serius, Pak Cik, Mak Cik." Suara yang lembut berbaur maskulin itu kedengaran sangat jelas sekali dari balik langsir yang memisahkan ruang tamu dengan susur ke arah dapur. Petang itu, Pak Cik Daud dan Puan Zamilah dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki ke teratak mereka. Zafira tentulah yang paling terkejut sekali. Masakan tidak, Imam muda kampung bernama Firash Jauhar bertandang tanpa berita seorang diri ke rumahnya petang itu. Imam yang menjadi kegilaan para pemudi di kampungnya. Zafira hanya berdiam diri di balik langsir. Hatinya berasa ingin tahu tentang asbab utama lelaki berdarah kacukan Melayu-Arab berusia 26 tahun itu menjejakkan kaki ke rumahnya tanpa berteman Imam Haji Murshid yang merupakan bapa angkat lelaki itu.

"Mak Cik dan Pak Cik faham hasrat kamu itu Firash tetapi Fira masih muda. Baru sahaja menghabiskan SPM bulan lepas. Apa kata orang kampung nanti? Kami pun tak rasa Fira akan bersetuju dengan hasrat kamu ini" Suara Puan Zamilah mencerminkan hatinya yang dihurung rasa bimbang akan pernyataan lelaki muda di hadapannya itu.

"Saya minta maaf sangat-sangat kerana datang mengejut macam ini. Saya minta maaf juga sekiranya saya kelihatan memaksa. Saya cuma ingin meyakinkan Pak Cik dan Mak Cik bahawa saya bukan datang untuk menabur racun pada bunga sebaliknya ingin meminta izin menjadi penjaga mekar tersebut dan in shaa Allah memimpinnya ke syurga" Ujar Ustaz Firash tenang.

Zafira terdiam. Barulah dia mengerti asbab utama kedatangan Ustaz Firash ke rumahnya. Lelaki itu tak lain tak bukan ingin melamar Zafira menjadi isterinya. Zafira sedikit dihambat rasa terkedu. Jarak umur antara Ustaz Firash dan Zafira bukannya setahun dua. 8 tahun bersamaan hampir 100 purnama itu bukanlah angka yang kecil dan sewajarnya diabaikan. Tanpa sedar Zafira menggigil. Dia bukanlah seorang yang pintar berurusan dengan lelaki, apatah lagi lelaki yang jauh berusia dengannya. Tambahan pula, dia menganggap lelaki itu sekadar Al-Fadhil di masjid tempat dia menghadiri kuliah setiap hujung minggu. Zafira tidak berjaya mengawal daya fikirannya yang sejak tadi tidak henti-henti berfikir sekiranya ibu bapanya menerima pinangan Firash.

"Sebentar ya izinkan Mak Cik bercakap dengan Zafira dahulu." Kedengaran bunyi tapak kaki Puan Zamilah semakin kedengaran seiring gegaran pada lantai rumah papan yang menjadi saksi tempat mereka bertemu hari ini. Sejenak wajah Puan Zamilah terpapar di iris mata Zafira Aina Binti Daud Lee itu. Zafira mengukir senyum meskipun tidak terlihat dibalik niqab yang dipakainya.

"Fira, Mak rasa Fira dah dengar dengan jelas apa yang Ustaz Firash cakapkan? Sejujurnya Mak bukan tak setuju. Ustaz Firash cukup serba serbi. Berilmu, beragama, berakhlak, berharta. Tapi Mak faham, Fira masih setahun jagung lagi. Fira terlalu muda untuk semua ni. Jarak 8 tahun pula menjadi salah satu tembok besar antara kamu berdua. Semuanya terletak pada Fira. In shaa Allah Mak dan Abah terima apa saja keputusan Fira."

Fira memandang dalam wajah ibunda kesayangannya itu. Dia tahu. Lelaki seperti Ustaz Firashlah yang ibunya pernah harapkan buat kakaknya Zahra suatu masa dahulu. Malangnya kakaknya sudah berkahwin dengan seorang lelaki England dan menetap di sana. Zafira menjadi serba salah.

"Mak, boleh tak mak tolong beritahu pada Ustaz Firash untuk bagi Fira masa? Fira tahu Mak pun masih keliru dengan semua ni. Apatah lagi Fira yang tidak pernah sekalipun berinteraksi dengan mana-mana lelaki termasuklah Ustaz Firash Jauhar yang ada dekat ruang tamu rumah kita sekarang." Zafira berhenti sejenak. Dia menarik nafas tenang. Cuba menyembunyikan ombak gundah dan persoalan yang bergulung hebat dalam jiwanya.

RAHSIA | SHORT STORYWhere stories live. Discover now